Ibrah di sebalik Nakbah Palestin

3

 

“Mak, kenapa kita hidup begini tidak macam orang lain?” Barangkali itu adalah salah satu soalan yang acapkali akan ditanya oleh seorang anak Palestin kepada ibunya. Manakan tidak hidup di negara sendiri seolah-olah seperti melukut di tepi gantang ataupun terpaksa hidup di kem-kem pelarian dengan segala kekurangan. Demikianlah nasib rakyat Palestin saban tahun terus ditindas di bumi sendiri.

Hari ini dalam sejarah menyaksikan satu detik hitam yang sudah pasti akan diingati oleh penduduk asal Palestin khususnya dan seluruh umat islam umumnya iaitu Hari Nakbah. Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara rasminya pada 15hb Mei 1948.

Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB. Cuba bayangkan sekiranya tanah tumpah darah anda dirampas dan anda terpaksa hidup sebagai pelarian di negara orang. Hak anda dinafikan dan yang sedihnya dunia seakan-akan membisu! Dan baru-baru ini, kita juga dikejutkan dengan peristiwa berdarah di Aleppo, Syria. Saudara Muslim kita telah menjadi mangsa kerakusan Basyar Assad yang dibantu oleh Russia.

Teringat sebuah hadis daripada Tsauban r.a. berkata:

Rasulullah saw. bersabda; “Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang­-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi saw. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’”. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati.” (HR Abu Daud)

Walaupun umat Islam hari ini ramai namun sungguh ironi kerana kita tidak mampu bersatu dan bangkit membantu saudara seaqidah kita. Sebahagian umat Islam pada hari ini lebih disibukkan dengan isu-isu picisan yang tidak berkesudahan. Cinta kita pada dunia melebihi segalanya seolah-olah kita lupa akan hari kebangkitan yang pasti akan berlaku dan akhirnya kita terus lena dan tidur. Islam yang suatu masa dahulu pernah berdiri gah memegang tampuk pemerintahan dunia kini menjadi mangsa percaturan dunia barat dan hak saudara semuslim kita terus dinafikan. Umat Islam kini ibarat anak singa yang diubah menjadi kijang yang pengecut.

Apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka? ‘Silence is a war crime’. Diam adalah satu bentuk jenayah.  “Tegakkan Islam di dalam diri kamu, maka akan tertegak Islam di bumi kamu.” Demikianlah kata-kata Assyahid Imam Hasan Al-Banna.

Benar, mungkin kita tidak mampu membantu mereka dari sudut fizikal.  Namun kita mampu membantu mereka dengan mengembalikan semula jati diri Islam yang kukuh dalam diri dan masyarakat sehingga Islam mampu menjadi satu kuasa yang digeruni seantero dunia.

Justeru itu, kembalilah kepada manhaj Islam yang sebenar. Satu sifir yang pada asalnya cukup mudah. Bersatulah di bawah panji Islam yang syumul yang mencakupi seluruh kehidupan. Koreksi kembali diri kita bagaimana amalan fardu kita sehari-hari. Tiang agama kita iaitu ibadah solat, adakah sentiasa didirikan di awal waktu? Bagaimana mahu membantu orang lain sekiranya diri sendiri tidak mahu dibantu. Tepuk dada tanyalah iman.

Tuntasnya, hari Nakbah Palestin akan terus diingati dan kekal menjadi sejarah hitam buat umat Islam. Namun amat malang sekali sekiranya kita masih tidak sedar dan terus hanyut dibuai mimpi. Mulakanlah langkahmu dan selamat beramal.

 

Nur Asyikin bt Solehan
Tahun 4 Perubatan Jordan University of Science & Technology
Timbalan Ketua Unit Kajian Palestin dan Timur Tengah QUDS

Sumber: http://quds-csd.com/ibrah-di-sebalik-nakbah-palestin/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts