IBADAH puasa sepanjang Ramadan antara rukun Islam wajib ditunaikan setiap individu Muslim mukalaf. Ibadah ini disyariatkan Allah SWT pada bulan yang digelar Syahrul Mubarak atau Bulan Keberkatan.
Setiap detik sepanjang Ramadan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini lantaran Allah SWT mengurniakan banyak kelebihan pada bulan ini berbanding bulan lain.
Justeru, Muslim perlu berusaha memahami prinsip asas berkaitan fiqh ibadah ini bagi memastikan puasa menjadi sesempurna mungkin, seterusnya mengharapkan fadilat atau kelebihan dan kasih sayang daripada Allah SWT.
Bulan barakah ini hadiah daripada Allah SWT kepada segenap Muslim agar mempunyai kesempatan lebih banyak untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Dalam firman Allah SWT mewajibkan umat Islam untuk berpuasa, terdapat isyarat ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah mengekang sifat iri, dengki, hasad dan penyakit hati lainnya.
Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
Ramadan menuntut kita berusaha menjaga kualiti dan nilai puasa agar tidak berkurangan seperti diingatkan Rasulullah SAW: “Berapa ramai orang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.”
Perlu diingat hal ini juga bukan semata-mata dalam bulan ini, malah bulan mendatang hingga kita perlu berusaha mengelak dan mengekang diri daripada segala bentuk kehilangan pahala, apatah lagi yang boleh menyumbang kepada dosa.
Adalah menjadi kejayaan besar sekiranya ibadah puasa dapat mendidik kita menghindari perkara mungkar seperti mengumpat, mengeji dan berdusta, sekali gus mengajarkan kita terus istiqamah dalam mengekalkan momentum pelaksanaan amalan baik dalam Ramadan sepanjang hayat.
Tambahan pula, Ramadan ialah bulan pengabdian diri hamba penuh rintihan, keluhan dan pengaduan yang kesemuanya dihubungkan terus pada Allah SWT. Pada bulan ini, Allah SWT menjadi tempat utama, yakni tempat afdal untuk seseorang hamba mengadu dan bertawakal ketika bermunajat dan qiamullail.
Situasi ini ibarat latihan mengajarkan kita bergantung kepada Allah SWT semata-mata apabila menghadapi pelbagai ujian dan mehnah kehidupan. Ini bertepatan dengan fitrah manusia memerlukan Allah SWT sebagai tempat pergantungan untuk memberi kekuatan jiwa dan kelapangan hati.
Justeru, Ramadan dilalui wajar dijadikan ibrah sebagai permulaan untuk kita terus istiqamah dengan amalan kita lakukan dalam bulan ini sepanjang hayat kita.
Dapat ditegaskan, tujuan utama seseorang berpuasa adalah tanda pengabdian hamba kepada Allah SWT untuk meraih ketakwaan agar merasa nikmat dalam melakukan kebaikan pada Ramadan.
Namun, kebaikan dilakukan bukan sahaja bermusim, bahkan perlu ditambah nilai agar pahalanya berlipat ganda. Adalah lebih baik sekiranya pahala dituai pada Ramadan turut dipelihara di luar Ramadan supaya dapat mengekalkan momentum istiqamah di samping meningkatkan rohani dan menggarap ibrah bulan penuh keberkatan.
Manusia adalah golongan lemah dan tidak terlepas daripada melakukan dosa serta kesilapan. Rasulullah SAW bersabda: “Semua anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Tatkala Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu syurga dan menutup serapat-rapatnya pintu neraka serta dibuka pintu kerahmatan, pada waktu inilah kita memohon keampunan-Nya. Alangkah ruginya bulan terbaik untuk kita memohon keampunan tetapi dosa tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.
Rebutlah peluang dengan penuh persediaan kerana Ramadan hanya datang setahun sekali, supaya kita tidak tergolong dalam golongan orang rugi dan orang tidak dilepaskan dari azab api neraka serta tidak mendapat keampunan Allah SWT.
Penulis adalah Pengarah Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM