PUTRAJAYA, – Pembelajaran dan pembacaan al-Quran yang diterapkan dalam kalangan banduan merupakan antara faktor penyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai negara terbaik di rantau Asia dari aspek perlakuan jenayah berulang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah koreksi melalui pembudayaan al-Quran di dalam penjara di seluruh negara berjaya menjadikan hanya kira-kira 7.6 peratus daripada banduan yang dibebaskan kembali melakukan jenayah dan dipenjara semula.
“Usaha proaktif yang dilakukan Jabatan Penjara ini amat dipuji kerana kita harus sedar bahawa banduan tidak seharusnya hanya dihukum, sebaliknya diberi penerapan nilai-nilai Islam seperti pembelajaran dan pembacaan al-Quran sebagai sebahagian proses pemulihan.
“Selain itu, kaedah ini juga secara tidak langsung mampu memperluaskan syiar Islam dalam kalangan banduan, dan institusi penjara secara keseluruhannya,” katanya semasa berucap melancarkan Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, lebih 70 peratus daripada 47,000 banduan di Malaysia adalah beragama Islam.
Katanya, usaha itu dilakukan Yayasan Restu dengan kerjasama Jabatan Penjara dengan mewakafkan al-Quran terjemahan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris untuk kegunaan banduan dan anggota keselamatan di seluruh negara.
Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/06/pemulihan-melalui-pembelajaran-al-quran-kurangkan-banduan-lakukan-jenayah-berulang/