Mengapa Abu Jahal menolak Islam?

 

1. Al-Imam Ibn al-Qayyim merekodkan dialog Abu Jahal bersama anak saudaranya al-Miswar ibn Makhramah tentang dakwah Rasulullahﷺ. Tanya al-Miswar: “Wahai pakcikku, apakah kamu melihat Muhammadﷺ ini sebagai seorang yang penipu? Jawab Abu Jahal:

لقد كان محمد فينا وهو شاب يدعى الأمين، فما جربنا عليه كذباً قط

“Sesungguhnya Muhammad adalah seorang pemuda dikalangan kami, beliau dipanggil seorang yang sangat jujur, kami tidak pernah dapati beliau menipu.”

Tanya al-Miswar: “Jadi mengapa kamu tidak menerima dakwah Muhammad”? Jawab Abu Jahal:

يابن أختي! تنازعنا نحن وبنو هاشم الشرف

“Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kita (sedang) bersaing dengan Bani Hasyim (dalam perkara) kedudukan kemuliaan.

2. Seolah dari dialog ini, persaingan kabilah, perebutan kedudukan politik dan penguasaan lanskap pentadbiran di antara kumpulan menyebabkan manusia mengenepikan kebenaran. Tenggelam dalam mengejar kedudukan di sisi manusia, Islam dilihat mengganggu cita-cita mereka.

3. Dialog yang hampir sama berlaku di antara Abu Jahal dan al-Akhnas ibn Shariq. Apabila soalan yang sama ditanya pada Abu Jahal, dia menjawab:

ويحك! والله إن محمداً لصادق، وما كذب محمد قط، ولكن إذا ذهبت بنو قصي باللواء والحجابة والسقاية والنبوة، فماذا يكون لسائر قريش؟

“Celakalah engkau (wahai al-Akhnas)! Sesungguhnya Muhammad itu seorang yang benar dan tidak pernah menipu! Namun sekiranya Bani Qusai (anak-anak Qusai) menguasai urusan al-Liwa (memegang panji peperangan), menguruskan al-Hijabah (menguasai urusan pentadbiran Kaabah), mentadbir urusan al-Siqayah (memberi minum kepada penunai Haji) dan memiliki anugerah kenabian, maka apa lagi yang akan tinggal untuk kabilah Quraysh yang lain?

4. Kali ini maksudnya lebih jelas. Persaingan dalam merebut arena politik pentadbiran menjadikan Abu Jahal menolak Islam. Persaingan manusia merebut kuasa pentadbiran serta perebutan kedudukan dan pengaruh akan menyebabkan mereka mengenepikan Islam, sekalipun jauh di sudut hati mereka, mereka mengetahui kebenaran Islam.

Moga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts