Hilangnya nikmat beribadah dalam kalangan manusia berpunca daripada tidak dapat melihat gambaran di sebalik keindahan ganjaran syurga. Rasulullah SAW sentiasa bercerita mengenai syurga untuk memberi rangsangan dan mendorong keinginan umatnya menjadi penghuni syurga.
Menerusi hadis Qudsi: “Aku menyediakan syurga kepada hamba-Ku yang soleh. Sesungguhnya suatu pemandangan yang tidak pernah terpandang oleh pandangan mata dan telinga ini tidak pernah mendengar betapa indahnya syurga itu. Hati kita tidak pernah terdetik seindah ini syurga Allah.”
Keinginan menghuni syurga menyebabkan manusia berusaha untuk beribadah bagi memenuhi impian itu. Tidak ada suatu pun benda yang ada di syurga menyerupai dengan yang ada di dunia kecuali pada namanya sahaja.
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya kamu mahu, bacalah ayat ini, seperti mana firman Allah dalam surah as-Sajdah, ayat 17 yang bermaksud: “Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal soleh yang mereka telah kerjakan.”
Selain itu digambarkan juga keadaan dalam syurga melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan berilah khabar gembira kepada orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: Inilah yang diberikan kepada kami dahulu dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan, isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 25)
Gambaran keindahan syurga
Menerusi perkongsian dalam slot Mau’izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, menceritakan tanah dan kerikil yang ada di dalam syurga. Tanahnya diperbuat daripada kasturi dan za’faran, seperti tepung berwarna putih yang lembut serta halus apabila disentuh.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Kemudian aku bergerak bersama malaikat Jibril sehingga ke Sidratul Muntaha. Apabila tiba di suatu tempat yang ditutupi dengan warna yang aku sendiri tidak mengetahuinya. Lalu dimasukkan aku ke dalam syurga dan melihat ada khemah yang cantik bergemerlapan dan apabila aku menyentuh tanah-tanah di dalam syurga, bagaikan kasturi.”
Dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim, musnad Abu Ahmad, Abu Said al-Qudri meriwayatkan, Ibnu Sayyad bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai tanah di syurga dan Baginda menyebut ia berasal daripada butiran tepung yang putih bersih, dan lembut apabila dipijak menyamai nikmatnya memijak tepung-tepung.
Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan asal ciptaan manusia dan Baginda menjelaskan manusia dicipta daripada air. Lalu beliau bertanya lagi, daripada apakah bangunan dalam syurga diperbuat dan Baginda menjawab batu-batanya daripada susunan emas dan perak, lantainya daripada minyak kasturi, kerikilnya daripada mutiara daripada yakut dan tanahnya daripada za’faran.
Sesiapa yang memasuki syurga akan berasa senang, tidak akan pernah susah, kekal di dalamnya dan tidak akan mati. Pakaian mereka tidak akan buruk, malah semakin hari, ia akan menjadi semakin cantik serta usianya sentiasa muda.
Khemah di syurga menjulang setinggi 60 hasta, bilik-biliknya juga tinggi dan besar serta didirikan tempat-tempat yang tinggi di dalamnya. Rasulullah SAW menceritakan, bilik di dalam syurga ternampak daripada luar ke dalam, yang dalam nampak sehingga ke bahagian luar, sangat luas dan cantik.
Orang yang boleh memasuki bilik ini ialah mereka yang sentiasa memberi makan kepada kawan yang selayaknya. Selain itu, mereka yang layak menghuni bilik itu dalam kalangan yang lemah-lembut budi bicaranya, sentiasa berpuasa sunat serta rajin solat pada waktu malam di saat manusia lain sedang tidur lena.
Solat sunat 12 rakaat
Malah diriwayatkan juga oleh Baginda, manusia yang mendirikan solat sunat sehari semalam sebanyak 12 rakaat juga melayakkan mereka menghuni istana yang indah di syurga Allah SWT.
Disebut oleh Imam Ahmad yang diriwayatkan oleh Sahar bin Saad, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang masuk ke dalam syurga akan melihat khemah sebagaimana kalian melihat bintang-bintang yang bergemerlapan di dada langit.” Cantiknya khemah itu seperti bintang membelah malam, demikian juga cantiknya ahli-ahli syurga itu.
Daripada Abdullah bin Qais, Rasulullah SAW bersabda: “Khemah daripada mutiara itu berterbangan yang menjulang ke langit, jarak di antaranya setinggi 30 hasta. Di setiap sudut di dalam khemah itu terdapat keluarga mukmin dan masing-masing tidak dapat melihat di antara penghuni khemah yang lain.”
Sumber: http://www.bharian.com.my/node/276731
www.indahnyaislam.my