Anak Rohingya guna naskhah al-Quran koyak belajar mengaji

 

DHAKA – Anak-anak pelarian Rohingya di Kem Pelarian Rohingya Kutupalong, Ukhiya, Cox’s Bazar mempelajari al-Quran hanya dengan berbekalkan naskhah kitab yang sudah terkoyak.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, dugaan yang mereka hadapi bukan itu sahaja, bahkan anak-anak itu juga terpaksa meneruskan sesi pembelajaran dalam keadaan yang tidak berbumbung.

“Anak-anak pelarian Rohingya ini tekun mempelajari al-Quran daripada ‘guru’ yang mengajar mereka secara sukarela hampir setiap hari di ‘kelas Quran langit terbuka’.

“Inilah realiti sebenar mereka yang hidup dengan serba kekurangan di kem pelarian yang padat dengan penghuni.

“Mereka tidak pernah kenal erti sekolah dan persekolahan, apatah lagi peluang untuk belajar menulis dan membaca sebagaimana yang dilalui oleh kanak-kanak di Malaysia,” katanya dalam catatan di laman Facebook peribadinya berkongsi pengalaman ke Bangladesh dalam satu misi kemanusiaan.

Prof Zainur Rashid berkata, beliau amat bersyukur apabila beliau dan sahabatnya, Setiausaha Agung Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (iMedik), Prof Dr Azizi Ayob diberikan peluang untuk menyaksikan dengan mata dan kepala sendiri apa yang berlaku kepada ribuan para pelarian Rohingya.

 

 

Beliau berkata, kem yang terletak berdekatan Arakan, Myanmar tersebut sangat sesak dengan dihuni lebih 150,000 orang pelarian Rohingya yang berada dalam keadaan yang sangat dhaif serta serba kekurangan.

“Mereka tinggal dalam khemah yang kecil atau rumah yang berdindingkan samada plastik atau tanah atau pun kadang-kadang daripada buluh.

“Tiada bekalan air bersih melainkan beberapa perigi yang digali secara amatur. Sukar sekali untuk berhenti lama di satu-satu lokasi berdekatan khemah mereka kerana ‘berbau’ disebabkan tiada sistem perparitan.

 


“Tidak boleh kami bayangkan bagaimana keadaan penempatan ini di sebelah malam kerana bekalan elektrik memang jauh sekali, melainkan sekali sekala dalam mimpi.

“Apa pilihan yang mereka ada? Samada dibunuh atau diperkosa di kampung halaman di Arakan atau pun meniti siri derita dan keperitan yang tidak menentu di perantauan,” katanya.

 


Sementara itu, Prof Dr Azizi pula berkata, kekejaman tentera Myanmar serta penduduk Budhis berdasarkan sejarah menyebabkan isu ini nampak belum ada jalan akhirnya.

Katanya, terlalu banyak bukti kekejaman yang menunjukkan bahawa mereka terpaksa melarikan diri dari tanah air mereka semata-mata untuk menyelamatkan nyawa dan kekal hidup.

 


“Mereka dihalau dari kampung halaman dan tanah air sendiri di Arakan, Myanmar sejak puluhan tahun yang lalu.

“Mereka terpaksa menggadaikan nyawa merentas laut lalu masuk ke sempadan Bangladesh. Ada yang mati lemas sewaktu menyeberang, ada yang dihalau semula balik ke Arakan, dan pelbagai azab sengsara yang mereka hadapi saat itu.

“Cuba bayangkan kita hidup di hutan atau di tanah lapang, beratapkan nipah, berdindingkan tanah liat, tanpa sumber air bersih, tanpa elektrik, tanpa sistem kumbahan, sesak dengan manusia yang padat.

“Ini bukan omongan kosong, ini fakta dan ini lah yang terjadi kepada hampir setengah juta pelarian Rohingya yang menumpang hidup di bumi Bangladesh, yang suatu masa dahulu sebahagian dari Arakan, sebelum mereka berpisah dari Myanmar. Renung-renungkanlah,” ujarnya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts