Zakat hanya untuk umat Islam: LZS

 

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menegaskan pengagihan zakat hanya bagi umat Islam di negeri ini dan bukannya kepada penganut agama lain.

Ia berikutan kekeliruan masyarakat berkaitan satu surat pekeliling dalaman organisasi itu yang menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Pekeliling itu tertera moto baharu yang membawa maksud LZS lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus mengukuhkan manfaat zakat untuk semua.

Ia bukan hanya terhad kepada golongan mustahiq (orang yang berhak kepada harta zakat), malah kepada semua lapisan masyarakat tidak mengira usia, bangsa dan agama.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid, berkata pekeliling berkaitan moto baharu itu hanya dikeluarkan untuk warga kerja LZS.

Katanya, skop pengagihan zakat di Selangor yang diuruskan LZS berdasarkan kepada hukum syarak yang merangkumi lapan kategori asnaf seperti yang dijelaskan dalam surah At-Taubah ayat 60.

“Terdapat kekeliruan dalam moto zakat yang akan ditukar pada tahun depan selaras peranan zakat yang menyucikan dan menyuburkan.

“Bermula esok, LZS mengubah moto lama iaitu ‘Meneraju Perubahan’ kepada yang baharu iaitu ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’.

“Moto ini membawa maksud amat luas yang menggambarkan bahawa ibadah zakat walaupun hanya dikhususkan kepada umat Islam tetapi manfaatnya dinikmati oleh semua ahli masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Abdul Basith berkata, sekiranya taraf kehidupan asnaf ditingkatkan, ia secara tidak langsung akan meningkatkan taraf sesebuah negeri atau negara.

“Jika maju dan makmurnya sesebuah negeri atau negara, akan bermanfaat setiap rakyat di dalamnya tanpa mengira bangsa atau agama.

“Misalnya, seorang mahasiswa asnaf dibiayai dengan wang zakat dalam bidang perubatan sehingga berjaya menjadi seorang doktor pakar, maka manfaatnya dapat dinikmati semua pesakit tanpa mengira status, bangsa atau agama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa LZS tidak ada kaitan atau dipengaruhi mana-mana pihak termasuk parti politik dan akan terus menyantuni asnaf di Selangor bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts