Masjid al-Aqsa mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah dan sepatutnya umat Islam sentiasa merasa mulia apabila masjid ini berada di dalam penguasaan penuh umat Islam dan umat Islam bebas mengimarahkannya bila-bila masa.
Umat Islam wajib merasa bertanggungjawab terhadap segala pencabulan yang berlaku ke atas masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam.
Keistimewaan masjid ini tersurat di dalam pujian Allah SWT terhadap masjid ini dan kawasan sekitarnya seperti di dalam ayat : “Maha Suci Allah, yang telah menjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad SAW ) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk Kami memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”(QS al Isra’ :1)
Nabi Muhammad SAW sangat menggalakkan seluruh umat Islam mengunjunginya. Bahkan Baginda SAW mengiktiraf kepayahan perjalanan untuk mengunjunginya itu sebagai satu perjalanan untuk memenuhi saranan yang mulia ini.
Sabda Baginda SAW : Janganlah kalian bersusah payah melakukan perjalanan jauh, kecuali pergi menziarahi tiga buah masjid. Iaitu masjid ku ini (Masjid al Nabawi), Masjidil Haram (Mekah) dan Masjid al Aqsa. (HR Muslim)
Beberapa tahun yang lalu, beberapa orang ulama yang berasal dan ada yang masih menetap di sekitar al Quds telah mengunjungi Malaysia, termasuk di Negeri Perak telah membuat satu pendedahan yang tidak diketahui oleh ramai orang iaitu, ramai pihak sama-sama berusaha untuk membebaskan bumi Palestin dari penjajahan negara haram Israel.
Mereka membuat perbandingan antara pejuang-pejuang yang berada di bumi Gaza dan pejuang-pejuang yang berada di sekitar masjid al Aqsa. Jika di Gaza para pejuang Hamas mempertahankan kedaulatan mereka di tanah Gaza dengan memperlengkapkan diri mereka dengan kemahiran perang bersenjata namun Masjid al Aqsa masih dipertahankan oleh para murobitun (mereka yang tidak putus-putus menziarahi dan mengimarahkan) Masjid al Aqsa.
Seperti mana dimaklumkan bahawa pertembungan antara umat Islam dengan Zionis Israel di bumi al Quds adalah pertembungan senjata di pihak musuh dihadapi dengan tangan kosong di pihak orang Islam, hanya berbekalkan iman dan semangat jihad yang tidak mampu dibendung.
Para ulama dari dalam bumi al Quds sendiri sangat menggalakkan umat Islam seluruh dunia mengunjungi dan mengimarahkan masjid al Aqsa dan ia merupakan salah satu “senjata” mempertahankan kompleks Masjid al-Aqsa itu dari dirampas sedikit demi sedikit oleh penjajah zionis Israel.
Jika kita membuat sedikit penelitian, kerajaan Zionis Israel semakin agresif dalam usaha merampas Masjid al-Aqsa dari umat Islam untuk mencapai cita-cita mereka membina Kuil Solomon di atas runtuhan Masjid al-Aqsa.
Tindakan Isreal menutup Masjid al-Aqsa dan tindakan menghalang penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat mestilah dianggap oleh semua umat Islam sebagai tindakan biadap, menghina serta mencabar umat Islam di seluruh dunia. Masyarakat Islam seluruh dunia sangat wajar membantah tindakan menghalang penduduk Palestin daripada menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa untuk kali pertama, selepas 1960.
Dalam sejarah perjuangan panjang membebaskan al Quds kita dapati bahawa tokoh-tokoh yang membebaskannya adalah tokoh-tokoh yang sangat hebat seperti Umar al Khattab radhiallahu anhu dan Solahuddin al-Ayyubi.
Paderi besar Baitul Maqdis menjemput Khalifah Umar bin al-Khattab radhiallahu anhu supaya menyaksikan upacara perjanjian penyerahannya yang telah memberi hak beragama yang sangat dipersetujui oleh penganut agama lain. Khalifah Umar juga memakmurkan semula Masjid al-Aqsa yang dibiarkan sebelum ini tanpa usaha pengimarahan.
Dalam sejarahnya yang diketahui umum, Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pernah ditakluk oleh bala tentera Salib yang bermandi darah. Sehinggalah hampir seratus tahun dibawah kawalan mereka sehinggalah Sultan Salahuddin al-Ayyubi daripada bangsa Kurdish berjaya membebaskannya setelah menyatukan umat dan berjihad di atas nama Islam.
Kini. Baitul Maqdis ditakluk oleh kumpulan Zionis Yahudi yang berjuang menegakkan negara Yahudi Israel. Walaupun Sultan Abdul Hamid II pernah tidak membenarkan permintaan untuk mewujudkan negara Israel, di Palestin tetapi beliau sendiri tidak dapat menghalang perkara ini kerana pelobi-pelobi Zionis cukup kuat di England.
Mereka berjaya menubuhkan negara haram Israel dengan penipuan melalui Perjanjian Balfour 1917 dan Perjanjian Sykes-Picot 1916.
Setelah berjaya memecah belahkan umat Islam di atas perbezaan kaum dan mazhab, mereka berjaya menubuhkan negara-negara mengikut peta yang dilakarkan oleh mereka, dan dibahagikan di kalangan mereka yang bersama-sama menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah yang sedang lemah ketika itu .
Ramai umat Islam yang semakin melupakan isu membebaskan semula al Quds kerana diayah yang sangat berkesan oleh Zionis Israel.
Mereka berjaya mengecilkan skop pertembungan ini seolah-olah antara pertembungan Hamas – Israel sahaja sehingga kebanyakan umat Islam tidak memasukkan dalam agenda perjuangan hidupnya adalah untuk membebaskan al Quds.
Ditambah pula umat Islam berjaya dilaga-lagakan sesama mereka khususnya negara-negara jiran terdekat Palestin walaupun sesama bangsa arab dan bergama Islam.
Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
www.indahnyaislam.my