Keadaan Masjidil Haram pada zaman Rasulullah SAW dan khalifah seterusnya, tidaklah seluas sekarang. Peralihan pucuk pimpinan turut membawa transformasi fizikal ke atas Masjidil Haram.
Lantaran itu, tidak hairanlah, Mekah menjadi tumpuan umat Islam dari semasa ke semasa. Kehadiran mereka pelbagai tujuan, sama ada untuk perlaksanaan ibadah haji, umrah, solat
Kerana tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.
Tidak mustahil dengan kemajuan teknologi, kemodenan pengangkutan serta orang Muslim semakin berkemampuan, ia turut mempengaruhi bilangan angka di atas.
Melihat sepintas lalu, kita rasa masjid ini sudah cukup luas, tidak ada kekurangan, jauh sekali ada cacat celanya. Tetapi tidak begitu bagi pemerintah Arab Saudi.
Sebab itulah, sehingga kini pun, kerja-kerja merobohkan bangunan kediaman dan hotel-hotel penginapan berhampiran Masjidil Haram masih giat dijalankan.
Bercerita tentang pembesaran Masjidil Haram, ramai di antara kita yang sekadar menerimanya sebagai satu yang lumrah. Anggapan umum, ia demi menjamin keselesaan, sekali gus keselamatan para tetamu Allah.
Pun begitu, di sebalik tabir usaha pembesaran tersebut, seperkara yang perlu dibanggakan khasnya rakyat Malaysia ialah pemilihan rakyat negara ini sebagai salah seorang panel yang bertanggungjawab dalam usaha untuk meluaskan kawasan Masjidil Haram.
Apatah lagi, beliau adalah antara 1.5 bilion manusia Islam di dunia yang terpilih memikul amanah besar Allah SWT ini. Beliau jugalah satu-satunya panel dari Asia. Pastinya, ini sesuatu yang perlu dibanggakan oleh negara dan umat Islam di Malaysia.
Beliau yang dimaksudkan ialah pensyarah dari Jabatan Seni Bina dan Arkitek Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ismawi Zen atau lebih mesra dengan panggilan Prof. Mawi.
Menurut Mawi yang berasal dari Kampong Gedong, Samarahan, Sarawak, tawaran yang diterima itu adalah sesuatu yang tidak disangka atau terlintas dalam fikirannya.
Apatah lagi ia adalah satu kerja yang bukan kecil tanggungjawab dan amanahnya. Di tambah pula, ia mengaitkan soal seluruh umat Islam dan amat rapat dengan ritual ummah.
Cita-cita tinggi
Beliau mengakui, bergelar seorang profesional Muslim, sesungguhnya tidak dapat tidak ada juga menyimpan cita-cita tinggi dan impian menggunung sebegitu.
Namun panggilan telefon dari kerajaan Arab Saudi memang di luar jangkauan fikiran serta mengundang pelbagai mainan perasaan.
“Saya diamanahkan untuk menjemput Prof. untuk menjadi salah salah seorang daripada panel antarabangsa untuk pembesaran Masjidil Haram.”
Kata-kata yang tidak sampai dua minit inilah yang membuatkan Mawi tidak keruan, terkejut, terkedu seketika malah sehingga tidak lena tidur semalaman itu.
Semuanya bermula semasa beliau di luar negara untuk menghadiri satu majlis penganugerahan ke atas UIAM. Malah Pasar Namdaemon di Seoul, Korea Selatan menjadi saksi penerimaan berita gembira itu.
“Saya tambah terkejut apabila nama tiga lagi panel diberitahu itu adalah mereka yang sememangnya popular dan terkenal di dunia. Spontan saya merasakan diri ini tidak berkelayakan.
Soalan seperti: “Mengapa saya dipilih?” cuba saya ajukan kepada si pemanggil. Namun diberitahu, pemilihan ini telah melalui penapisan yang muktamad daripada Almarhum Raja Abdullah, ketua kerajaan Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Tanah Suci.
“Sekembalinya ke Malaysia, saya dapati semua urusan tiket malah surat tawaran telah dilampirkan serta dihantar menerusi e-mel.
“Malah saya hanya perlu mengambil visa di kedutaan Arab Saudi untuk pertemuan pertama yang diadakan pada 4 dan 5 Oktober 2008.
“Malah apabila terima pelantikan itu, saya tidak memberitahu sesiapa. Saya hanya beritahu isteri pada malam sehari sebelum tarikh penerbangan.
“Bagi saya benda ini bukan yang perlu dibanggakan sangat kerana tanggungjawab yang terpikul itu adalah berat. Apatah lagi ia adalah amanah daripada Pencipta kita. Allah SWT,” jelas beliau merendah diri.
Walaupun beliau adalah arkitek berpengalaman dan menjadi pelopor dan pakar dalam unit perancangan bandar dan seni bina Islam.
Sambung Mawi lagi, mesyuarat pertama yang berlangsung awal Oktober itu dihadiri empat orang panel iaitu dari Arab Saudi, Switzerland dan Turki selain beliau menghadiri bengkel khas tersebut.
Tiga arkitek
Sayangnya, arkitek dari Switzerland terpaksa menarik diri kerana dia bukan Muslim. Kumpulan panel itu kemudiannya disertai tiga arkitek, seorang dari Algeria dan dua dari Lebanon, menjadikan enam orang kesemuanya.
