Zakir Naik dan Blackpink: Ujian buat pendakwah

 

1. Ketika isu penghinaan terhadap Rasulullah masih hangat dan berhala yang diletakkan di Surau berulang dua kali, kita dihidangkan pula dengan laporan berita tentang pendakwah yang tidak diberikan kebenaran menyampaikan kuliah. Apa yang lebih membimbangkan konsert Blackpink pula dikatakan mendapat sambutan.

2. Benarlah sabda Rasulullah bahawa cabaran buat pendakwah itu sangat besar. Ketika pelbagai ujian yang menimpa Rasulullah, Allah memujuk Baginda supaya jangan bersedih. Kalam Tuhan ini amat menyentuh hati. Allah berfirman:

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ

“Dan bersabarlah (Wahai Muhammad), tiadalah kesabaranmu melainkan dengan pertolongan Allah; dan janganlah engkau bersedih dengan mereka.” (al-Nahl: 128).

3. Saidatina Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah tentang peristiwa yang paling pahit yang pernah dilalui oleh Rasulullah. Aisyah berkata:

يا رسول الله هل أتى عليك يوم كان أشد من يوم أحد؟

“Wahai Rasulullah, apakah ada hari yang lebih dahsyat yang menimpa kamu selain dari kesusahan ketika di Perang Uhud?”

Rasulullah lalu menjawab:

لقد لقيت من قومك ما لقيت، وكان أشد ما لقيت منهم يوم العقبة، إذ عرضت نفسي على ابن عبد ياليل

“Aku pernah berdakwah kepada kaummu dan aku hadapi apa yang aku telah hadapi. Tetapi peristiwa yang lebih dahsyat dari itu adalah hari Aqabah, ketika mana aku menawarkan dakwah kepada kaum Ibn Abd Yalail (di Taif).

4. Perhatikan hadith ini. Rasulullah menggambarkan bahawa kesusahan berdakwah itu berada dalam kedudukan yang tinggi sehingga boleh dibandingkan dengan Perang Uhud. Seolah berdakwah bukan sahaja akan mengalami cabaran fizikal seperti di dalam perang, bahkan pendakwah turut akan berhadapan dengan peperangan emosi dan juga mental. Ia adalah peperangan ideologi.

5. Dalam suasana konsert yang diterima oleh sebahagian pihak serta pelbagai cabaran maksiat yang berleluasa, pendakwah seharusnya terus bersabar dan tidak berputus-asa memberikan peringatan berdasarkan al-Quran dan hadith.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts