*Tulisan ini hanya untuk mereka yang masih percaya kesyumulan Islam merangkumi kewangan dan politik Islam.
Pengalaman kerdil dalam dunia kewangan Islam sejak 2014 banyak membantu saya dalam mengkaji isu-isu siyasah syar’iyyah khususnya dalam hal politik kenegaraan.
Dalam kewangan Islam, walaupun hukum asal setiap muamalat (aktiviti/transaksi kewangan) adalah harus, namun bagi mengeluarkan (istinbat) hukum Syarak bagi satu-satu isu atau produk bukanlah satu perkara yang mudah.
Selalunya ia memakan masa dan proses yang panjang, melalui siri-siri kajian, melibatkan perbincangan pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang, akauntan, bankers, pengawalselia dan lain-lain. Kadang-kadang bagi mendapatkan tasawwur (gambaran) sebenar suatu isu atau produk saja sudah makan masa yang lama, kerana ia merupakan salah satu pra-syarat penting dalam proses mengeluarkan hukum, berdasarkan qaedah الحكم على شيء فرع عن تصوره.
Ini belum cerita tentang berhujah dengan Al-Quran dan Sunnah, kaedah istidlal, perbandingan & analisis pandangan fuqaha sekurang-kurangnya dari 4 mazhab, pertimbangan maslahah vs mafsadah, pendekatan siyasah syar`iyyah, benchmarking amalan negara-negara lain dan fatwa-fatwa lain seperti fatwa AAOIFI, Majma’ Fiqh, KFH dan Al-Rajhi, serta bermacam lagi proses ijtihad yang agak kompleks.
Saya masih ingat, ketika baru 2-3 bulan bekerja telah diamanahkan membuat kajian ringkas untuk dibentangkan dalam Majlis Penasihat Syariah. Sebulan masa saya dilaburkan kepada kajian tersebut. Menelaah puluhan kitab, thesis & artikel bersama siri-siri perbincangan, yang tujuannya hanya untuk mengesahkan SATU perenggan dalam sebuah Piawaian Syariah bagi Kontrak Istisna`. Rupanya itu hanyalah sekadar warming up sebelum betul-betul berkhidmat dalam dunia kajian & pembangunan polisi hingga ke hari ini.
Banyak lagi isu dan produk lain yang memakan masa yang lebih lama, bahkan bertahun-tahun untuk ulama mengharuskannya. Cukuplah tawarruq, Ibra’, upfront tanazul in musyarakah, restructuring of debt, LPC, kaedah Syariah bagi NVLA, DCI, Swap, IPRS, FX Forward, Option dan lain-lain hedging instruments/ derivatives (ditambah dengan isu binding wa`d atau muwa`adahnya lagi) sebagai contoh mudah. Semua isu ini mengambil tempoh yang amat panjang untuk sebahagian atau kebanyakan ulama (di Malaysia) mengharuskannya. Itupun dengan pelbagai syarat atau dhawabit yang wajib dipatuhi.
Ya, walaupun hukum asal bagi muamalat adalah harus, namun untuk mengeluarkan hukum harus bagi muamalat moden (aktiviti, produk dan servis kewangan Islam) yang serba kompleks – dengan kepelbagaian struktur dan mekanisme hari ini – bukanlah satu yang mudah.
Hanya mereka yang tidak memahami proses ijtihad akan memandang lekeh segala keputusan Syariah yang telah dikeluarkan oleh badan ulama berautoriti.
* * *
Realiti politik kenegaraan dan pemerintahan negara hari ini lain pula ceritanya.
Ia tidak seperti yang berlaku dalam dunia kewangan Islam. Banyak tindak tanduk politik atau keputusan siyasah dibuat tanpa kajian Syariah yang komprehensif, tanpa dhawabit/ parameter dan tanpa sempadan yang jelas.
Biasanya alasan yang didengari adalah: hukum asal siyasah adalah harus. Atau lebih hebat lagi: siyasah adalah perkara ijtihadi, betul salah tidaklah membawa kepada kekufuran.
Ya, semua maklum kebanyakan hal siyasah itu adalah bersifat ijtihadi, لا ينكر تغير الأحكام بتغير الزمان والظروف, dan sewaktu dengannya. Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa terdapat banyak perkara dalam siyasah yang bersifat usul, thawabit, kekal tidak berubah hingga hari kiamat.
Perkara usul inilah yang tidak ramai tekankan. Saya perhatikan faktornya, antara lain, adalah kerana tidak ramai yang betul-betul serius mentelaah kitab-kitab turath siyasah.
Mengatakan Islam tidak banyak memberi solusi politik adalah dangkal sama sekali.
Berlambak-lambak kitab siyasah yang telah dikarang sejak ratusan atau lebih 1000 tahun lalu yang saya yakin ramai antara kita tidak pernah khatam lagi, seperti Al-Amwal oleh Abu `Ubaid, Al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh Al-Mawardi & Abu Ya`laa Al-Farra’ (dua kitab yang berlainan), Ghiyath al-Umam oleh Al-Juwayni, Siyar al-Muluk oleh Nizom al-Mulk, Ihya’ Ulum Al-Din oleh Al-Ghazali dan banyak lagi.
Semuanya berkisar tentang falsafah, kerangka & hukum hakam dalam sistem politik Islam yg telah terbukti berjaya memerintah dunia dengan adil dan rahmah selama 1300 tahun.
Malangnya, ramai yang baru baca sedikit kitab turath, terus buat kesimpulan mudah bahawa ia tidak lagi relevan kerana zaman dan situasi politik hari ini sudah berubah. Lantas terus buang semuanya, atau hanya ambil apa yang boleh ‘justify’ tindakan politik parti.
Padahal untuk baca kitab turath ada kaedahnya. Perlu bezakan antara usul dan furu` (cabang). Yang usul kita ambil. Yang furu` atau perkara ijtihadi kita nilai betul-betul sama ada masih relevan untuk situasi politik hari ini atau tidak. Bukan terus buang semuanya.
Kita ambil isu pelantikan pemimpin negara sebagai contoh case study;
Jumhur ulama sepakat bahawa pemimpin negara (jawatan khalifah, wilayah ‘ammah & wizarah tafwidh) wajib beragama Islam. Khilaf yang berlaku hanyalah dalam jawatan wilayah khassah atau wizarah tanfiz.
Imam Al-Mawardi memberi sedikit kelonggaran dengan tidak meletakkan syarat Islam bagi jawatan wizarah tanfiz kerana ia tidak mempunyai kuasa menentukan dasar utama sebuah negara (Hal ini tidak dipersetujui oleh Al-Juwayni dan dibidas dengan panjang lebar dalam kitabnya Al-Ghiyathi).
Baik, katakanlah kita ambil pandangan Al-Mawardi ini. Persoalannya seterusnya, adakah ahli parlimen, menteri kabinet, timbalan menteri, Peguam Negara, Ketua Hakim dalam konteks Malaysia boleh dipukul rata semuanya sebagai ‘wizarah tanfiz’, justeru dengan mudahnya harus melantik orang bukan Islam (yang tidak anti-Islam) bagi jawatan tersebut seperti yang di’fatwa’kan oleh sebahagian Mufti, Asatizah parti politik dan NGO?
Hakikatnya, jawatan-jawatan tersebut langsung tidak sama dengan maksud wizarah tanfiz yang diungkapkan Al-Mawardi.
Wizarah tanfiz hanyalah pelaksana, tidak ada kuasa tertentu dalam menentukan/meluluskan suatu dasar, polisi, akta atau undang-undang negara.
Okaylah, anggaplah kita tidak ambil pandangan Al-Mawardi ini kerana tidak lagi relevan. Kita terus ambil dari Al-Quran, Surah Al-Mumtahanah ayat 8-9, untuk mengharuskan lantikan non-muslim sebagai pemimpin, seperti yang dijelaskan oleh sebahagian mufti.
Namun bila diteliti, ayat tersebut hanya memberi isyarat bahawa umat Islam boleh berbuat baik dan berlaku adil dengan orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.
Ia tidak sesekali menafikan larangan memberikan wala’ kepada orang bukan Islam dan menjadikan mereka sebagai pemimpin (seperti mana yang termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 28, Al-Nisa’ ayat 138-139, Al-Taubah ayat 71 dan Al-Mumtahanah ayat 1 dan banyak lagi ayat larangan wala’).
Wala’ pula hanya berhak diberikan kepada Allah, Rasulullah dan orang-orang beriman. (Abu Zahrah, Fatawa Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, himpunan dan tahqiq Dr. Muhammad Uthman Syibir, Dar Al-Qalam, Beirut, m/s 725-726)
Tambahan pula, fuqaha’ dan mufassirin tidak pernah mentafsirkan ayat 8-9 Surah Al-Mumtahanah dengan mengharuskan melantik orang bukan Islam sebagai pemimpin negara. Kerana ayat tersebut HANYA mengharuskan membuat BAIK dan berlaku ADIL kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi/memerangi Islam. (`Ali Al-Sais, Tafsir Ayat al-Ahkam, Al-Maktabah al-`Asriyyah, Beirut, m/s 756-757; Syed Qutb, Fi Zilal Al-Quran jil. 2, m/s 910)
Bahkan menurut ibnu Hajar, membuat baik dengan orang bukan Islam tidak bermaksud boleh berkasih sayang dan saling mencintai dengan mereka yang memang telah dilarang. (Ibnu Hajar, Fath al-Bari, jil. 5, m/s 233)
Maka selepas pandangan fuqaha’ ditolak, ijtihad Al-Mawardi diketepi, firman Allah yang melarang wala’ diendahkan, sumber dan ijtihad mana lagi yang diambil untuk mengharuskan pemimpin dan jawatan-jawatan penting negara dipegang oleh bukan Islam?
Fiqh Malizi? Di mana usul fiqhnya?
Maqasid Syariah? Di mana usaha untuk capai maqasid hifz al-din nya? Atau masih lagi berpegang hifz kulli adyan (semua agama)?
Nasi telah menjadi bubur. Banyak jawatan pemimpin negara telah terlepas dari tangan orang Islam. Dan kita telah saksikan impak negatifnya dalam tempoh kurang setahun ini. Mereka yang sebelum ini mempromosi “pemimpin kafir yang adil” diam seribu bahasa.
* * *
Bukan maksud saya kena jadi rigid dengan mengharamkan secara mutlak perlantikan non-Muslim sebagai ahli parlimen dan menteri & tahaluf siyasi dengan mereka. Apa yang ingin saya sampaikan ialah jangan bermudah-mudah dalam memutuskan keputusan Syariah dalam siyasah/ politik kenegaraan hari ini, atas alasan fiqh malizi, rahmatan dan maqasid, tanpa asas usul fiqh.
Sepatutnya sebarang keputusan politik perlu didahului dengan proses ijtihad.
Sekurang-kurangnya perlu ada kertas kajian Syariah yang lengkap, ada takyif syarie sebenar sistem demokrasi berparlimen di Malaysia, ada siri-siri perbincangan ulama tanpa mengira parti & NGO, ada analisis impak keputusan siyasah, serta mengambil kira input dari pakar sejarah, undang-undang, geopolitik dan ekonomi.
Di atas ini baru satu contoh isu dalam siyasah. Belum lagi bincang isu tahaluf, aplikasi syura dalam kerangka demokrasi, dhawabit penglibatan dalam sistem demokrasi, hak warganegara bukan Islam, kerelevanan kategori zimmi harbi dalam konteks semasa, ruang lingkup kuasa pemimpin dalam tabanni al-hukm, taksil syar’ie hak istimewa melayu, dan pelbagai lagi isu yang masih belum lumat dikaji dan diperdebatkan.
Wallah A’lam.
Sekadar lontaran idea asas siyasah syar`iyyah yang sepatutnya menjadi asas bagi sistem politik kenegaraan di Malaysia.
Saya sedar ia begitu ideal. Tapi sekurang-kurangnya kita semua nampak gambaran asas dan apa yang sepatutnya berlaku mengikut Syarak, sebagai panduan dalam merangka strategi dan langkah ke hadapan.
Salam Jumaat.
Ustaz Ahmad bin Khairuddin
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)