BANGI – Afghanistan dijangka akan menjadi wilayah yang terus bergolak pada masa akan datang akibat vakum kuasa yang ditinggalkan Amerika Syarikat (AS), dan tiada kata sepakat dicapai antara wakil Taliban serta wakil pemerintahan lain di negara itu.
Penganalisis Interdisciplinary Research and International Strategy Institute (IRIS Institute), Asyraf Farique berkata, walaupun ada sesetengah pihak mengatakan Taliban telah berjaya menjatuhkan kerajaan sebelum ini yang menjadi proksi kepada AS, timbul persoalan sejauh mana kebangkitan Taliban pada kali ini bebas daripada campur tangan asing terutama China dan Russia.
“Skrip yang sama akan terus berulang kepada umat Islam selagi mana politik mereka tidak betul-betul bebas dan merdeka daripada cengkaman asing.
“Afghanistan pula merupakan kawasan yang strategik buat kuasa-kuasa besar di Asia Selatan.
“Selain kedudukan geografi yang strategik, bumi Afghanistan juga kaya dengan sumber mineral dan sumber alam. Dianggarkan sumber mineral bernilai 3 trilion USD dollar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Bahkan, Asyraf berkata, Taliban sebelum ini pernah mengadakan perjumpaan dengan China untuk membincangkan prospek projek pelaburan Belt and Road Initiative (BRI).
Julai lalu, Beijing dilaporkan melihat pengunduran AS dari Afghanistan sebagai sesuatu yang menguntungkan, malah ‘hubungan erat’ negara republik itu dengan kerajaan masa depan di Kabul juga dapat membuka jalan untuk perkembangan BRI ke Afghanistan dan melalui republik Asia Tengah.
China menyatakan bahawa ia ‘bersedia untuk menjalin hubungan persahabatan’ dengan Taliban dan ia merupakan salah satu dari negara yang kedutaannya di Kabul tetap beroperasi.
Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying dalam sidang media, semalam menyatakan bahawa Beijing menghormati hak rakyat Afghanistan untuk menentukan nasib mereka sendiri dan kerajaan China berharap dapat terus mengembangkan hubungan kerjasama dengan Afghanistan.
Walaupun mendapat sambutan yang agak tenang dan positif dari Beijing, beberapa pakar berpendapat bahawa kenyataan itu mencerminkan pendekatan China yang berhati-hati namun pragmatik untuk menangani hubungannya dengan Taliban.
Sementara itu, mengulas mengenai masa depan Afghanistan, Asyraf melihat bahawa kebangkitan Taliban akan mencerminkan perseteruan dalaman yang meruncing di kalangan pelbagai etnik di Afghanistan.
“Taliban terkenal dengan pentadbiran yang lebih radikal dan pernah menumbangkan gerakan Islamis yang tidak sealiran dengan mereka seperti Jamaat Islami Afghanistan yang sebelum ini pernah memimpin Afghanistan selepas perang dengan Soviet tamat.
“Ia dijangka terus bergolak selagi tiada kesepakatan antara wakil-wakil pemerintahan dan etnik di negara itu,” katanya.
Pakar antarabangsa menjangkakan, sekalipun Taliban dapat merundingkan pengembalian kekuasaan secara formal, negara itu akan terus huru-hara untuk waktu yang lama, dengan implikasi serius bagi rantau tersebut, terutama untuk Pakistan dan China — dengan cara yang berbeza tetapi signifikan secara geopolitik. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)