Ajaibnya solat Subuh!

 

WAKTU Subuh, tatkala laungan azan berkumandang memanggil ke masjid, malaikat turun ke bumi dan menyaksikan orang soleh mengucapkan tasbih, tahmid dan tahlil.

Besarnya nikmat apabila dapat melaksanakan Subuh secara berjemaah di masjid. Nikmat yang datang daripada ALLAH SWT secara langsung kepada hamba-Nya yang taat menjalankan perintah-Nya.

Namun hari ini, begitu ramai umat Islam yang culas dan lalai dalam mengerjakan solat Subuh. Rata-rata mereka gemar menarik kembali gebar yang melurut jatuh, lebih selesa meneruskan nikmat tidur daripada menggagahkan diri untuk bangun menunaikan solat Subuh.

Situasi ini ternyata berbeza dengan orang yang beriman. Walau sesukar mana keadaan sekalipun, mereka akan ke masjid atau surau untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Sebab? Kerana mereka tahu betapa besarnya nikmat solat Subuh berjemaah ini.

Minggu ini, Sisipan Fikry mengupas hadiah dan anugerah ALLAH kepada hamba-Nya yang khusyuk beribadah pada waktu Subuh.

 

Dah solat Subuh?

Sesiapa yang bersembahyang Subuh, maka dia berada dalam jagaan ALLAH SWT. ALLAH akan memasukkan  cahaya ke dalam hatinya. Melapangkan dadanya dan akan dapat menghirup udara yang baik.

Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang bersolat terutamanya solat Subuh. ALLAH menjadikan mereka berada dalam perlindungan-Nya, memakaikan cahaya-Nya dan menjaga mereka dengan penjagaan-Nya.

Itulah istimewanya solat Subuh!

Ketahuilah, apabila seseorang itu mengerjakan solat Subuh, nescaya dia akan memperoleh banyak manfaat, antaranya:-

– Apabila kamu mengerjakan solat Subuh berjemaah, akan ditulis bagimu pahala qiyamullail.

– Mendapat perlindungan, penjagaan dan jaminan ALLAH.

Orang yang meninggalkan solat Subuh ibarat orang yang mengingkari janji dan seolah-olah mempersendakan tawaran yang baik.

 

 

Mendapat cahaya pada hari kiamat

ALLAH akan memberikan cahaya yang terang pada hari kiamat kepada mereka  yang bersolat Subuh berjemaah. Maksudnya, Dia tidak akan mencabut cahaya tersebut di mana sahaja dan tidak mengambilnya ketika melewati siratul mustaqim. Dia akan tetap bersama sehinggalah mereka masuk ke syurga.

Tidak diragukan lagi, cahaya bagi orang yang beriman di hari kiamat adalah berbeza-beza. Tidak semua orang Mukmin itu mendapat cahaya sepertimana orang beriman yang lain. Kadar cahaya tersebut disesuaikan dengan amalan mereka. Di sinilah peranan solat Subuh, ALLAH akan memberikan cahaya yang sempurna bagi orang yang beriman di hari kiamat kelak kerana mereka sentiasa mengerjakan solat Subuh berjemaah di masjid.

Rasulullah SAW mengajar doa yang berisi permohonan supaya ALLAH memberikan cahaya dalam kubur mereka supaya cahaya tersebut bersama mereka sehinggalah kiamat.

Cahaya ini tidak hanya menyinari di alam kubur dan akhirat, tetapi memberikan cahaya di dunia.

 

Dijamin masuk ke dalam syurga

Percayalah, orang yang memuliakan apa yang dimuliakan oleh ALLAH akan dimuliakan (dikurniakan syurga). Manakala 0rang yang mengabaikan apa yang dimuliakan ALLAH akan terhina.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat bardain (iaitu solat Subuh dan Asar) maka dia akan masuk syurga.” (Riwayat Bukhari no 574 & Muslim no 635)

Sebagai Muslim, kita perlu sentiasa ingat bahawa kenikmatan syurga itu tiada bandingnya jika dibandingkan dengan selesa dan hangatnya selimut yang membuat kita lupa menjalankan ibadah pagi yang wajib ini.

 

Laporan kita diangkat pada waktu Subuh hingga Asar

Lihatlah bagaimana ALLAH memuliakan kita. Dia berikan kita malaikat yang silih berganti kepada kita. Malaikat itu tugasnya untuk menjaga kita dan menulis perbuatan kita setiap hari.

