Alunan al-Quran dari Masjid UMT penyebab penuntut dari Itali ini peluk Islam

KUALA NERUS – Islam semakin berkembang di barat saban tahun walaupun agenda menjatuhkan dan memburukkan imej Islam sering dimainkan oleh medianya.

Namun ramai dalam kalangan kita pernah membaca kisah bagaimana seseorang mendapat hidayah dan kemudiannya memeluk Islam.

Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merupakan antara yang sering dikunjungi masyarakat bukan Islam terutamanya penuntut dari luar negara yang mengambil kesempatan itu semasa belajar di kampus UMT untuk mengenali dan membandingkan perkhabaran dilaporkan media barat dengan ajaran Islam sebenar.

Pengarahnya, Dr. Riswadi Azmi berkata, peranan PISM adalah menyampai dan menyebarluaskan ajaran Islam sebenar kepada pelajar dan komuniti melalui pelbagai penganjuran aktiviti masjid.

“Masjid bukan sekadar sebagai tempat ibadah solat semata-mata bahkan mempunyai pelbagai fungsi dan peranan dalam pembangunan insan dan masyarakat dari segi rohani mahupun jasmani. PISM juga mengalu-alukan dan membenarkan bukan Islam untuk bersama-sama melaksanakan aktiviti di masjid agar usaha ini dapat mengubah persepsi negatif berkaitan Islam seperti dilaporkan media barat.

“Kita menggunakan konsep dakwah ‘bil Hal’ iaitu pendekatan melalui teladan, akhlak dan kasih sayang yang universal. Antara elemen yang dimaksudkan adalah dengan membuka fasiliti masjid UMT untuk digunakan tanpa mengira warna kulit dan agama. PISM juga turut mengagihkan bantuan kewangan kepada pelajar bukan Islam melalui sistem penyampaian bantuan My Ihsan yang efektif dan efisien.

“Bagi mengoptimumkan lagi peranan masjid, PISM juga menawarkan khidmat Caravanserai iaitu bantuan penginapan dan makan secara percuma bagi keluarga penuntut memerlukan yang datang ke UMT semasa pendaftaran dan juga majlis konvokesyen tanpa mengira agama dan latar belakang,” katanya.

Menyentuh mengenai saudara baharu (mualaf) Dr. Riswadi berkata, PISM telah berjaya menarik minat pelajar antarabangsa untuk memeluk agama Islam.

“Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH SWT kerana telah membuka hati seorang penuntut pasca siswazah untuk menganut agama Islam melalui PISM. Giovanna Wolswijk, penuntut perempuan berasal dari Itali tertarik dengan Islam pada Februari lalu setelah sering mendengar alunan al-Quran dari pembesar suara masjid UMT. Bermula dari situ dia mula mengkaji Islam dengan lebih mendalam. Dia mula memberi salam dan dapat mengucap kalimah syahadah dengan mudah di masjid UMT.

“PISM UMT akan memberi tumpuan kepada saudara baharu dengan sumbangan awal zakat bernilai RM1,000 serta sumbangan zakat berterusan setiap semester bernilai RM700 sehingga tamat pengajian. Bagi memberi sokongan tambahan, PISM akan melantik Pegawai angkat untuk bimbingan berterusan serta mengadakan kelas dinamakan Sharing Islam Class yang diadakan setiap minggu di PISM UMT,” jelasnya.

Dalam pada itu, tambah Dr. Riswadi, pihaknya membuka seluas-luasnya ruang dan peluang kepada masyarakat bukan Islam untuk mengenali dan mendalami Islam sebenar dengan mengunjungi PISM dan sedia membantu sekiranya memerlukan bantuan dan penjelasan mengenai Islam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts