PUTRAJAYA – Surah Al-Sajdah yang dipilih sebagai bacaan pada program Malaysia #QuranHour 2022 mampu memberi iktibar kepada umat Islam untuk sentiasa mengamalkan konsep rendah diri dengan bertaqwa sepenuh jiwa dan raga kepada ALLAH SWT.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkata, umat Islam seharusnya sedar bahawa ALLAH SWT adalah kunci kepada segala masalah atau nikmat yang dikecapi di dunia ini.
“Tanda benar-benar merendah diri adalah dengan banyak bersujud dan berdoa selain bersedekah dan menolong orang lain tanpa curiga hartanya akan berkurangan.
“Para pemimpin, keluarga dan masyarakat di negara ini perlu mengambil inisiatif dengan bertadabbur surah Al-Sajdah sebagai usaha mendidik nilai-nilai merendah diri agar negara ini berterusan merasai erti kemerdekaan,” katanya ketika ditemui selepas program Malaysia #QuranHour 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Selasa.
Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin kembali menjadi lokasi perdana buat kali keempat selepas pertama kali menjadi tuan rumah pada 2016.
Malaysia #QuranHour 2022 mengangkat Surah Al-Sajdah sebagai formula tangani isu kesombongan melalui sujud, sedekah dan sabar dalam membina ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.’
Program interaksi al-Quran menerusi baca, faham dan amal itu diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang diadakan serentak secara fizikal di seluruh negara bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.
Sementara itu pentadabbur, Dr Shafiq Sahimi berpandangan, negara tidak akan mencapai kemerdekaan yang hakiki sekiranya tidak sujud kepada sistem yang dipandukan oleh al-Quran.
“Sujud bukan hanya secara fizikal (iaitu) meletakkan kepala di tanah, tetapi makna sujud lain adalah kita bersedia untuk mematuhi segala sistem yang diturunkan dalam al-Quran.
“Sujud kepada sistem bukan bermakna kita paksa orang bukan Islam pakai tudung tetapi sistem ekonominya yang tiada riba, (sistem) sosialnya tidak menzalimi, sistem masyarakat tidak merendahkan mana-mana pihak atau kaum, (sistem) dalam media tiada berita palsu, fitnah memfitnah, itulah yang dimaksudkan sujud dalam sistem,” katanya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam: