WASHINGTON – Hari ini, satu lagi tamparan buat umat Islam di seluruh dunia, apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara rejim Israel yang baharu.
Serentak itu, Trump juga mengumumkan AS sedang membuat persiapan bagi memindahkan kedutaannya di Tel Aviv ke Baitulmaqdis, wilayah Palestin yang diceroboh rejim Zionis yang turut menempatkan masjid suci ketiga umat Islam – Masjid Al-Aqsa.
“Saya telah menentukan bahawa sudah tiba masanya untuk mengiktiraf secara rasmi Jerusalem sebagai ibu negara Israel. Walaupun, presiden sebelum ini membuat janji ketika kempen, mereka gagal mengucapkannya. Hari ini, saya mengucapkannya.
“Saya telah menilai tindakan ini adalah yang terbaik demi kepentingan Amerika Syarikat dan usaha membawa perdamaian antara Israel dan Palestin,” katanya berucap di White House.
Trump berkata, beliau juga telah mengarahkan Jabatan Negara membuat persiapan bagi memindahkan kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
“Dalam membuat pengumuman ini, Saya juga ingin mengatakan sesuatu dengan jelas. Keputusan ini tidak bermaksud, dalam apa cara sekalipun, menjauhkan komitmen kukuh kami untuk mempermudahkan dan melaksanakan perjanjian damai yang berkekalan,” katanya.
Trump mendakwa Amerika tidak menetapkan apa-apa kedudukannya terhadap sebarang isu, termasuk sempadan Israel di Baitulmaqdis atau resolusi sempadan yang dipertikai, sebaliknya menyerahkan kepada pihak yang terbabit.
Pada masa sama, beliau berkata, Amerika menyokong kewujudan dua negara, jika kedua-dua pihak bersetuju.
“Buat masa sekarang saya menyeru semua pihak mengekalkan satus quo di Jerusalem, termasuk Temple Mount yang turut dikenali sebagai Haram al-Sharif,” katanya.
Awal semalam, beberapa pemimpin negara Islam memberi amaran kepada Trump supaya tidak berbuat demikian.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengancam untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv, sekiranya AS meneruskan rancangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Beliau berkata, rancangan Donald Trump untuk mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu negara Israel itu adalah “garis merah” bagi umat Islam.
Jordan pula menegaskan keputusan Trump untuk memindahkan kedutaannya di Baitulmaqdis, termasuk mengiktiraf kota itu sebagai ibu negara Israel, akan mendorong ke arah ketegangan yang lebih buruk.
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi menekankan kepentingan memelihara status quo sejarah dan undang-undang di Baitulmaqdis, dan tidak menolak kemungkinan sesuatu yang buruk berlaku sekiranya keputusan berkenaan dibuat.
Sementara, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz menegaskan bahawa tindakan Trump itu hanya akan menyinggung perasaan umat Islam seluruh dunia.
Beliau berkata, status Baitulmaqdis adalah aspek paling sensitif dalam konflik Palestin-Israel, maka memindahkan kedutaan Amerika ke kota itu adalah langkah berbahaya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)