Adakah berdiri tanda hormat kepada guru dilarang oleh Nabi SAW? 

Assalamualaikum wrth, adakah berdiri tanda hormat kepada guru dilarang oleh Nabi SAW? sebab saya ada lihat satu video yang menjelaskan sedemikian. Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Larangan dalam hadis “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka” bukanlah disebabkan perbuatan berdiri itu tetapi larangan tersebut adalah terhadap perasaan suka dalam diri seseorang apabila ada orang lain berdiri untuknya. Bahkan dalam hadis yang lain, Nabi SAW memerintahkan para sahabat agar berdiri untuk Saʻad apabila beliau datang untuk membacakan hukuman kepada penduduk Bani Quraizah. Walaupun begitu, perbuatan berdiri tersebut bukanlah kerana ingin mengagungkan individu tertentu tetapi mestilah kerana ingin menghormati dan memuliakannya sahaja atas faktor keilmuan, kewarakan atau kemuliaannya.

Mukadimah

Antara peranan ilmu hadis ialah menerangkan keaslian sesebuah hadis di samping membantu memahami makna hadis yang benar sesuai dengan isyarat daripada Nabi SAW. Pada hari ini seringkali mereka yang membaca hadis dalam keadaan gopoh terhadap sesuatu ungkapan yang dianggap menarik yang disandarkan kepada Nabi SAW. Lalu mereka berpegang dengan zahir hadis semata-mata tanpa melihat huraian ulama dalam memahami sesuatu hadis. Oleh itu, perbahasan kali ini akan menghuraikan berkenaan hadis “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka”.

Huraian Jawapan

Hadis yang dimaksudkan ialah riwayat daripada Muʻawiyah RA bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَمْثُلَ لَهُ الرِّجَالُ قِيَامًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka.”

Riwayat Abu Daud

Selain itu, dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:

مَن سرَّهُ أن يتمثَّلَ لَهُ الرِّجالُ قيامًا فَليتَبوَّأ مَقعدَهُ منَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka.

Riwayat al-Tarmizi

Imam al-Tarmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan.Bahkan, Imam Abu Daud tidak memberikan sebarang komentar terhadap hadis ini bermaksud hadis ini menurutnya adalah salih untuk diamalkan.Oleh itu, umumnya hadis ini boleh dikategorikan sebagai hadis yang maqbul(diterima periwayatannya).

Hadis ini menunjukkan larangan bagi seseorang yang berdiri untuk mengagungkan individu tertentu.Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menukilkan pandangan Imam al-Nawawi yang mengatakan bahawa makna hadis ini yang paling tepat (asah) ialah larangan untuk seseorang muslim merasa suka ketika orang lain berdiri untuk dirinya.

Muhammad Asyraf al-‘Azim al-Abadi juga mengatakan bahawa larangan tersebut adalah terhadap perasaan suka dalam diri seseorang apabila ada orang lain berdiri untuknya.[7] Namun sekiranya terdapat orang yang berdiri ataupun tidak untuk dirinya dan tidak terlintas dalam dirinya sedikit pun perasaan suka tersebut maka tidak mengapa. Berbeza kalau dia merasa suka apabila diperlakukan sedemikian maka hukumnya haram meskipun tidak ada sesiapa yang berdiri.

Oleh itu, pemahaman mereka yang melarang perbuatan berdiri tanda hormat kepada seseorang disebabkan perbuatan berdiri itu sendiri adalah tidak tepat. Tetapi sebab larangan tersebut yang paling tepat adalah kerana perasaan suka tersebut semata-mata.[9]

Hal ini kerana terdapat hadis lain daripada Abu Saʻid al-Khudri RA beliau berkata: Sesungguhnya penduduk Quraizah apabila mereka bersetuju untuk menerima hukuman daripada Saʻad maka Nabi SAW menghantar beliau kepada mereka. Lalu beliau datang menaiki keldai lalu baginda Nabi SAW bersabda:

‏ قُومُوا إِلَى سَيِّدِكُمْ

Maksudnya: Berdirilah kamu semua untuk tuan kamu.

Riwayat Abu Daud

Mulla ‘Ali al-Qari menyebutkan bahawa hadis ini menunjukkan tentang perbuatan memuliakan golongan yang mempunyai kelebihan daripada aspek keilmuan, kewarakan atau kemuliaan dengan cara berdiri saat kehadiran mereka. Begitulah pandangan jumhur ulama ketika berinteraksi dengan hadis ini.

Walaupun begitu, perlu dicermati hadis ini dengan baik dan teliti kerana keharusan yang disebutkan dalam hadis tersebut bukanlah bersifat mutlak kerana ia terikat dengan tujuan mereka yang melakukan amalan berdiri menyambut ketibaan seseorang tersebut. Hal ini kerana, jika berdiri itu bagi tujuan memuliakan dan menghormati maka dibolehkan. Namun jika tujuannya untuk mengagung-agungkan individu tertentu maka dilarang.

Perkara ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali bahawa perbuatan berdiri adalah makruh jika bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang dan boleh untuk memuliakan.

Kesimpulan

Larangan dalam hadis “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka” bukanlah disebabkan perbuatan berdiri itu tetapi larangan tersebut adalah terhadap perasaan suka dalam diri seseorang apabila ada orang lain berdiri untuknya. Bahkan dalam hadis yang lain, Nabi SAW memerintahkan para sahabat untuk berdiri kepada Saʻad apabila beliau datang untuk membacakan hukuman kepada penduduk Bani Quraizah. Walaupun begitu, perbuatan berdiri tersebut bukanlah kerana ingin mengagungkan individu tertentu tetapi mestilah kerana ingin menghormati dan memuliakannya sahaja atas faktor keilmuan, kewarakan atau kemuliaannya.

Wallahuaʻlam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts