Jerantut: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyumbang 4,900 helai tudung dan lain-lain kelengkapan am kepada 665 komuniti Islam Kemboja.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sumbangan itu kemudiannya disampaikan oleh Persatuan Wanita Islam Kemboja (CAMWA) di beberapa perkampungan Islam negara berkenaan pada 11 dan 12 Disember lalu.
“Wakil kerajaan Kemboja, Leftenan Jeneral Ya Ei juga hadir bagi menyempurnakan majlis penyerahan tudung itu kepada penduduk kampung yang terbabit.
“Ya Ei mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Angkasa dan koperasi di Malaysia yang menjayakan agenda membantu masyarakat Islam di Kemboja menerusi sumbangan itu,” katanya.
Antara kampung yang terbabit dalam program itu ialah Kampung Thbeng Tmkem di Kandiang, Kampung Krang Thom di Osandan, Kampung Rolang Teng dan Rolang Knoi di wilayah Pursat.
Katanya, program penyerahan tudung anjuran Bahagian Wanita dan Komuniti Angkasa dengan Kerjasama CAMWA dan Kemboja Network itu mula disusun dan dilaksanakan pengagihannya secara berperingkat selepas produk berkenaan diterima CAMWA pada 19 September lalu.
“Sebelum ini, Angkasa sudah menghantar 150 kotak mengandungi 20,000 helai tudung ke Kemboja.
“Program serahan kali pertama itu disempurnakan oleh Anggota Lembaga Angkasa Datuk Mohamad Ali Hasan di dua kampung termasuk sekolah sekitar Phnom Penh pada 16 Mac 2018,” katanya.
Menurutnya, Angkasa akan meneruskan program seperti itu pada masa hadapan terutamanya dalam membantu minoriti Islam di Kemboja. -My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM