Antara putus asa dan tergesa-gesa berhadapan jahiliyyah

 

“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain lalu kamu dicerai-beraikan daripada jalan-Nya, demikianlah Allah mewasiatkan kepada kamu agar kamu bertaqwa”. (Al-An’aam: 153)

KEGELINCIRAN para duat dan harakah Islam daripada keseimbangan dalam melaksanakan amal dakwah, bukan sesuatu yang mustahil. Melaksanakan dakwah Islam yang suci tidak menjadi jaminan kepada kebenaran setiap langkah dan tindakan yang diambil oleh para duat. Mungkin niatnya suci namun langkah yang diambil salah. Di sinilah lahirnya kepentingan dalam mempelajari, memahami dan menguasai fiqh dakwah sebagaimana yang telah digariskan oleh generasi pertama hasil daripada didikan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

Putus Asa dengan Realiti Umat

Perasaan dukacita dan hiba diri para duat yang melihat kemungkaran serta penyakit umat yang semakin parah boleh melahirkan beberapa sikap dan tindakan yang tersasar daripada fiqh dakwah yang sebenar jika tidak dirawati atau diurus dengan baik. Antara penyakit tersebut adalah, munculnya sikap berputus asa dan menyerah bulat-bulat kepada realiti serta bersikap negatif seperti kebanyakan orang sehingga dengan mudah dirinya melupakan segala tanggungjawab dakwah.

Mengulas gejala ini Syeikh Mustafa Masyhur ada mengingatkan golongan tersebut bahawa:

“Islam mewajibkannya berusaha mengubah realiti dan suasana yang rosak itu daripada terus terbenam ke lembah maksiat dan mungkar, menukarkan suasana dan kenyataan itu kepada bentuk Islam hingga menjadi suasana dan realiti Islam. Ataupun dia mesti bersikap positif, tegas dan tangkas lantas menyahut seruan akidahnya yang mendesak. Sikap ini nanti memberi dorongan kuat kepadanya supaya dia bekerja dan berusaha merubah suasana yang rosak itu kepada suasana Islamik.”

Berputus asa bukan jalan keluar. Bahkan hanya menambah pedih luka yang telah dialami oleh umat Islam. Perancangan rapi dan usaha yang berterusan dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah adalah tanggungjawab yang perlu digalas. Tugas sebagai penyampai risalah Islam tidak akan pernah terpadam walau seteruk mana keadaan umat.

Para duat perlu sentiasa menanamkan di dalam benak pemikiran bahawa tugasnya hanyalah sebagai seorang penyampai manakala kemenangan pasukan dakwah pula adalah urusan Allah s.w.t. Di samping itu, dia perlu menanam di dalam dirinya bahawa tugas tersebut juga bukanlah suatu urusan yang mustahil untuk dilaksanakan. Dia hanya perlu melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya lalu urusan seterusnya diserahkan kepada Allah s.w.t.

Perkara ini telah diperingatkan juga oleh tokoh dakwah kontemporari, Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid di dalam bukunya Al-Muntolaq. Beliau menyebut bahawa:

“Itulah peraturan dakwah Islam. Apabila kita tidak mencapai apa yang kita harap dan kita inginkan, cukuplah kerja kita ini untuk menjadi motivasi generasi baru agar meneruskan perjalanan ini. Sesungguhnya berjaya memulakan sesuatu adalah tanda ianya boleh ditamatkan. Atau seperti yang dikatakan oleh al-Rafi’e: “Urusan yang susah apabila ia dapat dimulakan cukuplah ia menjadi bukti ianya boleh dilaksanakan.”

Tergesa-Gesa dalam Mengubah Realiti Umat

Berbeza dengan kumpulan pendakwah yang berputus asa, di sana wujud juga kumpulan pendakwah yang tergesa-gesa dalam mengubah realiti yang dikuasai pendukung jahiliyyah kepada yang lebih Islamik. Tindakan mereka dalam melaksanakan gerak kerja dakwah pada hakikatnya hanya mendatangkan fitnah kepada Islam dan para pendakwah yang lain.

Tindakan tergesa-gesa ini menyebakan golongan pendakwah terjerat di dalam salah satu daripada dua kesilapan; pertama: mencairkan prinsip dakwah Islam (yang pada sangkaan mereka ia membantu mempercepatkan kemenangan dakwah Islam), dan yang kedua: melanggar kaedah-kaedah dakwah Islamiah yang telah digariskan oleh golongan pendakwah generasi pertama, dengan sangkaan dan harapan yang sama bahawa cara tersebut akan segera dapat mengubah keadaan buruk yang menimpa umat Islam.

Contoh golongan pendakwah yang mencairkan prinsip dakwah Islam adalah mereka yang melaksanakan kerjasama dengan golongan kafir tanpa ada syarat dan prinsip yang dipatuhi. Hanya disebabkan keinginan mencapai kemenangan, habis semua prinsip Al-Quran dan As-Sunnah dilanggar demi objektif tersebut.

Misalan bagi golongan pendakwah yang melanggar kaedah-kaedah dakwah Islam pula adalah mereka yang tidak mempedulikan marhalah dakwah Islamiah dan terus melangkah ke fasa yang seterusnya tanpa ada persediaan yang rapi dan teliti. Mereka dengan semborononya menggunakan kekuatan persenjataan sedangkan kekuatan iman dan persaudaraan masih belum selesai. Akibatnya, fitnah dan salah faham yang lebih besar menimpa umat Islam khususnya golongan pendakwah yang benar-benar ikhlas menyampaikan risalah.

Contoh lain adalah dengan melonggarkan syarat dan pemilihan kader-kader yang menyertai saf para pendakwah Islam sehingga menyebabkan mereka hanya akan bertindak tanpa arah dan tujuan. Mereka mungkin menggunakan Islam untuk membuat sesuatu yang bukan Islam. Bahkan kadangkala memburukkan Islam dengan fahaman yang bercampur baur, teori-teori kufur dan akidah-akidah yang bercampur aduk dengan bid’ah.

Sekali lagi Syeikh Muhammad Ar-Rasyid memperingatkan para pendakwah dengan memaparkan pesanan tokoh pendakwah yang lebih awal menelusuri jalan ini. Kata beliau:

“Al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna telah mengarahkan supaya menghindarkan sikap membuta tuli. Beliau memberi amaran kepada yang terlampau bersemangat dan mengajarkan mereka:

“Di antara ciri dakwah ini ialah: Bertahap-tahap dalam mengatur langkah, menunggu masa, tidak tergesa-gesa mahu melihat hasil, kerana tiap-tiap sesuatu ada masanya yang telah ditentukan.”

Beliau juga selalu mengulangi kepada mereka: “Para da’ie yang memahami fiqh dakwah: slogan mereka ialah; “Masa itu adalah sebahagian daripada rawatan.”

Dengan ini, Imam al-Banna telah meletakkan penawar keempat yang akan melindungi dakwah daripada tindakan membuta tuli, mendadak tanpa matlamat yang jelas dan akan dapat memelihara dakwah daripada kemusnahan. Beliau menamakan penawar ini sebagai ‘menunggu masa yang sesuai’.”

Almarhum Syeikh Mustafa Masyhur juga turut memberi peringatan yang sama bahawa:

“Sesungguhnya rasa tanggungjawab untuk merubah realiti masyarakat yang buruk dan hina serta berselaput dengan segala adat lapuk tidaklah bererti terpaksa diubah serta merta dan memerangi secara langsung atau memasuki medan pertentangan. Ini akan melibatkan para pendukungnya jatuh ke dalam satu pertarungan juz’iah yang mungkin memburukkan bentuk usaha dan amal Islami dan menjauhkan manusia daripada para da’i malah membangunkan tembok penghalang di antara manusia dengan mereka (para pendakwah) sehingga gagal menemui jalan kebenaran.”

Tarbiyah sebagai Batu Asas

Bagi mengelak daripada tergolong dalam kalangan kumpulan pendakwah tersebut (putus asa atau tergesa-gesa), hanya satu pesanan yang ditinggalkan kepada kita daripada generasi pendakwah silam iaitu Tarbiyyah. Hayatilah perumpamaan yang dinukilkan oleh Syeikh Mustafa Masyhur sebagai pedoman untuk kita sama-sama memahami kepentingan tarbiyyah dan kesannya terhadap para pendakwah:

“Sepohon kayu yang besar dan keras batangnya, adalah bermula daripada batangnya yang lembut dan beransur-ansur naik tinggi, kerana menurut hikmah yang dikehendaki Allah s.w.t. Setiap kali ditiup angin kencang atau dipukul ribut taufan, dia melentok lembut dan condong bersama angin tetapi setelah ribut itu reda, dia akan tegak kembali.

Waktu demi waktu ia beransur tumbuh dan membesar, akarnya terus menjalar di setiap penjuru, batangnya beransur besar dan keras sedikit demi sedikit dan condongnya pula berkurangan bersama tiupan angin sehingga tiba waktu sempurna kekuatan batangnya, kedalaman dan kejauhan jalaran akar umbinya dan mampu menghadapi angin dan ribut taufan. Di waktu itulah dia tidak akan patah dan tidak dapat dicabut oleh angin ribut.

Cubalah kita fikirkan batang yang tinggi pada mulanya dan keras tentu mudah dipatahkan oleh angin ribut atau dicabut ribut.

Demikianlah juga dakwah Islam di waktu tumbuh dan berkembangnya di peringkat lemah dan sedikit bilangannya, adalah tidak sesuai baginya menghadapi musuhnya dengan kekuatan dan kekerasan, tetapi mestilah dihadapi dengan kesabaran, ketabahan, ketahanan, reda menerima segala derita sehingga ia menjadi satu organisasi yang kuat.

Demikianlah pula sebaliknya, adalah tidak benar kalau kita paksa pokok yang telah keras batangnya untuk tunduk dan condong sebab yang demikian itu berbahaya kepadanya. Begitu juga halnya dengan harakah Islam, apabila dia telah kuat, tidaklah ia reda menerima taraf kedudukan yang lemah.”

Fiqh Dakwah & Haraki Sebagai Penyuluh Jalan

Kefahaman yang menyeluruh terhadap gerak kerja dakwah Islamiah dapat membantu para pendakwah mengelak daripada tergelincir dan tidak seimbang. Kurangnya penguasaan fiqh dakwah lambat laun akan menyebabkan seseorang atau kumpulan pendakwah tersebut menyimpang daripada jalan yang lurus, jalan yang sepatutnya. Bahkan kelemahan dalam memahami dan melaksanakan fiqh dakwah yang sebenar menyebabkan para pendakwah hari ini disibukkan dengan perkara yang remeh sekaligus mengakibatkan dakwah lambat berkembang dan jauh daripada hati umat Islam.

Atas dasar inilah Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid mengilhamkan bahawa:

“Realiti harakah Islam menunjukkan kemungkinan memendekkan tempoh masa jalan ini dengan lebih cepat dan segera untuk mara membuka dakwah secara terang-terangan. Ia boleh berlaku dengan cara bersungguh-sungguh mengembangkan fiqh haraki, menyebarkan dan menyampaikannya kepada mereka yang ikhlas tetapi masih perlu kepada fiqh ini.

Sebenarnya terdapat ramai da’i Islam di setiap tempat yang menyerahkan dirinya kepada dakwah dan da’i Islam. Tetapi fiqh haraki inilah yang kurang pada mereka.

Sekiranya kita mengajar mereka untuk memenatkan dan mengorbankan diri, sabar berjaga malam dan bengkok belakang untuk mempelajari fiqh ini, nescaya ramai di kalangan mereka yang mempunyai kesediaan akan sedar dan dapat menutup ruang yang kosong dan menggantikan orang yang lemah.”

Katakanlah…

Sebagai pengakhiran, hayatilah kata-kata agung Syeikh Mustafa Masyhur mengenai kebenaran jalan ini:

Mungkin ada orang berkata: “Jalan ini lambat dan tidak mungkin melahirkan cita-cita yang diharapkan. Lebih-lebih lagi dengan adanya cangkul peruntuh iaitu setiap persiapan dan kelengkapan yang dibawa oleh pendukung kebatilan, lalu dengan mudah diruntuhkannya satu demi satu”.

Kita jawab: “Sesungguhnya pendapat ini tidak benar tidak sihat kerana sejarah mendustakannya. Sirah Rasullulah s.a.w. mengatakan dan menegaskan bahawa sesungguhnya dakwah Allah yang dikumandangkan oleh Rasulullah s.a.w. telah berjalan di atas jalan seperti ini, di dalam suasana yang serupa di zaman ini, namun demikian baginda dapat memantapkan dasar-dasarnya”.

 Akhirnya Allah memberi kemenangan kepada baginda walau bagaimana besar sekalipun penentangan pendukung kufur dan kebatilan dengan segala tipu daya mereka dan cangkul peruntuh yang cuba membinasakan usaha baginda. Kelengkapan kufur dan jahiliah tidak mampu meruntuhkan asas dan dasar orang yang beriman lantaran kekuatan iman dan kejituan akidahnya. Dan sekarang sejarah akan mengulangnya lagi. Allah akan memberi kemenangan kepada yang hak dan menghapuskan yang batil walaupun dibenci oleh golongan penjajah dan kufur.

Firman-Nya Yang Maha Agung:

“Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang batil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi menfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.” (Ar-Ra’ad: 17)”

Dan katakanlah kepada dirimu:

Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku. Aku dan orang yang mengikutku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata. Maha Suci Allah s.w.t, dan aku tidak termasuk di kalangan orang musyrik“. ( Yusuf: 108)

Ustaz Muhammad Izzat Husman
Ahli Majlis Ulama ISMA

*Tulisan ni adalah nukilan daripada dua kitab dakwah Islamiyyah (Jalan Dakwah oleh Syeikh Mustafa Masyhur & Langkah Bermula oleh Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid). Sebarang penambahbaikan atau teguran boleh disampaikan terus kepada penulis di emel: [email protected].

Sumber: http://www.ismaweb.net/2017/10/pendakwah-islam-dalam-berhadapan-dengan-realiti-jahiliyyah-antara-putus-asa-dan-tergesa-gesa/

www.indahnyaislam.my

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts