Ahmad Manasra Dibebaskan: Kanak-Kanak P4le5t!n yang Membesar dalam Penjara Z!0n!s

Ahmad Manasra, tahanan Palestin yang kisahnya pernah mencetuskan kemarahan dunia, akhirnya bakal dibebaskan hujung minggu ini selepas hampir satu dekad dipenjarakan oleh rejim Zionis. Ahmad ditangkap ketika baru berusia 13 tahun dan dijatuhi hukuman hampir 10 tahun penjara. Kini, pada usia 23 tahun, beliau akhirnya akan menghirup udara kebebasan.

Ahmad Manasra: Kanak-Kanak yang Dirampas Masa Depannya

Ahmad berasal dari Baitulmaqdis Timur, wilayah yang diduduki secara haram oleh Israel. Ketika berusia 13 tahun, beliau ditahan oleh tentera Israel kerana didakwa terlibat dalam satu serangan di penempatan haram Psgat Zeev pada November 2015. Walaupun masih bawah umur dan bukti kukuh terhadapnya diragui, mahkamah rejim tetap menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun setengah ke atas Ahmad ketika usianya baru mencecah 14 tahun.

Diseksa Tanpa Belas: Derita Mental & Fizikal Ahmad Manasra di Penjara Z!0n!s

Sepanjang tempoh pemenjaraannya, kesihatan mental Ahmad semakin merosot. Beliau kemudiannya disahkan menghidap skizofrenia. Para doktor menegaskan bahawa Ahmad memerlukan rawatan pakar segera di luar penjara. Namun, pihak berkuasa Israel terus mengabaikan rayuan dan nasihat pakar perubatan.

Satu rakaman video sepanjang 10 minit yang pernah tular menunjukkan detik-detik Ahmad yang ketika itu masih kanak-kanak, disoal siasat secara kasar oleh tiga pegawai Israel tanpa kehadiran peguam atau penjaga — satu pelanggaran nyata terhadap piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Dalam video tersebut, Ahmad kelihatan ketakutan dan trauma apabila pegawai-pegawai terbabit menjerkah, mengugut serta menghina beliau.

Dikurung Sendiri, Dihukum Tanpa Bukti dan Mangsa Sistem Gelap I5r4el

Sejak November 2021, Ahmad telah diletakkan dalam kurungan bersendirian. Mahkamah Israel mendakwa tindakan ini kononnya untuk menjaga keselamatan Ahmad dan orang lain, berpandukan maklumat “rahsia” dari agensi perisikan. Namun, pakar psikiatri bebas memberi amaran bahawa pengasingan ini hanya memburukkan lagi kesihatan mental Ahmad, yang sudahpun berada dalam keadaan kritikal.

Pusat Perundangan Adalah (Adalah) mengutuk keputusan ini, menyatakan bahawa sistem kehakiman Israel secara sistematik menggunakan “bukti rahsia” untuk menjustifikasikan pencabulan hak asasi rakyat Palestin di bawah kawalannya.

Dalam satu video yang dikongsi aktivis di media sosial, ibu Ahmad merayu kepada dunia agar anaknya dibebaskan. “Kebebasan adalah satu-satunya jalan untuk menyembuhkan dia,” katanya sambil menambah, “Saya merayu kepada orang-orang yang berhati nurani. Anak saya dikurung dalam sel, dia tidak melihat matahari.”

Membunuh Masa Depan Kanak-Kanak Palestin

Menurut pertubuhan Defense for Children – Palestine (DCIP), kira-kira 700 kanak-kanak Palestin ditahan dan didakwa oleh tentera Israel setiap tahun. Tiga daripada empat kanak-kanak ini mengalami keganasan fizikal semasa penahanan atau soal siasat.

Menjelang akhir Disember 2024, lebih daripada 300 kanak-kanak Palestin masih ditahan atas dakwaan keselamatan oleh Israel.

Pada tahun 2016, Israel meluluskan undang-undang baru yang membenarkan kanak-kanak seawal usia 12 tahun dipertanggungjawabkan secara jenayah — membolehkan mereka didakwa sebagai orang dewasa dan dijatuhi hukuman penjara, walaupun pelaksanaan hukuman hanya bermula apabila kanak-kanak itu mencecah umur 14 tahun. Undang-undang ini diperkenalkan selepas penahanan Ahmad, dan jelas menunjukkan bagaimana sistem direka untuk menindas kanak-kanak Palestin.

Sejak dua dekad lalu, dianggarkan lebih 10,000 kanak-kanak Palestin telah ditahan oleh rejim Zionis. Alasannya? Daripada membaling batu, menyertai perhimpunan tanpa permit, hinggalah sekadar menyuarakan pandangan politik.


Kisah Ahmad Manasra bukan sekadar tentang seorang remaja yang dipenjara tanpa pembelaan adil. Ia adalah simbol kepada kezaliman sistemik yang dihadapi oleh anak-anak Palestin setiap hari. Bebasnya Ahmad hanyalah permulaan – perjuangan untuk keadilan sebenar masih jauh dari selesai.

Sumber: Quds News Network


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts