Apakah amalan yang sesuai dilakukan pada bulan Rejab?

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan hadis yang dikaitkan dengan kelebihan bulan Rejab.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang perkara ini, Sinar Islam bertemu dengan Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul.

Ujar beliau, tiada satu hadis khusus yang sahih menceritakan tentang kelebihan pada bulan Rejab atau malam-malam tertentu bulan itu serta amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan berkenaan.

“Yang ada kelebihannya adalah bulan Rejab merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Bulan-bulan haram ini adalah Zulhijah, Zulkaedah, Muharam dan juga Rejab.

“Ia adalah salah satu bulan-bulan haram yang ada kelebihan dan kemuliaan di sisi ALLAH SWT,” katanya ketika ditemui di Akademi Al-Quran Amalillah, Shah Alam, Selangor sebentar tadi.

BAGAIMANA JIKA HENDAK TINGKATKAN AMALAN PADA BULAN REJAB

Beliau berkata: “Memang para alim ulama sangat menggalakkan dan menekankan kepada kita. Kita perlu perbanyakkan amalan pada bulan Rejab supaya ia menjadi latihan terbaik sebelum kita masuk bulan Ramadan.

“Rasulullah SAW sendiri pun memperbanyakkan amalan, khususnya bila masuk pada bulan Syaaban. Jom latih untuk masuk bulan Ramadan. Memperbanyakkan amalan tiada masalah tapi kalau kita nak mengkhususkan satu ibadah atau satu amalan khusus pada bulan Rejab atau pada malam-malam tertentu, ia tiada dalam hadis Rasulullah SAW yang sahih.”

Selain itu, terdapat juga doa bulan Syaaban yang tular di media sosial iaitu Allahumma bariklana fi Rajab wa Sya’ban wa Ballighna Ramadahan yang bermaksud ‘Ya ALLAH, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami kepada Ramadan.’

DOA YANG BAIK

Imam Muda Fakhrul menjelaskan, meskipun ia bukanlah doa yang dilafazkan Rasulullah SAW, namun ia adalah doa yang sangat baik.

“Kalau kita boleh, kita amalkan. Sebut sentiasa untuk jadikan amalan. Cuma doa tersebut bukanlah ma’thur daripada Rasulullah SAW.

“Kalau kata Nabi SAW doa tak? Nabi tak doa, tak ada hadis yang sebut nabi doa dengan lafaz sedemikian,” ujar beliau. Menurutnya, doa itu diajar oleh para alim ulama dan orang soleh. Ia boleh diamalkan tetapi tidak boleh dianggap sebagai doa yang ma’thur dan menjadi pegangan akidah kita.

“Tiada masalah untuk berdoa. Banyakkan beramal, ikhlaskan hati. Mudah-mudahan kita akan sempat masuk bulan Ramadan,” katanya. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts