Adakah bila berdoa, takdir akan berubah?

Secara mudahnya, kita boleh menganggap bahawa apa yang boleh kita pilih, maka kita bertanggungjawab terhadap pilihan kita. Kita tak mahu makan, maka laparlah kita. Kita tak mahu belajar, maka kekallah kebodohan kita.

Itu adalah sunnah asbab musabbab yang Allah jadikan dunia ini begitu, agar manusia boleh hidup di atas muka bumi ini dengan sejahtera. Walaupun begitu, asbab musabbab ini adalah suatu ketetapan yang tertakluk di bawah kehendak Allah SWT. Ia bukan berkuasa secara zat, tetapi diberikan oleh Allah kemampuan untuk berfungsi / memberi kesan secara adat.

Termasuklah dalam perihal ini adalah ‘doa’ seorang manusia. Doa hakikatnya termasuk di dalam bab asbab musabbab, dengannya boleh memberi kekuatan, merungkai kesulitan, menyembuh penyakit, memberi kecerdasan dan kefahaman dan begitulah seumpamanya.

Doa di sisi orang mukmin bukan sekadar ibadah, tetapi ia juga adalah senjata yang boleh membunuh musuh, memudahkan urusan rezeki, dan memanjangkan umur.

Jadi di sini timbul persoalan, adakah bila berdoa, takdir boleh berubah?

Jika yang dimaksudkan adalah takdir di sudut ketetapan sunnatullah di dalam bab asbab musabbab, jawapannya adalah ‘Ya’, doa boleh merubah takdir. Bahkan ia antara yang paling kuat merubah takdir, kerana ia menggunakan talian hayat meminta kepada Allah SWT secara terus.

Sama seperti kita menolak takdir kebodohan kita dengan pergi belajar. Kita juga menolak takdir kelaparan dengan pergi makan. Inilah yang dimaksudkan oleh Saidina Umar RA di dalam kes wabak taun : Kita menolak takdir dengan takdir.

Namun jika yang dimaksudkan adalah takdir yang tersimpan di dalam ilmu Allah SWT terhadap nasib dan masa depan seseorang manusia, maka ia adalah suatu kemustahilan kerana mustahil ilmu Allah SWT akan berubah-ubah kerana ilmu-Nya azali, tidak dipengaruhi sesiapa, tidak pula terikat dengan masa dan tempat.

Tiada sesiapapun mengetahuinya melainkan diri-Nya sendiri. Hatta para Rasul SAW dan malaikat AS pun tidak mengetahui ilmu itu.

Jadi perlu dibezakan apakah yang dimaksudkan dengan takdir, dan apakah pula yang dimaksudkan dengan ilmu-Nya yang azali.

Mengenai takrif yang pertama, kita boleh bicarakan ia dan perbahas sejauhmana kesan doa kepada hidup kita.

Tetapi mengenai takrif yang kedua, ia adalah perbahasan yang dilarang kerana ia adalah rahsia dan ilmu Allah SWT, berbicara mengenainya adalah sia-sia, dan boleh merosakkan akal dan akidah.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama Isma (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts