PUTRAJAYA – Draft Akta Keharmonian Nasional yang kononnya untuk menjaga perpaduan nasional, sebenarnya hampir menyamai tuntutan Interfaith Council (IFC) suatu ketika dahulu.
IFC diasaskan Majlis Perundangan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, dan Sikh melalui memorandumnya kepada Majlis Majlis Peguam pada 2001.
Gerakan Pluralisme itu membuat 14 tuntutan yang merugikan orang Islam, dan berpihak kepada kepentingan orang- orang bukan Islam, antaranya IFC boleh menentukan agama seseorang.
Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji Aminuddin Yahaya berkata, draft Akta Keharmonian Nasional ini jika dilihat kandungannya hampir sama dengan IFC.
“Tidak jauh beza, cuma tukar sedikit sahaja. Tetapi tuntutan IFC dulu tidak dibentangkan di Kabinet, sebaliknya mereka masukkan juga di belakang kita. Bagaimanapun, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjadi Perdana Menteri menolak tuntutan IFC.
“Jadi kita takut perkara ini terjadi lagi jika tidak dihentikan. Justeru, kerajaan patut mengambil dan menerima pandangan kita sebagai NGO-NGO Islam. Kita dengan tegas bantah Akta Keharmonian Nasional,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Akta Keharmonian Nasional ini adalah rang undang-undang yang dicadang bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, yang akan dimansuhkan.
Jawatankuasa Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi Keharmonian Nasional di bawah Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) telah mengemukakan tiga draf rang undang-undang kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Mohd Jamaluddin Shamsuddin berkata, Akta Keharmonian Nasional secara jelasnya menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Kalau perhati betul-betul sama macam IFC, mahu menyamaratakan agama, yang akhirnya kita terpaksa akur. Dulu IFC ketika diketengahkan telah mencetuskan ketidakharmonian di antara agama dan bangsa di Malaysia.
“Kini Akta Keharmonian Nasional pula, peliknya bukankah sudah ada undang-undang yang cukup, kenapa perlu ada lagi akta ini,” soalnya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)