RAMAI orang tidak melihat kepentingan status negara sama ada negara Islam atau sekular, sebaliknya menganggapnya sebagai jenama biasa sahaja. Bagi umat Islam yang sayang kepada agama, status itu penting kerana menggambarkan sejauh mana kefahaman tabiatnya, bahkan memberi kesan kepada hala tuju perjuangan Islam di negara.
Jika gerakan meletakkan status negara sekular berjaya, maka tabiat Islam sebagai cara hidup sempurna dan menyeluruh akan terpencil sebagai ritual agama dalam konteks amalan peribadi. Islam tidak lagi mengawal kehidupan bermasyarakat mahupun negara.
Tabiat ajaran Islam bukan begitu, bahkan ia cara hidup lengkap daripada peringkat peribadi, masyarakat dan negara. Jika kempen menjadikan status negara sekular berjaya, maka perbincangan mendaulatkan undang-undang dan peraturan Islam akan terhenti serta tidak relevan lagi. Ini kerana bagi fahaman sekular, agama semata-mata urusan peribadi.
Misi membuktikan Islam itu rahmahtan lil ‘alamin akan terbantut kerana Islam sebagai sistem hidup termasuklah bernegara akan terhenti setakat amalan individu. Orang bukan Islam pula tidak berpeluang melihat betapa rahmahnya Islam apabila berkuasa.
Di negara sekular, hala tuju perjuangan Islam akan mencapai kemuncaknya sekadar menumpukan kepada isu seperti ibadat khusus dan akhlak peribadi, manakala menguatkuasakan al-hisbah dan menyuruh makruf mencegah mungkar akan terhenti kerana akan dianggap mengganggu kehidupan peribadi.
Membuat penegasan negara ini sebagai Islam tatkala ada pihak bersungguh-sungguh mengungkapkannya sebagai sekular adalah tepat pada masanya dan sebagai langkah berani kerana didokong fakta terang dari sudut syarak, sejarah mahupun Perlembagaan Persekutuan.
Definisi dan ciri negara Islam dibincang ulama terdahulu antaranya al-Sarakhsi dalam kitab al-Mabsuth yang berpandangan negara Islam ialah nama bagi suatu kawasan berada di bawah kekuasaan orang Islam yang mereka beroleh keamanan berada di dalamnya.
Al-Shaibani dalam al-Sair al-Kabir pula menyimpulkannya sebagai setiap tanah yang terlihat padanya hukum-hakam Islam atau penduduknya adalah orang Islam walaupun bercampur dengan selainnya.
Bagi Ibnu Qayyim: “Golongan teramai fuqaha berpendapat, negara Islam ialah negara diduduki orang Islam dan berjalan padanya hukum-hakam Islam dan selagi mana tidak berjalan padanya hukum-hakam Islam maka ia bukanlah negara Islam.” (Ahkam Ahli al-Zimmah)
Sebahagian ulama pula melihat perbahasan itu dengan lebih luas khususnya yang hidup dan menyaksikan zaman kejatuhan banyak tanah umat Islam dalam peristiwa serangan Mongol terhadap khalifah Abasiyyah pada 1253.
Oleh itu, al-Nawawi melihat takrifan itu dengan erti lebih luas dan bukan sekadar pada teknikal pemerintahan, sebaliknya menyebut tiga bentuk negara Islam.
“Pertama, negara diduduki umat Islam; kedua, negara dibuka dan kekal dikuasai mereka serta ketiga, negara yang asalnya dikuasai oleh umat Islam kemudian dirampas oleh orang kafir,” tulisnya dalam Raudhah al-Thalibin.
Al-Ramli pula menyebut: “Antara bentuk negara Islam ialah tempat diketahui umat Islam menguasai negara itu pada satu tempoh kemudian dirampas orang kafir seperti berlaku di Andalusia.” (Nihayah Al-Muhtaj)
Apabila kita meletakkan perbahasan itu dalam situasi Malaysia hari ini, kita akan dapati keislaman Malaysia bukanlah berada pada tahap minimum. Kuasa pemerintahan tertinggi (Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Perdana Menteri) masih lagi kekal milik umat Islam.
Perlembagaan pula meletakkan Islam pada kedudukan tersendiri, mempunyai sejarah Kesultanan Melayu Melaka, undang-undang Islam masih didaulatkan walaupun tidak sempurna melalui mahkamah syariah dan majoriti penduduk Islam, sekali gus menjadikan keislaman Malaysia perkara yang pasti serta tiada keraguan lagi menurut perspektif syarak.
Perkara paling utama dalam menunjukkan identiti negara Islam ialah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut ‘Islam adalah agama bagi Persekutuan’ atau dalam teks asalnya: ‘Islam is the religion of the Federation.’
Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz menjelaskan apabila Islam diletakkan dalam kedudukan tinggi dalam Perlembagaan, ia bukan sekadar menjadi agama untuk upacara keraian atau acara rasmi, sebaliknya agama negara yang hendaklah diambil berat keberadaannya dalam membentuk polisi pentadbiran dan hala tuju negara.
Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)