“Pada peringkat awal, jawatankuasa ini ditugaskan untuk menggubal satu wawasan yang merangka garis panduan untuk merencanakan bagaimana seharusnya pembangunan semula Mekah.
“Khususnya pembesaran Masjidil Haram di dalam sebuah dokumen yang dinamakan Vision Brief. Ini adalah pembesaran kali ketiga Masjidil Haram,” jelas beliau.
“Sungguhpun apa yang hendak divisikan ini tiada garis panduan atau ia adalah free ticket dan wang bukanlah masalah kerana diumpamakan kami diberi blank cheque, hakikatnya itu adalah jauh lebih mencabar. Ini kerana banyak perkara yang perlu difikirkan.
“Kita tidak mahu usaha ini sehingga melampaui dan dibimbangi ia tersasar daripada konsep pembangunan di dalam Islam itu sendiri. Di mana Islam amat menekankan perihal tauhid, rububiah, khilafah dan tazkiah (niat).
“Di samping itu, aspek kesederhanaan juga menjadi pokok keutamaan agar selaras dengan falsafah Islam, kesederhanaan itu tanda kebenaran (simple is sign of truth),” terang Mawi.
Apa yang boleh digambarkan ialah Masjidil Haram itu akan berubah menjadi lebih luas, sebuah masjid yang mesra alam, selamat dan ia seolah-olah mengembang dan menguncup mengikut musim kemuncak dan sebaliknya.
Mengulas lanjut aspek-aspek dan pokok permasalahan yang perlu difikirkan, kata Mawi, panel yang dilantik ini perlu mengambil kira soal pembesaran. Namun ia tidak meminggirkan konsep masjid yang mesra alam.
Reka bentuk baru itu harus tidak menyumbang kepada pemanasan global, pembaziran, keselamatan di waktu kecemasan dan mempunyai sentuhan kerohanian apabila berada di dalam masjid.
Aspek pengurusan pembuangan sisa pepejal, pengangkutan, pengurusan berkaitan air zamzam dan juga tidak boleh melindungi pandangan jemaah terhadap Kaabah, terutama ketika sedang melakukan ibadat tawaf serta paling penting nilai sejarah kota tersebut harus dipelihara.
“Panel ini ditugaskan untuk memikirkan semua perkara di atas dan kemudiannya menghasilkan dengan beberapa cadangan dan garis panduan bagi membantu perancangan dan reka bentuk pembesaran kelak.
“Kami akan beri penerangan, memantau, menilai dan membuat laporan sebelum menghantar cadangan kepada jawatankuasa untuk dipersembahkan kepada Raja Abdullah,” katanya.
Menurut Mawi, di bawah panel ini, terdapat 16 syarikat arkitek antarabangsa dari 13 negara seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan, Jepun, Jerman, Perancis, Switzerland, England, India, Afrika Selatan serta Malaysia.
Mereka dibahagi kepada dua kumpulan; enam adalah Vision Architect yang menghasilkan idea. Sepuluh lagi adalah Application Architect, yang akan memikirkan tentang perkara-perkara praktikal.
Kekuatan tersendiri
“Mereka ini bukannya bertanding untuk idea tetapi pemilihan arkitek-arkitek ini adalah atas cadangan panel kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri, kepakaran dan kecenderungan dalam mereka bentuk.
“Setiap arkitek ini akan membentangkan kertas kerja masing-masing di mana ia menyentuh aspek-aspek seperti ritual ibadah/ketuhanan, mesra alam, kerohanian, kemasyarakatan, bahan-bahan atau material yang bakal digunakan dan teknologi yang digunapakai,” kata Mawi yang turut berkongsi idea-idea radikal yang diterima panel daripada para arkitek sepanjang penglibatan tersebut.
Beliau juga adalah antara orang yang terawal dan diberi tanggungjawab mereka pelan bangunan kampus utama UIAM di Gombak dan di Kuantan serta Dekan pertama KAED.
Malah menerusi pemerhatiannya, pembangunan seluas 650 meter ini bakal siap dalam masa kurang daripada dua tahun kerana kewangan tidak menjadi masalah yang besar kepada kerajaan Arab Saudi.
Ditambah pula, Almarhum Raja Abdullah menganggap dirinya sebagai ‘khadam’ atau hamba serta bertanggungjawab untuk memberikan keselesaan kepada semua jemaah yang datang ke Masjidil Haram.
Menurut Mawi, Raja Abdullah mempunyai kata putus untuk mengambil satu pelan dan melaksanakannya, mengambil idea-idea yang bagus daripada kumpulan itu dan kemudian mencantumkannya ataupun mengambil satu-satu perkara daripada keseluruhan pelan tersebut.
Kongsinya lagi, beliau tidak pernah menjangkakan pengiktirafan serta kepercayaan sebegini.
Beliau sebelum ini terlibat dalam kerja-kerja mereka pelan bangunan dan menubuhkan kuliah KAED di UIAM, dilantik sebagai Pengarah Reka Bentuk, Pelan Induk Landskap untuk Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 2007 lalu dan pelbagai lagi.
Apapun, kata Mawi, pemilihan beliau sebagai panel pembesaran Masjidil Haram mungkin berkait rapat dengan doanya di hadapan Kaabah sewaktu menjadi pensyarah jemputan di Fakulti Kejuruteraan, Universiti King Abdul Aziz, lebih 20 tahun lalu. – Utusan Malaysia
Kredit: http://www.syahrilkadir.com/
www.indahhnyaislam.my