– Rasulullah SAW memberitahu, dua rakaat solat sunat Subuh lebih baik daripada kita memiliki dunia dengan isinya.

Solat sunat rawatib (solat yang menyertai solat fardu) tidak sama keutamaannya. Solat sunat Subuhlah yang menduduki tempat teratas. Sebab itu, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya walaupun Baginda SAW berada dalam perjalanan.

Untuk memotivasikan umat agar menjalankan sunnah ini, Rasulullah SAW menggambarkan besarnya keutamaan ibadah solat sunat dua rakaat sebelum Subuh ini. Maka rugilah orang yang melalaikannya.

– Orang bersolat Subuh ini, orang yang dicalonkan untuk dapat melihat ALLAH pada hari akhirat.

-Kita ambillah bekalan dunia dan akhirat pada waktu pagi. Ini kerana solat fajar di waktu pagi ini adalah waktu yang berkat iaitu waktu yang penuh kebaikan. Waktu pagi telah didoakan khusus oleh Nabi SAW sebagai waktu yang berkat.

Seorang murid menanti gurunya, Sheikh Ahmad Abdul Halim, dari Subuh sehingga terbit matahari. Apabila sudah selesai, ulama itu terkejut kerana anak muridnya masih ada di situ.

Kata anak muridnya: “Saya menunggu dari Subuh, tetapi melihat tuan guru sedang berzikir, saya tidak mahu mengganggu dan turut berzikir.”

Jawab Sheikh: “Ini sarapan pagiku (zikir), kalau aku tidak mengambil sarapan ini hilang kekuatanku.”

Jadi kita ambillah waktu berkah ini untuk menyibukkan diri dekat dengan ALLAH.

 

Tips bangun solat subuh

Suasana yang membimbangkan berlaku kepada kebanyakan umat Islam pada hari ini ialah gejala meninggalkan solat Subuh berjemaah di masjid. Meskipun ramai yang tahu mengerjakan solat Subuh berjemaah itu mempunyai kelebihan yang besar di sisi Islam. Namun masih ramai yang mengabaikan dan kalah untuk bangun awal mengerjakan solat Subuh di masjid.

Di sini ada beberapa tip mudah bangun awal yang boleh diamalkan. Semoga kita menjadi umat Muhammad yang bangun awal untuk  bertahajud, solat sunat dua rakaat sebelum Subuh dan solat Subuh berjemaah di masjid.

  • Jadilah orang bertakwa dan menitik beratkan waktu solat
  • Memelihara adab tidur
  • Memenuhkan dada dengan iman dan amal soleh
  • Meminta tolong pada ALLAH agar dimudahkan untuk bangun Subuh
  • Carilah kawan yang baik

 

Umar sebagai pembakar semangat

Umar Al-Khatab, pada hari setelah pisau pendek tajam terpacak (ditikam) di tubuhnya, darah yang terus mengalir, luka yang masih terbuka, dia tetap bangun untuk mengerjakan solat Subuh, kemudian dia mengatakan: “Ya, tidaklah ada bahagian dalam Islam kepada orang yang meninggalkan solat Subuh.”

Lalu, beliau mengerjakan solat dan lukanya terus mengeluarkan darah.

Umar bin Al-Khatab pernah bertemu dengan seorang lelaki tua yang baru kehilangan penglihatannya bernama Said bin Yarbu’ umurnya telah mendekati 100 tahun. Umar berkata: “Wahai orang tua, jangan kau tinggalkan solat Jumaat, dan janganlah kau tinggalkan solat berjemaah di masjid Nabi.”

Lelaki itu berkata: “Wahai Umar, aku tak mempunyai seseorang yang dapat menunjukkan aku jalan untuk ke masjid.”

Umar menjawab: “Aku akan kirimkan seseorang untuk membawamu ke masjid,” Begitu besar keprihatinan Umar Al-Khatab dalam bab solat berjemaah di masjid.

Bertakwalah kepada ALLAH, dan jagalah solat terutamanya solat Subuh. Jangan kita terlewat atau terus tidak mengerjakannya kerana sesungguhnya solat Subuh ini banyak manfaat kepada kita sebagai umat Islam.

Olahan daripada buku Dunia Bukan Syurga, tulisan Datuk Dr Abd Basit Abd Rahman, terbitan KARYA BESTARI

Sumber: Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts