1. Taufan Aqsa, pembunuhan penduduk Gaza dan kemuncaknya pembunuhan as-Syahid Mujahid Ismail Haniyeh meletakkan Hamas sebagai jemaah qudwah bagi semua pertubuhan Islam di dunia ini.
2. Banyak yang boleh dipelajari dari Hamas. Saya kongsikan sebahagian yang saya fikir tentang pencapaian organisasi yang ditubuhkan tahun 1987 selepas berlakunya intifadhah di Palestin.
i. Hamas berjaya kekal dengan prinsipnya tidak mengiktiraf Israel. Bukan mudah untuk kekal dengan prinsip ini ketika pimpinan negara Arab satu demi satu mula mengiktiraf Israel dan menerima normalisasi selepas perang terakhir Arab-Israel 1973 dan Camp David. Bahkan kumpulan Fatah yang asalnya berperang juga akhirnya mengiktiraf Israel, melucutkan senjata dan menerima kemerdekaan Palestin yang palsu. Tiada lagi senjata di badan Yaser Arafat dan begitulah berterusan hingga ke era Mahmud Abbas.
ii. Prinsip tidak mengiktiraf Israel ini berjaya diturunkan kepada semua ahli bahkan kepada majoriti rakyat Palestin. Buktinya, rakyat memilih Hamas untuk memimpin mereka pada pilihanraya 2006. Buktinya lagi, rakyat memilih untuk mati di Gaza walaupun ada pilihan untuk berpindah ke Sinai.
iii. Hamas berjaya membina kekuatan tentera terlatih. Dari kekuatan rakyat ketika intifadhah 80an yang hanya menentang menggunakan orang awam, kini sudah ada briged al-Qassam yang terlatih. Berapa bilangannya, wallahu a’lam. Yang pasti sudah terlalu banyak misi dijalankan yang membuktikan keupayaan briged ini. Israel yang kononnya kuat dari segi ketenteraan sudah menemui jalan buntu untuk menghapuskan briged al-Qassam.
iv. Hamas berjaya membina kekuatan persenjataan menjadikan pertarungan dengan Israel ini sebagai pertarungan yang sepadan. Dari hanya menggunakan batu dan lastik, kini sudah ada roket Yasin, Ja’bari dan lainnya. Peperangan yang sudah melepasi 300 hari membuktikan bahawa Hamas masih tidak keputusan senjata. Iron Dome kebanggaan Israel juga sudah terbukti berjaya digagalkan oleh Hamas.
v. Hamas berjaya mematahkan sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Palestin. Rundingan demi rundingan serta kempen berpanjangan dilakukan tanpa henti di seluruh dunia hingga membawa kepada tertubuhnya ribuan badan kebajikan seluruh dunia. Badan-badan kebajikan ini boleh dikatakan majoritinya berhubung dengan badan pro Hamas dan berterusan memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di kala dunia menyekatnya.
vi. Hamas berjaya membina kekuatan medianya lalu menjadikan perkembangan terkini Palestin tidak lagi menjadi rahsia yang disorok oleh Israel. Ini menjadikan teknologi media yang dibangunkan asalnya oleh pro Yahudi menjadi teknologi yang dimusuhi Yahudi sendiri. Israel mula lari dari media sedangkan sebelumnya mereka membesarkan diri melalui propaganda media.
vii. Hamas berjaya membina hubungan diplomatik dengan banyak negara walaupun mereka bukanlah sebuah kerajaan. Boleh disaksikan bagaimana pemimpin besar negara umat Islam sentiasa berhubung dengan pimpinan Hamas. Hamas berjaya berunding dengan Iran dan sekutunya, juga China serta berjaya juga meletakkan diri mereka sama tinggi dengan US dan lain-lain dalam rundingan.
viii. Yang terakhir saya ingin kongsikan, Hamas berjaya membina lapisan pemimpin yang berani dan menjadi sandaran bukan sahaja kepada rakyat Palestin tetapi juga kepada warga dunia. Pemimpin utamanya dari Syeikh Ahmad Yasin, Dr Rantisi hinggalah kepada Ismail Haniyeh semuanya mati syahid dibunuh. Inilah kebanggaan rakyat Palestin bila mereka melaungkan ‘pimpinan kami adalah syuhada”.
3. Itulah Hamas.
Banyak lagi yang boleh dkongsikan dan dipelajari oleh semua pimpinan dan aktivis Islam seluruh dunia.
Mari contohi mereka dan mulakan dengan laungan slogan mereka dalam hidup kita:
وإنه لجهاد .. نصر أو إستشهاد
Sesungguhnya ia adalah jalan jihad
Di hujungnya kemenangan atau syahid
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)