BANGI – Biarpun banjir mencecah pada paras tinggi di kawasan Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor namun kekuasaan Allah SWT mengatasi segalanya apabila dua naskah al-Quran yang berada di dalam rumah masih sempurna dan langsung tidak dibasahi air.
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun mendedahkan perkara tersebut melalui perkongsian di laman Facebook ketika bersama sukarelawan Sahabat Amal Care (SAC) yang terlibat memberi bantuan kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Beliau yang merupakan Pengasas dan Penaung SAC sebak melihatkan keajaiban berkenaan yang berlaku ketika melawat sebuah rumah mangsa banjir yang dikenali sebagai Raja Hanasah.
“Kita nak pergi sebuah rumah yang bahagian tenggelam tetapi ada al-Quran yang tak basah, itu keajaiban yang berlaku walaupun yang lain semua musnah.
“Pengalaman Raja Hasnah yang sungguh menakjubkan dua buah al-Qurannya tidak dibasahi air walaupun paras banjir sudah mencecah bumbung rumah,” katanya, hari ini.
Menurut Raja Hasnah semua rumah di kawasan dia menetap ditenggelami air sehingga ke paras bumbung, namun dua naskah al-Quran yang diletakkan di atas meja bersama sehelai widad langsung tidak disentuh air.
Menurutnya, ayat terakhir yang dibaca sebelum berlakunya banjir adalah surah al-Quraisy.
Malah, Raja Hasnah memberitahu, dia menghabiskan dua juzuk al-Quran yang dijadikan rutin setiap hari. -Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM