1. SALAH satu perkara yang mesti diterapkan ke dalam jiwa anak-anak adalah berani berhadapan dengan makhluk lain. Bukan kita takutkan mereka dengan hantu tetapi didik mereka agar berani bergelut dengan jin atau hantu.
2. Perhatikan bagaimana Rasulullah ﷺ menceritakan bahawa pada suatu malam Baginda diganggu oleh Jin Ifrit, lalu Baginda bertekad untuk mengikat jin Ifrit itu di tiang. Sabda Rasulullah:
“Sesungguhnya Ifrit dari golongan jin datang menggangguku semalam agar aku memutuskan solatku maka Allah memberi kekuatan kepadaku untuk mengalahkannya, dan aku bertekad untuk mengikatnya di salah satu tiang masjid, supaya pada pagi harinya kamu semua dapat melihatnya. Lalu Baginda teringatkan doa Nabi Sulaiman yang menyebutkan: ‘Wahai Tuhanku anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh sesiapapun sesudahku.’ Lalu Baginda melepaskan Jin itu dalam keadaan yang hina. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
3. Perhatikan bagaimana Rasulullah ﷺ menceritakan kepada para sahabat tentang tekadnya untuk mengikat jin tersebut. Baginda tidak menanamkan rasa takut kepada golongan Jin tetapi mendidik sahabat berani untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja yang mengganggu mereka terutama dalam urusan ibadah.
4. Ceritakan kepada anak-anak kita bagaimana Khalid al-Walid bertarung dengan Jin yang mendiami berhala ‘Uzza. Ketika pembukaan kota Mekah, Rasulullah ﷺ mengarahkan Khalid untuk meruntuhkan berhala Uzza di daerah Nakhlah. Khalid segera pergi menghapuskan berhala tersebut. Setelah itu beliau melaporkan perkara itu kepada Rasulullah. Akan tetapi Rasulullah berkata: Pergilah semula kerana engkau masih lagi belum menghapuskannya. Sabda Rasulullah:
“‘Pergila semula kerana engkau belum berbuat apa-apa.’Akhirnya Khalid pergi semula. Apabila para pemegang kunci ‘Uzza melihat kedatangan Khalid, mereka menatap ke arah gunung yang berdekatan dan menjerit, “Wahai ‘Uzza! Wahai ‘Uzza!” Khalid akhirnya mendatangi puncak gunung tersebut, dan terzahirlah ‘Uzza yang menjelmakan diri dalam lembaga perempuan tidak berpakaian yang mengurai rambutnya. Khalid lalu menghunus pedangnya ke arah (jin perempuan) ‘Uzza tersebut sehingga berjaya membunuhnya. (Hadis riwayat al-Nasai, dinilai Sahih)
3. Begitu juga al-Imam Mujahid, tokoh ahli tafsir yang terkenal. Beliau menceritakan diganggu dalam solatnya oleh makhluk berbentuk budak. Kata beliau:
“Suatu malam ketika aku mendirikan solat, tiba-tiba muncul makhluk sebesar budak lelaki di hadapanku. Lalu aku bertekad dia untuk menangkapnya. Tiba-tiba dia bangun dan lompat ke belakang dinding sehingga aku mendengar dia terjatuh. Setelah itu, dia tidak penah datang lagi.” (Riwayat Ibnu Abi Dunya).
4. Hadis Rasulullah, kisah para sahabat ini menunjukkan keberanian mereka berhadapan dengan golongan jin. Sampaikan kepada anak-anak kita agar mereka berani. Bukan kita yang menakutkan mereka.
Semoga Allah membimbing kita
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)