Saban tahun umat Islam meraikan Hari Raya Aidiladha. Seperti kebiasaannya, selepas sebulan menjelangnya raya aidilfitri, akan hadir nya perayaan Aidiladha ini. Kedua-dua raya ini merupakan perayaan disyariatkan oleh Allah Taala kepada hamba-Nya. Kedua-dua perayaan ini akan datang dan pergi dalam kitaran hidup seorang muslim.
Simbolik perayaan adalah sebuah kemenangan, manakala simbolik perayaan Aidiladha pula adalah berkaitan dengan makna pengorbanan yang agung.
Kisah pengorbanan ini bermula di dalam Al-Quran di dalam surah As-Saffat ayat 102 sehingga ayat 110, iaitu kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya yang amat disayangi, iaitu Nabi Ismail a.s. melalui mimpi ayahnya.
Firman Allah Ta’ala :
رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٠٠ فَبَشَّرْنَـٰهُ بِغُلَـٰمٍ حَلِيمٍۢ ١٠١ فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٠٢ فَلَمَّآ أَسْلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلْجَبِينِ
Yang bermaksud:
Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”[100]
“Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar”. [101]
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.” [102]
“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami)”, [103]
Kemudian, kedua-duanya menyerahkan diri sepenuhnya tanpa sedikitpun keraguan dengan perintah Allah Taala. Lalu, Allah Ta’ala memanggil Nabi Ibrahim As dengan berfirman :
وَنَـٰدَيْنَـٰهُ أَن يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ ١٠٤ قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّءْيَآ ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ١٠٥
Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!“ [104] “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan”. [105]
Surah As-Saaffat, Ayat 105.
Kisah tersebut adalah merupakan antara pensyariatan terawal bagi ibadah korban dan ia juga merupakan pembuktian erti pengorbanan yang tulus iaitu kita kena menyerahkan sesuatu perkara yang bermakna dan amat disayangi dalam kehidupan.
Kalau kita mengikuti perjalanan Nabi Ibrahim A.S sebelum kisah ini, Baginda tidak pernah dikurniakan zuriat ketika bersama dengan isteri pertamanya Siti Sarah. Seiring dengan itu, Nabi Ibrahim tidak pernah putus untuk sentiasa memanjatkan doa kepada Allah Ta’ala untuk dianugerahkan zuriat yang soleh dan taat kepada-Nya.
Kemudian, bermula hadirnya zuriat yang pertama apabila dapat direzekikan untuk berkahwin dengan isteri keduanya, iaitu Siti Hajar. Lalu, Allah Ta’ala telah mengurniakan Baginda seorang zuriat yang soleh, iaitu Nabi Ismail A.S.
Berlanjutan sampai usia remaja Nabi Ismail A.S, Allah Ta’ala datangkan satu ujian kepada Nabi Ibrahim A.S melalui mimpi, Iaitu diperintahkan untuk mengorbankan satu-satunya anak baginda yang paling disayangi dalam kehidupannya. Hakikat pengorbanan itu bukanlah menyerahkan benda yang buruk atau barang yang tidak diingini. Sebaliknya, pengorbanan yang sebenar apabila dapat melepaskan perkara yang paling disayangi.
Sehubungan dengan itu, sambutan Aidiladha ini adalah satu destinasi terpenting bagi kehidupan sebagai seorang muslim. Bukan sekadar sambutan raya yang biasa; iaitu menonton sembelihan dan menghirup sup tulang. Bahkan, ia menuntut kita untuk mencapai erti pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S
Hakikat matlamat ibadah penyembelihan binatang korban ini adalah untuk membentuk ketakwaan kita kepada Allah Ta’ala. Sepertimana firman Allah Taala di dalam surah Al-Haj ayat 27 yang bermaksud :
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah Ta’ala, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.”
“Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” [27]
Menelusuri ayat di atas, sebagai seorang muslim hendaklah dia menyembelih korban disertakan dengan menyebut nama Allah Taala. membesarkan dan mengagungkan-Nya serta tidak menghadirkan niat yang selain dari Allah Taala.
Umat islam perlu memahami setiap ibadah yang dilakukan adalah untuk membentuk taqwa dalam diri kita. Begitu juga dengan pensyariatan solat, puasa dan ibadat lain adalah untuk membentuk manifestasi ketaqwaan kita kepada Nya. Firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتقون
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Surah Al-Baqarah 183]
كَذَ ٰلِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ ءَایَـٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ یَتَّقُون
Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa. [Surah Al-Baqarah 187]
Tuntasnya, Umat islam kena sentiasa berpegang teguh terhadap wahyu, agar terselamat daripada kefahaman yang salah tentang islam. Kefahaman dalam islam adalah yang boleh membentuk kepercayaan, sikap dan tindakan. Orang mukmin yang sentiasa membaca dan mentadabbur ayat-ayat Allah Taala, akan menerima kefahaman yang betul terhadap agamanya.
Begitu juga kisah-kisah ghaib di dalam Al-Quran adalah kayu ukur kita untuk beriman denganNya. Sebagai contoh, kisah golongan baik akan diganjarkan syurga yang dipenuhi nikmat, sebaliknya golongan buruk akan diazab di dalam api neraka yang panas dan mengerikan. Seperti itu juga dengan kewujudan kisah para malaikat, kebenaran tentang kejadian hari kiamat dan lain-lain lagi.
Kesemua kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran untuk membina kefahaman yang kukuh bagi memastikan manusia yakin dengan sepenuhnya bahawa semua yang berlaku di dalam Al-Quran adalah benar, bukannya rekaan. Sesiapa yang kurang memberi masa dengan Al-Quran, maka kepercayaannya terhadap kesemua kisah itu akan menjadi kabur sehingga akhirnya menjadi gelap dalam kefahamannya.
Sehubungan dengan itu, umat islam perlu menghadirkan hati sepenuhnya ketika melaksanakan ibadah. Adapun, bagi menigkatkan mutu ibadah kita adalah dengan mengimbangi perasaan rahmat-Nya dan takutkan azab-Nya. Al Hafiz ibn Kathir RHM pernah berkata : “tidak sempurna ibadah tanpa rasa takut dan mengharap”. Oleh itu ibadah yang sempurna dilakukan kerana inginkan rahmat Allah dan takutkan azab Nya. Hayatilah kerana perkara yang sepatutunya dicapai dalam ibadah korban adalah dengan mencapai ketakwaan kita kepada Allah Taala.
Akhir kalam, perayaan ini akan bernilai sekiranya kita dapat memahami matlamat ibadah yang dituntut. Setiap ketaatan kita kepada Allah Taala akan sia-sia sekiranya kita melakukannya hanya kerana telah menjadi kebiasaan. Seorang muslim yang luar biasa akan melakukan ketaatan kepada Allah Taala dengan cara dan penghayatan yang luar biasa.
Wallahu A’alam
Sumber : artikel dari Ustaz Amirul Hadif
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM