Soalan
Assalammualaikum, saya ingin bertanya berkaitan penggunaan “nasal spray” ketika puasa. Fungsi nasal spray adalah untuk melegakan hidung yang tersumbat atau berhingus yang berlebihan. Kebiasaan pengunaan ubat ni adalah di kalangan pesakit “allergic rhinitis”. Maximun pengunaan “nasal spray” adalah 2 kali sehari. Adakah pengunaan “nasal spray” membatalkn puasa? Mohon pencerahan S.S Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan:
Kaedah yang betul bagi semburan ubat ( nasal spray ) ke rongga hidung adalah apabila cecair kekal di dalam rongga hidung tanpa menghidu. Selepas menyembur, endus perlahan-lahan dan elakkan menghidu terlalu kuat supaya semburan tidak ditelan agar ubat masuk tidak masuk dalam tekak.
Oleh yang demikian, penggunaannya berdasarkan keadaan dan situasi seperti berikut :
- Penggunaan “nasal spray” boleh membatalkan puasa sekiranya melepasi batas akhir hidung (bahagian atas diantara hidung dan otak).
- Sebaliknya, sekiranya semburan ubat “nasal spray” tidak sampai melepasi had pangkal akhir hidung, maka tidak membatalkan puasa.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Semburan hidung “Nasal Spray” digunakan untuk menyampaikan ubat ke rongga hidung disebabkan kesesakan hidung. Semburan tersebut merawat masalah di kawasan hidung dan sinus. Fungsi “nasal spray” merawat gejala alergi atau selesema, seperti gatal-gatal, bersin, atau hidung tersumbat .
Kaedah Penyampaian Ubat “Nasal Spray”
Kaedah yang betul dengan menyembur pada sudut ke dalam rongga hidung dengan muncung menghala ke telinga. Yang penting tidak menghidu agar semburan cecair kekal di dalam rongga hidung dan tidak ditelan, produk itu tidak akan berfungsi jika semburan memasuki kerongkong. Tidak perlu dongakkan kepala ke belakang untuk mengelakkan ubat masuk ke dalam tekak. Kaedah semburan hidung yang betul boleh memberi manfaat jika ia digunakan dengan cara betul di mana ubatnya berada di dalam rongga hidung dan bukannya mengalir di belakang tekak. Selepas menyembur, endus perlahan-lahan dan elakkan menghidu terlalu kuat, kerana ini boleh menyebabkan ubat mengalir ke kerongkong.
Bahagian Had Rongga Hidung
Rongga hidung mempunyai had tertentu yang boleh menyebabkan batal puasa, Fuqaha menentukan piawaian had zahir bermula hidung hingga batas akhir pangkal hidung /khaisyum (منتهى الخيشوم) (tulang tipis bahagian atas diantara hidung dan otak).
Ulama Syafieyyah berpandangan batal puasa apabila memasukkan sesuatu sampai melepasi had pangkal akhir hidung.
(قوله: ولا يفطر بوصول إلى باطن قصبة أنف) أي لأنها من الظاهر، وذلك لأن القصبة من الخيشوم، والخيشوم جميعه من الظاهر. (قوله: حتى يجاوز منتهى الخيشوم) أي فإن جاوزه أفطر، ومتى لم يجاوز لا يفطر.
Maksudnya: “Puasa tidak batal apabila sampai sesuatu ke bahagian dalam batang hidung kerana had zahir pada kawasan pangkal hidung (khaisyum). Sementara sesuatu “ain” yang melepasi had pangkal hidung, maka membatalkan puasa, sebaliknya tidak batal puasa apabila tidak melepasi pangkal hidung”
Oleh yang demikian, sesuatu “ain” yang masuk ke dalam rongga hidung akan membatal puasa apabila memasukkan sesuatu sampai melepasi had pangkal akhir hidung. Sementara itu, tidak batal puasa apabila sampai sesuatu ke pangkal akhir hidung.
Penutup
Setelah meneliti perbahasan yang dikemukakan, semburan ubat “nasal spray” itu membatalkan puasa sekiranya melepasi had batas akhir hidung ( منتهى الخيشوم) iaitu tulang tipis yang berada di pangkal hidung ( bahagian atas diantara hidung dan otak). Sebaliknya, semburan “nasal spray” tidak membatalkan puasa sekiranya tidak sampai pada rongga yang melepasi had pangkal akhir hidung.
Wallahu A’lam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM