INTEGRITI adalah aspek penting berkaitan erat dengan nilai akhlak mulia, seharusnya dimiliki setiap Muslim. Kepentingan berintegriti melampaui kebaikan peribadi; ia membawa faedah yang luas, tidak hanya kepada individu, tetapi juga memberikan impak positif terhadap organisasi, komuniti dan pada skala yang lebih besar kepada negara.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfaal ayat 27 bermaksud: “Wahai orang beriman. Jangan kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (jangan) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.
Dalam konteks pengurusan dan tadbir urus organisasi, pembudayaan integriti memerlukan kefahaman dan kesedaran bahawa etika itu mesti diamalkan dan mengabaikannya akan membawa kerosakan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi orang lain dan organisasi.
Integriti dapat ditingkatkan dengan menyedari setiap tugas adalah amanah perlu dijalankan dengan tanggungjawab. Pengawasan atas tindakan individu harus dilakukan melalui prinsip ihsan, dengan kesedaran pengetahuan dan pengawasan Allah SWT bersifat sejagat dan tidak terbatas ruang dan waktu.
Dalam Islam, konsep amanah dan integriti diberi penekanan signifikan sebagai dasar dalam pembentukan masyarakat dan tatakelola negara efektif. Konsep ini jelas terpakai bukan hanya untuk mereka yang beragama Islam, malah meliputi sesiapa sahaja dengan apa pun anutan dan fahaman.
Realiti harus diterima amanah dan integriti adalah dua perkara penting menjadi cerminan kepada keimanan Muslim. Rasulullah SAW dihormati dan dikagumi sebagai contoh teladan sempurna dalam menjalankan peranan sebagai hamba Allah memiliki integriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, yang bererti ‘sangat dipercayai’, menggambarkan kepercayaan dan penghormatan besar diberikan kepadanya.
Empat sifat teras nilai integriti
Empat nilai keperibadian dan sifat terpuji Rasulullah SAW menjadi teras kepada nilai integriti iaitu Siddiq (sangat benar), Amanah (dipercayai), Tabligh (menyampaikan), Fatanah (bijaksana).
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan baik, iaitu bagi orang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (ketika masa susah dan senang)”.
Cabaran utama dalam merealisasikan pematuhan terhadap integriti dalam lingkungan kerja adalah disebabkan sikap individu atau organisasi kurang bertanggung jawab menjalankan tugas mereka. Antara cabaran membudayakan amalan integriti antaranya adalah:
● Pertama – Rasuah
Berdasarkan laporan sepanjang 2023, Malaysia mencatatkan sejumlah 1,137 kes rasuah di seluruh negara. Menurut statistik laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 437 kes membabitkan penjawat awam dari pelbagai pangkat dan 700 kes orang awam.
Justeru, pentingnya memerangi rasuah, termasuk mendidik masyarakat impak buruk ditanggung mereka yang terbabit, sama ada pelaku atau penerima rasuah. Amalan rasuah ini termasuk dalam dosa besar dengan ancaman laknat daripada Rasulullah SAW, seperti hadis diriwayatkan Abdullah Ibn ‘Amr RA bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”
● Kedua – Birokrasi
Dalam konteks kerja, khususnya membabitkan sektor kerajaan, proses kelulusan dan pelaksanaan sering kali mengalami kelewatan. Ini disebabkan keperluan untuk mematuhi pelbagai peraturan dan melalui beberapa tahap pengesahan.
Bagi mencapai sistem penyampaian efektif, penting adanya kolaborasi erat antara pelbagai tahap organisasi, daripada pengurusan tertinggi hingga pekerja lapangan.
Kesedaran ini penting kerana birokrasi yang tidak efisien boleh menyebabkan tekanan dan mengurangkan produktiviti pekerja, serta menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan pelanggan.
● Ketiga – Cuai
Dapat dilihat kini, terdapat segelintir pekerja melaksanakan tugas diamanahkan secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh. Sekiranya sikap sebegini terus berlanjutan, ia akan menjejaskan prestasi sesebuah organisasi kerana tugas dilaksanakan tidak berkualiti atau tidak mencapai tahap memuaskan.
Oleh yang demikian, setiap pekerja perlu menjalankan tugas diberikan dengan tekun, amanah dan bertanggungjawab. Hal ini demikian kerana sifat mahmudah (murni) ini akan memberikan impak positif terhadap masyarakat awam.
Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 28 bermaksud: “…dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya melimpah-limpah) dan jangan engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang berbuat kerosakan”.
Sebagai kesimpulannya, wajar bagi semua peringkat masyarakat untuk bersama-sama menjaga integriti dalam setiap tindakan dan keputusan diambil, kerana hanya dengan integriti kukuh, dapat membentuk negara lebih baik, stabil dan harmoni.
Ia seperti ditegaskan Rasulullah SAW. Dari Abdullah bin Mas’ud RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda, ‘Hendaklah kalian selalu berlaku jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan menghantarkan seseorang ke syurga. Dan apabila seorang selalu berlaku jujur dan tetap memilih jujur, maka akan dicatat di sisi Allah sebagai orang jujur. Dan jauhilah kalian berbuat dusta, kerana dusta membawa seseorang kepada kejahatan, dan kejahatan menghantarkan seseorang ke neraka. Dan jika seseorang sentiasa berdusta dan memilih kedustaan maka akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta (pembohong).”
Penulis adalah Pegawai Penerbitan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM