Amal al-Quran bukan sekadar ritual, bahkan segenap aspek kehidupan

Al-quran bukan sekadar untuk diamalkan secara ritual, tetapi ia merupakan panduan hidup kepada semua masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff menjelaskan, andai perkara itu dihayati dan difahami oleh semua orang, masyarakat akan dapat menghayati hidup beragama dengan lebih baik lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Malaysia #QuranHour kali ke-9 bertemakan Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar, yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya pada Rabu.

Mengulas lanjut tentang program itu, Hakimah menyifatkan, acara tersebut semakin meriah dan tidak hanya memfokuskan kepada pengajian al-Quran sahaja, tetapi turut menampilkan mengetengahkan kempen-kempen nilai murni yang membina sebagaimana ditonjolkan menerusi temanya pada edisi kali ini.

“Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu sokongan kepada hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membina Malaysia Madani supaya masyarakat kita bukan sahaja membaca al-Quran.

“Namun, pada masa sama, mentadabbur, mengambil iktibar, mendalami, menghayati dan mempraktikkan isi kalamullah itu sendiri dalam kehidupan,” katanya.

Harapan sama turut diluahkan oleh Adun Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman (Altimet) yang juga bekas penyanyi rap terkemuka.

“Diharapkan program ini boleh mencetuskan lebih ramai orang beristiqamah membaca al-Quran,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengajak rakyat menzahirkan rasa syukur terhadap nikmat kemerdekaan dikecapi negara dengan terus berdoa agar Malaysia dilimpahi keamanan dan keharmonian.

“Siapa yang rasa dia membesar atau hidup dalam Malaysia yang ‘best’, seeloknya dia bersyukur dan berdoa supaya anak serta cucunya dapat hidup dalam negara yang lagi ‘best’ daripada yang pernah dilaluinya,” ungkapnya.

Program berinteraksi dengan al-Quran pada kali ini turut menjemput orang bukan Islam menyertainya untuk mendapatkan input daripada al-Quran.

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang antara individu yang hadir memeriahkan majlis.

Ketika ditemu bual, Uncle Kentang berkata, kehadirannya adalah untuk menimba ilmu hidup dan mati.

Meskipun berbeza agama, namun menurut perspektifnya, manusia yang disayangi Tuhan ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.

Itu jualah yang diajar oleh agama Islam kepada penganutnya.

Beliau juga sempat menitipkan pesanan buat semua termasuk non-Muslim.

Beliau menyarankan agar masyarakat meneliti dan mempelajari al-Quran.

“Jangan takut pada ‘nota-nota’ yang dikeluarkan sesetengah pihak bahawa orang Islam kejam dan tidak adil.

“Pelajari dulu sebelum kita memberikan apa-apa komen dalam Facebook dan sosial media. Ingatlah, kita harus berlaku adil bukan sahaja pada diri kita, tetapi juga diri orang lain,” katanya.

Malaysia #QuranHour kali ke-9 anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas mengajak semua rakyat berbilang kaum dan pemimpin untuk membina negara yang maju, sejahtera dan progresif. berpandukan solusi al-Quran.

Acara kali ini mengangkat tiga surah dalam al-Quran iaitu al-Fatihah, al-Insan dan al-Asr.- Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts