Apa yang umat Islam mahukan daripada pemimpin mereka?

 

1. Kita mahu pemimpin yang faham Islam. Ia tidak perlu menjadi seorang ulama’, cukup ia faham Islam dengan kefahaman yang benar. Tidak memahami Islam sebagaimana golongan sekular-liberal memahaminya, agama dianggap sebagai punca kemunduran dan penghalang kemajuan, ingin memaksakan Islam agar sesuai dengan nilai-nilai liberal dan sekular. Tidak juga memahami Islam seperti golongan konservatif, yang mengharamkan ilmu akal, ilmu sains, yang membatasi Islam kepada ritual semata-mata.

2. Memiliki sifat-sifat dan akhlak mulia. Amanah, jujur, adil, bijaksana, berani, sederhana (temperance). Seorang pemimpin yang adil adalah pemimpin yang bijak tetapi tidak licik, berani tetapi tidak sembrono, bersemangat dan berwawasan tinggi tetapi penuh pertimbangan yang matang. Keputusan yang diambil bukan atas dasar berat sebelah mahupun kebencian.

3. Untuk memiliki syarat pertama dan kedua ia perlu belajar dengan ulama’ besar yang besar dengan karyanya, bukan ulama’ selebriti yang diangkat oleh media sosial. Ibn Muqaffa’ berkata: “Jika kamu diuji dengan kekuasaan, maka berlindunglah dengan para ulama'” Ibn Muqaffa’ dalam bukunya tentang adab-adab yang perlu dimiliki oleh para pemimpin. Kuasa bukanlah suatu kebanggaan, tetapi suatu musibah, beban berat, yang boleh mencelakakan seseorang. Ulama’ yang dimaksudkan juga bukan ulama’ dalam erti sekarang ini, yang hanya tahu ilmu agama dalam pengertian yang sempit, tetapi ilmuwan yang memiliki ilmu yang luas dan kebijaksanaan.

Ungkapan ini juga menandakan kedudukan yang tinggi yang diberikan kepada ilmuwan dalam peradaban Islam, sehingga para sultan dan raja pun mesti tunduk kepada nasihat-nasihat yang diberikan dan bukan sebaliknya memperalatkan ulama’ atau ilmuwan untuk kepentingan dirinya. Nasihat-nasihat yang jujur dan bijaksana ini akan semestinya dapat memelihara negara dan bangsa daripada mengalami kemunduran dan kehancuran.

4. Dengan sifat-sifat mulia itu diharapkan beliau dapat membuat keputusan yang tepat, bijaksana, adil, tidak memihak kepada yang kaya, dengan mengabaikan yang miskin, tidak menzalimi kaum minoriti mahupun majoriti, tidak mengamalkan nepotisme, kronisme, dan rasuah. Tidak tunduk dan takut dengan tekanan asing, atau pihak-pihak berkepentingan yang ingin menangguk di air yang keruh.

5. Mengangkat para menteri yang mampu mengemban amanah dengan baik, bukan ahli politik yang hanya tahu berbicara dan mengkritik tetapi tidak tahu melaksanakan tugas dengan baik. Menteri dan pegawai kanan yang berintegriti. Apabila amanah diberikan kepada yang bukan ahlinya, pegawai tinggi dilantik dari kalangan yang kurang berkelayakan dan Tidak berintegriti maka negara akan kehilangan individu-individu yang disebut sebagai creative minority, akibatnya kemajuan akan terhambat, kesejahteraan tidak akan tercapai, banyak kerosakan akan bermunculan.

6. Mengutamakan kebajikan masyarakat dan rakyat kecil, bukan projek-projek yang hanya menguntungkan segolongan kecil kapitalis. Kemajuan sesuatu negara tidak hanya diukur dengan kemajuan material, tetapi apa yang lebih penting adalah kesejahteraan masyarakat yang menyeluruh dan kebahagiaan sejati.

Mengapa negara umat Islam selalu mendapat pemimpin yang palsu dan rosak? Kerana kita selalu membuat keputusan berdasarkan emosi, bukan akal fikiran yang sihat. Selain membelakangi suruhan agama dan mengabaikan panduan Nabi dan ulama’ pewaris nabi.

Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A Harris
Pengarah CASIS UTM

Sumber: https://www.facebook.com/drkhalif/posts/2047260735293852

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts