Ulama Islam bersetuju bahawa antara sedekah yang paling afdal ialah di bulan Ramadan. Hal ini sejajar dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh alTirmizi bermaksud: “Sesiapa yang menjamu makan bagi orang yang berpuasa ketika berbuka, baginya pahala seperti mereka yang berpuasa tanpa dikurangi sedikit pun.”
Selain hadis ini, Salman al-Farisi meriwayatkan sebuah hadis sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Misykat alMasobih karangan al-Tibrizi bermaksud: “Sesiapa yang melakukan ibadah sunat untuk menghampirkan diri kepada Allah di bulan Ramadan, ia seperti mengerjakan kefarduan di bulan-bulan yang lainnya.”
Nabi Muhammad SAW terkenal dengan sifat dermawan dan baginda lebih dermawan ketika di bulan yang mulia ini. Perkara ini merupakan satu pedoman yang perlu dipasak di dalam jiwa orang beriman.
Jelas di dalam Al-Quran, Allah menyeru agar manusia itu berinfak dan menginfakkan harta yang paling disayanginya seperti di dalam ayat 92, surah Ali Imran: “Membayar zakat fitrah di atas sekalipun berat bagi sesetengah manusia kerana seseorang itu perlu mengeluarkan wangnya di mana ia bertentangan dengan nafsu yang suka memiliki dan melihat nikmat yang banyak.”
Ramadan sememangnya sinonim dengan gandaan pahala ibadat-ibadat sunat, apatah lagi yang wajib. Boleh dibayangkan bagaimana seseorang yang berinfak ketika Ramadan kepada orang miskin sama ada sedekah sunat atau zakat fitrah yang wajib, infak tersebut kemudiannya memberikan sedikit sinar dan kegembiraan kepada si penerima. Dengan itu terhimpunlah ibadah memberi, menggembirakan orang lain, mendatangkan manfaat dan sebagainya.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaikbaik ibadah selepas kefarduan ialah mengembirakan hati orang Islam yang lain (riwayat al-Tobrani); dan sebaik-baik manusia yang disayangi Allah ialah mereka yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” (Riwayat al-Asbahani).
Seperti sedia maklum, zakat disyariatkan Allah SWT sebagai mekanisme pengimbang atau perapat jurang antara kaya dan miskin.
Kemiskinan yang berada dalam masyarakat adalah masalah ekonomi kerana melibatkan keperluan isi rumah yang tidak dapat dipenuhi sekali gus menyumbang kepada ketidakcukupan. Setelah itu, ia perlu diagihkan kepada asnaf bagi kegunaan mereka ketika menyambut Syawal.
Berpuasa di fasa endemik adalah satu detik yang amat melegakan masyarakat Islam di Malaysia. Kemeriahan berpuasa, tarawih dan tadarus al-Quran akan merancakkan lagi semangat umat Islam bagi menyambut keberkatan bulan yang mulia ini.-UTUSAN
DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH
Jabatan Syariah & Ekonomi,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM