MUNGKIN ada menyangka Pahang yang ditubuhkan kurang 150 tahun dahulu adalah sebuah kerajaan baharu. Penilaian ini boleh berlaku jika sekadar melandaskan perisytiharan pada 11 Januari lalu bahawa Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, dipilih sebagai Sultan Pahang Keenam. Dari sudut sejarah, Pahang sebenarnya antara kerajaan awal di Tanah Melayu.
Pengarang Arab bernama Mas’udi menulis pada 943, dalam bukunya berjudul Muruj al-Dhahab mengisahkan: “Di laut Kanderang ramai orang-nya, termasok-lah orang2 yang disebut Fanjab yang berambut ikal dan berbentok badan yang ganjil rupa-nya.
“Mereka menggunakan perahu2 kecil dan datang mengelilingi sa-barang kapal2 yang tiba ka-tempat mereka dan mereka melepaskan (memanahkan) sa-jenis anak panah yang ganjil dan berachun.
“Di-antara tempat orang2 ini dengan negeri Kalah ada-lah lombong2 timah dan gunong2 yang mengandungi perak. Ada juga lombong2 emas dan timah hitam yang jarang2 di-bongkar mengeluarkan-nya.”
Ahli sejarah merumuskan ‘Fanjab’ dalam tulisan Arab itu dimaksudkan ‘Panghang’ atau ‘Panhang’, menyerupai sebutan ‘P’eng-h’eng’ oleh sumber China, iaitu Pahang mengikut ejaan hari ini (Buyong Adil, 1972).
Kenyataan di atas menunjukkan, Pahang sudah masyhur dengan pengeluaran emas, perak dan timah seawal abad ke-10. Sebelum Empayar Kesultanan Melayu Melaka didirikan pada awal kurun ke-15, Pahang di bawah Empayar Melayu Srivijaya.
Menurut Godinho de Eradia (1613), Pahang adalah Kerajaan Melayu kedua menggantikan Pattani di Tanah Melayu. Raja Pahang ialah Raja Melayu dan kerajaannya menghasilkan mutu emas terbaik dan pengeluar terbesar di Tanah Melayu, sebelum Empayar Kesultanan Melayu Melaka.
Pada 1456, ketika Pura (Pekan pada hari ini) ditewaskan Empayar Kesultanan Melayu Melaka, Raja Pahang bergelar Maharaja Dewa Sura. Anakanda Maharaja Dewa Sura bernama Puteri Wanang, kemudian memeluk Islam dan diperisterikan oleh Sultan Mansor Shah Melaka, lalu digelar Puteri Lela Wangsa.
Kedudukan Pahang dalam Empayar Kesultanan Melayu Melaka amat istimewa kerana sungguhpun berada di bawah empayar itu, pemerintahnya bergelar Sultan.
Hukum Kanun Melaka
Hal ini berlaku pada 1470 apabila Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah dengan Puteri Lela Wangsa, diangkat menjadi Sultan Pahang bergelar Sultan Muhammad Shah, menggantikan wakil baginda, Dato’ Seri Bija Diraja.
Sebagai wilayah dalam Empayar Kesultanan Melayu Melaka, Hukum Kanun Melaka adalah perlembagaan bertulis bagi Kerajaan Pahang di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Shah.
Selepas kota Melaka ditawan Portugis, perhubungan Kesultanan Pahang dengan pewaris Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang berkerajaan di Johor terus erat, malah saling bekerjasama untuk mengambil balik kota Melaka.
Pemerintahan Empayar Kesultanan Melayu Melaka di Johor dikenali Kesultanan Johor-Riau Lingga. Pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah selaku Sultan Pahang Ke-12 (1592-1614), baginda memasyhurkan Hukum Kanun Pahang.
Kelangsungan Hukum Kanun Melaka dapat dilihat dalam Hukum Kanun Pahang, yang mengekalkan sumber perundangan Islam dan adat Melayu dalam sistem politik.
Kedudukan Islam dalam sistem undang-undangnya diperuntukkan Fasal 66 Hukum Kanun Pahang (versi Winstedt & Kempe) yang mempunyai persamaan dengan penutup Risalah Hoekoem Kanoen Oendang-Oendang Melaka (Van Ronkel 1919).
Peruntukan sama termaktub dalam titah Sultan Abdul Ghaffur Mohayu al-Din Shah, dalam pembukaan Kanun Pahang (versi Manuskrip Muzium Pahang) seperti berikut:
“Adapun kemudian dari itu telah mengucap syukur aku akan kurnia-Nya yang telah lalu dan yang lagi akan datang. Bahawa dijadikan-Nya kiranya aku daripada umat kekasih-Nya dan umat penghulu segala rasul-Nya yang dititahnya ia membawa segala firman-Nya dan menghukumkannya segala syariat nabi yang terdahulu itu dengan berbuat adil serta melakukan amar bil-ma’ruf wa nahiya al-munkar, maka jadi terang segala alam ini dengan cahaya agamanya.
Sejahtera atasnya dan atas segala keluarganya dan segala sahabatnya dan segala umatnya. Syahadan maka dijadikan-Nya pula antara segala makhluk-Nya raja-raja; seperti firman-Nya Yang Maha Tinggi: Inni jaa’ilun fi al-ardzi khalifah. Haza fi ar-risalati yahkumu al-qanun fil- burhani – fa al-malki al-kabir wa al-wazir. Amma ba’du.”
Krisis dasar luar
Selepas 1613, Kesultanan Johor Riau Lingga berada di bawah pe-ngaruh Aceh akibat krisis dasar luar kedua-dua kerajaan negeri Melayu itu terhadap Portugis di Kota Melaka dan Belanda.
Krisis juga membabitkan Pahang dan reda buat sementara pada 1637 apabila Raja Mughal, putera kepada Sultan Ahmad (1590-1592), iaitu Sultan Pahang Ke-11, dilantik sebagai Sultan Acheh bergelar Sultan Iskandar Thani.
Pada 1637, Sultan Abdul Jalil Shah III mengisytiharkan Pahang di bawah kekuasaan Kesultanan Johor-Riau Lingga.
Apabila Sultan Mahmud II (Marhum Kota Lama) mangkat pada 1699 tanpa zuriat, Orang-Orang Besar Kesultanan Johor-Riau Lingga-Pahang mengangkat Bendahara Tun Abdul Jalil sebagai Sultan Johor (Dinasti Bendahara) bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.
Salasilah Kesultanan Pahang Moden pada hari ini bersusur galur daripada dinasti Bendahara Johor seperti diperihalkan di atas. Pahang diletakkan di bawah pemerintahan Bendahara bermula 1770 apabila Temenggong Tun Abdul Majid, iaitu anak Bendahara Tun Abbas diangkat sebagai Bendahara bagi Pahang.
Pemerintahan selepas Bendahara Tun Abdul Majid
Pemerintahan Pahang selepas Bendahara Tun Abdul Majid diwarisi Bendahara Tun Muhammad, Bendahara Tun Koris, Bendahara Wan Ali bergelar Bendahara Seri Wak Raja, Bendahara Wan Mutahir dan Bendahara Wan Ahmad.
Anakanda Bendahara Seri Wak Raja, Wan Ahmad diangkat Bendahara Raja Pemerintah Pahang oleh Orang-Orang Besar Pahang pada Jun 1863.
Pada 6 Ogos 1882, Bendahara Wan Ahmad diusulkan pembesar baginda untuk memakai gelaran Sultan Pahang, sekali gus menjadi Sultan Pahang pertama dalam Kesultanan Pahang Moden. Gelaran baginda adalah Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah.
Pada 1909, Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah turun takhta dan melantik anakanda baginda, Tengku Long Mahmud sebagai Sultan Pahang Kedua bergelar Sultan Mahmud Shah.
Pemerintah Kerajaan Pahang selepas itu adalah Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah Shah, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah, Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah dan Tengku Mahkota Abdullah yang bakal dimasyhurkan gelaran baginda pada 15 Januari ini.
Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
Penulis adalah pemegang PhD Undang-Undang Perlembagaan (Konsep Kedaulatan Raja-Raja Melayu) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) & Penasihat Gabungan Melayu Islam Beraja (MI’RAJ)
Sumber: Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)