Adakah puasa umat terdahulu sama seperti puasa umat Nabi Muhammad SAW?

Soalan

Assalamualaikum, saya ada membaca berkenaan ayat al-Quran surah al-Baqarah yang menyebut tentang puasa umat terdahulu. Jadi timbul persoalan, adakah puasa umat terdahulu sama seperti puasa kita pada hari ini iaitu puasa Ramadan seperti yang difardukan kepada umat Islam sekarang. Saya mohon pencerahan daripada pihak mufti, sekian terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Puasa umat terdahulu tidak banyak perbezaan di antara puasa yang telah disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW seperti perbezaan bilangan hari dan waktu yang telah ditetapkan. Pun begitu terdapat persamaan di antara puasa umat terdahulu dan sekarang sebagaimana yang telah disyariatkan untuk menahan diri daripada makan dan minum serta bersama dengan isteri, namun tujuan dan matlamat utama pensyariatan puasa itu sendiri adalah untuk mendapat keredaan dan menambah ketaatan kepada Allah SWT.

Huraian Jawapan

Bulan Ramadan merupakan bulan yang dianugerahkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW berpuasa, bulan yang mana diberikan pelbagai ganjaran supaya dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Ibadah puasa juga merupakan satu ibadah yang istimewa bukan sahaja difardukan ke atas umat Nabi SAW bahkan ia juga difardukan kepada umat-umat terdahulu. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” 

(al-Baqarah, 183)

Para ulama tafsir berbeza pandangan dalam mentafsirkan, ayat (كما كُتبَ على الذين من قبلكم). Menurut sebahagian ulama mentafsirkan bahawa ayat ini menunjukkan tentang kewajipan berpuasa umat Nabi Muhammad SAW sama seperti kewajipan berpuasa ke atas seluruh umat terdahulu. Manakala menurut pandangan lain, ayat ini menggambarkan kewajipan berpuasa umat Nabi Muhammad SAW sepertimana puasa yang diwajibkan ke atas golongan nasrani. Perkara ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Tabari dengan menukilkan pandangan Abu Ja’far katanya:

ثم اختلف أهل التأويل في الذين عنى الله بقوله:”كما كُتبَ على الذين من قبلكم”، وفي المعنى الذي وَقعَ فيه التشبيه بين فرضِ صَومنا وصوم الذين من قبلنا. فقال بعضهم: الذين أخبرنا الله عن الصوم الذي فرضه علينا، أنه كمثل الذي كان عليهم، هم النصارى

Maksudnya: “Kemudian Ahli Ta’wil berbeza pandangan berkaitan firman Allah SWT: (كما كُتبَ على الذين من قبلكم) dari sudut makna, ia terkandung persamaan di antara kewajipan puasa kita dan puasa umat terdahulu. Menurut pandangan yang lain: Allah SWT mengkhabarkan tentang puasa yang diwajibkan ke atas kita seperti yang diwajibkan ke atas mereka iaitu golongan Nasrani.”

Selain itu, menurut ‘Ata’ dengan meriwayatkan pandangan Ibnu Abbas menyatakan bahawa umat terdahulu di dalam ayat (كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ) merujuk kepada golongan ahli kitab, perkara ini juga sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Sya’bi dan al-Suddi. Hal ini dinukilkan oleh Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya:

وَقَالَ عَطَاءٌ الْخُرَاسَانِيُّ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: {كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ} يَعْنِي بِذَلِكَ: أَهْلَ الْكِتَابِ. وَرُوِيَ عَنِ الشَّعْبِيِّ وَالسُّدِّيِّ وعطاء الخراساني، مثله.

Maksudnya: “‘Ata al-Khurasani berkata, riwayat daripada Ibnu Abbas: (كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ) iaitu: Ahli kitab. Sepertimana riwayat daripada al-Sya’bi, al-Suddi dan ‘Ata al-Khurasani.”

Imam Ibnu Kathir menjelaskan lagi dengan menukilkan pandangan dari ‘Abbad bin Mansur yang meriwayatkan tafsiran daripada Hasan al-Basri menyatakan bahawa Allah SWT telah mewajibkan puasa ke atas setiap umat terdahulu sama seperti umat Nabi Muhammad SAW dengan berpuasa satu bulan penuh pada hari yang telah ditentukan dan ia juga telah diriwayatkan oleh al-Suddi.

Kaedah dan cara berpuasa umat terdahulu tidak jauh berbeza dengan umat Nabi Muhammad SAW. Mereka melaksanakan puasa dengan menahan diri mereka daripada makan dan minum di samping itu mereka juga menahan diri daripada bersama dengan isteri mereka sebagai contoh, Imam Qurtubi meriwayatkan daripada al-Sya’bi dan Qatadah yang menceritakan bahawa umat nabi Musa dan Isa AS diperintahkan untuk berpuasa pada bulan Ramadan lalu mereka menukarkannya pada waktu yang lain. Oleh sebab itu, para pendeta mereka berpendapat supaya ditambah sepuluh hari bilangan hari berpuasa sebagai ganti. Sedemikian dengan itu, ramai dari kalangan mereka tidak mampu menunaikannya malah ramai dari kalangan mereka yang jatuh sakit. Kemudian para pendeta mereka bernazar sekiranya sembuh, mereka akan menambah lagi bilangan hari berpuasa sebanyak sepuluh hari lagi. Hal ini menjadikan jumlah bilangan hari puasa mereka menjadi lima puluh hari sehinggalah mereka diberi kesusahan untuk menunaikanya. Lalu mereka menukar puasa tersebut pada waktu yang lain ketika musim yang lebih dingin iaitu pada musim bunga. Hal ini kerana mereka tidak dapat menahan berpuasa pada cuaca yang panas dalam musim kemarau.

Selain itu, Imam al-Qurtubi juga menukilkan pandangan daripada Mu’az bin Jabal dan ‘Ata yang menyatakan bahawa pada permulaan kedatangan Islam, umat Islam berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan dan juga pada hari Asyura seperti yang dilakukan oleh kaum yahudi. Imam Qurtubi juga mendatangkan penjelasan daripada Ibnu ‘Abbas yang menyebut bahawa puasa tiga hari pada setiap bulan dan puasa pada hari Asyura itu dimansuhkan lalu digantikan dengan puasa pada bulan ramadan.

Begitu juga pada puasa yang lain, iaitu puasa selang sehari sebagaimana yang telah diamalkan oleh Nabi Daud AS, perkara ini disabdakan oleh Baginda Nabi SAW menurusi hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin al-‘As, sabda Nabi SAW:

أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ صِيَامُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَأَحَبُّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ صَلاَةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ

Maksudnya: “Puasa yang paling dicintai olehi Allah ‘Azza wa Jalla adalah puasa Daud AS. Baginda berpuasa satu hari kemudian tidak berpuasa pada keesokannya. Sebaik-baik solat yang disukai Allah ‘Azza wa Jalla adalah solat Daud AS. Baginda tidur seperdua malam dan bagun mendirikan solat sepertiga malam lalu disambung tidur satu per enamnya.

Riwayat al-Nasa’ie (2344)

Oleh itu, berdasarkan riwayat dan pandangan ulama di atas, ia dapat memberi gambaran bahawa puasa umat terdahulu tidak banyak perbezaan di antara puasa yang telah disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW seperti perbezaan bilangan hari dan waktu yang telah ditetapkan di antaranya:

  • Puasa umat Nabi Musa AS diperintahkan supaya berpuasa pada bulan Ramadan. Kemudian mereka menukarnya pada hari yang lain dan ditambah bilangan puasa sehingga menjadi lima puluh hari.
  • Kaum Yahudi berpuasa sebanyak tiga hari sebulan dan pada hari Asyura. Puasa ini juga diamalkan oleh umat Islam pada awal kedatangan Islam, lalu Allah SWT memansuhkannya dan menggantikan puasa pada bulan Ramadan.
  • Amalan puasa secara selang sehari yang diamalkan oleh Nabi Daud AS dan ini merupakan puasa yang sangat Allah SWT cintai.

Pun begitu terdapat persamaan di antara puasa umat terdahulu dan sekarang sebagaimana yang telah disyariatkan untuk menahan diri daripada makan dan minum serta bersama dengan isteri, namun tujuan dan matlamat utama pensyariatan puasa itu sendiri adalah untuk mendapat keredaan dan menambah ketaatan kepada Allah SWT.

Wallahu’alam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts