1. Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan satu kisah yang menarik berhubung keislaman ayah kepada Amru ibn Salamah. Di dalam hadith yang panjang ini, Amru ibn Salamah menceritakan bagaimana bangsa Arab ketika itu masih ragu-ragu tentang kenabian Rasulullah ﷺ. Mereka berpandangan, sekiranya Rasulullah ﷺ adalah Nabi yang benar, Baginda pasti akan menguasai kaumnnya di Mekkah nanti.
2. Setelah Islam mula mendapat tempat di tanah Arab dan berlaku Pembukaan Kota Mekkah, ayah Amru ibn Salamah segera memeluk Islam. Rasulullah ﷺ lalu berpesan kepada ayahnya supaya pulang ke kampung halaman mereka dan dirikanlah solat.
3. Rasulullah ﷺ berpesan kepada mereka bahawa orang yang menjadi Imam itu haruslah orang yang paling banyak menghafaz al-Quran. Sabda Nabi:
فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ، فَلْيُؤَذِّنْ أَحَدُكُمْ، وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْثَرُكُمْ قُرْآنًا
Maksudnya: Maka apabila datangnya waktu solat, maka laungkanlah azan, dan lantikkan dikalangan kamu orang yang paling banyak menghafaz al-Quran sebagai Imam kamu.
4. Menurut Amru, ketika itu tidak ada siapa pun yang lebih banyak menghafaz al-Quran selain daripada beliau. Amru ketika itu hanya berumur 6 atau 7 tahun (darjah satu). Namun disebabkan kerana banyaknya ayat al-Quran yang telah dihafalnya, maka dia terpilih untuk menjadi Imam bagi kaumnya.
5. Keadaan Amru ketika mengimamkan solat agak lucu. Bajunya yang singkat menyebabkan apabila beliau sujud terselak bahagian belakang beliau. Perkara ini menyebabkan seorang wanita dari kaumnya mencadangkan supaya Amru diberikan pakaian yang lebih baik sebagai seorang Imam. Lalu mereka memberikan Amru baju baru ini. Perasaan gembira Amru ini direkodkan didalam hadith. Beliau berkata:
فَمَا فَرِحْتُ بِشَىْءٍ فَرَحِي بِذَلِكَ الْقَمِيصِ.
Maksudnya: Aku tidak pernah merasa begitu gembira seperti mana gembiranya hatiku bila mendapat pakaian baru ini!
6. Hadith ini mendidik kita bagaimana anak kecil itu harus dan boleh diberikan pendedahan awal tentang al-Quran sebagai persediaan awal mereka sebelum dewasa dan membesar sebagai Imam bagi keluarganya pula.
7. Bahkan anak kecil seawal usia 6 atau 7 tahun sudah boleh dididik untuk menjadi Imam di dalam keluarga kita.
8. Dan yang sebaiknya kitalah yang mengajarkan mereka Fatihah dan surah-surah asas kerana bacaan Fatihah dan surah surah itu akan dibaca sepanjang hidupnya.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)