BANGI: Tugas hakikinya adalah sebagai doktor perubatan dan pensyarah di International Medical University (IMU), namun ia bukan penghalang bagi Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin mengetuai puluhan misi kemanusiaan ke negara bergolak atau dilanda bencana besar.
Setakat ini, dia sudah menjejakkan kaki ke Indonesia, Palestin, Syria, Bangladesh, Lubnan dan Kemboja untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara terbabit.
Beliau yang juga perunding bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin berkata, minatnya dalam misi kemanusiaan disemai pensyarahnya ketika belajar di Ireland, United Kingdom (UK).
“Pensyarah tekankan bahawa isu Palestin adalah masalah Muslim seluruh dunia dan bukan kelompok rakyat di negara itu saja. Sejak itu, saya tanamkan hasrat membantu mereka. Lagipun, saya memang suka ikuti isu semasa mengenai konflik di negara Teluk dan Timur Tengah,” katanya.
Menurutnya, selepas pulang ke Malaysia pada tahun 2000, dia menyertai Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) sebelum dihantar bertugas di Afghanistan pada tahun berikutnya.
Selesai misi pertamanya, Dr Zainur Rashid mula aktif bersama Aman Palestin pada 2010 dan memberikan fokus untuk membantu rakyat di negara itu.
“Saya bersama beberapa tonggak membangunkan Aman Palestin, sehinggalah pertubuhan ini dikenali di dalam dan luar negara,” katanya.
Pakar Perunding Kehormat Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) ini berkata, sokongan rakan setugas dan pihak pengurusan hospital serta universiti membolehkannya mengetuai banyak misi kemanusiaan.
“Tanpa sokongan mereka, mana mungkin saya mampu ke negara bergolak dengan meninggalkan pesakit dan tugas mengajar penuntut di universiti. Setiap kali keluar, akan ada rakan setugas menggantikan tempat saya.
“Selain mereka, keluarga terutamanya isteri banyak beri sokongan dan memahami jiwa saya yang mahu berbakti kepada agama dan mangsa tersepit dalam konflik,” katanya.
Pemenang Anugerah Akademi Perubatan Malaysia 2009 dan Anugerah Kehormat Fellowship Obstetrik dan Ginekologi Kolej Diraja London pada September 2017 ini berkata, kehidupannya diabadikan kepada misi kemanusiaan, malah dia menjadikan hadis Nabi Muhammad SAW iaitu sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia lain sebagai pegangan.
“Saya sanggup habiskan masa dan tenaga untuk berceramah dan turun ke kawasan konflik demi memastikan semangat sukarelawan terus subur dalam masyarakat.
“Benar, tidak semua orang mampu menjejakkan kaki ke kawasan konflik sebaliknya sumbangan doa, duit dan tenaga membolehkan NGO seperti Aman Palestin membantu saudara seagama kita yang tertindas,” katanya yang juga diangkat sebagai ikon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pada tahun 2015. – Harian Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)