Soalan
Assalamualaikum, saya ada persoalan mengenai membeli barangan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh terpakai dari non-muslim dan dibeli dari rumah bukan dari kedai. Adakah saya perlu samak atau sertu terdahulu jika ada kemungkinan pengguna asal menyimpan daging khinzir dan arak. Jika ya, bagaimanakah caranya untuk samak alatan tersebut. sekian, terima kasih
Ringkasan Jawapan
Menggunakan barang yang dibeli daripada golongan non-muslim tidak wajib disamak atau disertu sekiranya tidak terdapat sebarang tanda yang membuktikan bahawa ia bernajis.
Selain itu, sunat untuk dibasuh sebelum menggunakannya dengan air yang bersih sahaja. Jika dengan basuhan tersebut boleh merosakkannya maka tidak perlu untuk membasuhnya agar terpelihara daripada kerosakan.
Huraian Jawapan
Islam menuntut umatnya supaya mengambil berat dalam aspek kebersihan dalam kehidupan. Namun dalam aspek ini juga mestilah berpandukan hukum-hakam yang telah ditetapkan syarak. Dalam aspek yang berkaitan ketidakpastian atau ragu-ragu dalam permasalahan najis, maka hendaklah berbalik kepada kaedah hukum asal bagi sesuatu barang itu adalah suci. Perkara ini seperti mana yang dinyatakan oleh sepotong hadis yang diriwayat oleh Abbdullah bin Zaid al-Mazini bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا
Maksudnya: Janganlah seseorang itu beredar (keluar dari solatnya) sehingga mendengar bunyi atau menghidu bau (yang keluar dari duburnya)
Riwayat al-Bukhari (177)
Imam Badruddin al-‘Aini menyatakan bahawa hadis di atas merupakan jawapan Nabi SAW terhadap kemusykilan seorang lelaki yang syak terhadap solat sehingga ia memikirkannya ketika menunaikan solatnya. Dalam menjelaskan hadis di atas, Syeikh Amin al-Harari menjelaskan bahawa (صوتًا) iaitu bunyi yang keluar daripada duburnya dan (أو يجد) bau yang dihidu oleh hidungnya.
Selain itu, terdapat kaedah fiqh yang menjelaskan bahawa asal sesuatu barang itu adalah suci, kaedah ini seperti yang disebut oleh Imam al-San’ani di dalam karyanya Subul al-Salam:
أَنَّ الْأَصْلَ فِي الْأَعْيَانِ الطَّهَارَةُ
Maksudnya: Sesungguhnya hukum asal sesuatu barang itu adalah suci.
Begitu juga, jika seseorang itu syak dan tidak dapat dipastikan sesuatu itu bernajis atau tidak maka hendaklah ia menghukum sesuatu itu tidak bernajis sehinggalah wujud bukti kenajisan itu. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan:
الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
Maksudnya: hukum asal sesuatu barang itu kekal sepertimana keadaan sebelumnya.
Imam Ibnu Nujaim dalam mensyarahkan kaedah ini menyatakan bahawa sekiranya ragu-ragu sama ada sesuatu itu bernajis atau tidak maka asalnya adalah suci dan tidak bernajis. Beliau menyebut di dalam karyanya:
شَكَّ فِي وُجُودِ النَّجَسِ فَالْأَصْلُ بَقَاءُ الطَّهَارَةِ
Maksudnya: Seseorang syak pada menentukan adanya najis, maka hukum asalnya kekal suci
Berdasarkan perbincangan di atas peralatan atau perkakas yang digunakan oleh non-muslim tidak perlu disertu sekiranya tidak yakin akan kenajisannya pun begitu ia sunat dibasuh hanya dengan menggunakan air bersih .
Perkara ini jelas seperti yang dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Tha’labah al-Khushani. Beliau bertanya kepada Nabi SAW perihal menggunakan bekas masakan jirannya yang merupakan seorang ahli kitab, lalu Baginda Nabi SAW menjawab:
إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا
Maksudnya: Sekiranya kalian dapat menggunakan bekas selainnya maka makan dan minumlah dengannya. Jika tidak mendapati selainnya maka bersihlah ia dengan air lalu makan dan minumlah.
Riwayat Abu Daud (3839)
KESIMPULAN
Berdasarkan hujah di atas, dapat disimpulkan bahawa tidak wajib disamak atau disertu barang yang dibeli daripada golongan non-muslim sekiranya tidak terdapat sebarang tanda yang membuktikan bahawa ia bernajis.
Walaubagaimanapun sunat untuk dibasuh sebelum menggunakannya dengan air yang bersih. Jika dengan basuhan tersebut boleh merosakkannya maka tidak perlu untuk membasuhnya agar terpelihara daripada kerosakan
Wallahu’alam– Muftiwp
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM