SAYA tidak hairan jika Menteri Dalam Negeri Jerman, Horst Seehofer yang baru menjawat jawatannya dalam Kabinet Angela Merkel berkata, Islam bukan sebahagian daripada Jerman dan telah menetapkan dasar imigresen yang tegas sebagai langkahnya dalam berdepan pencabarnya.
Kenyataan itu dibuat, selepas sekutu konservatif Merkel, Parti Demokrat Sosial kalah kepada parti Alternatif Untuk Jerman (AFD) yang bersikap antiimigran dalam pilihan raya tahun lalu.
Seehofer dilihat ingin menunjukkan bahawa partinya sedang mengatasi isu imigresen menjelang pilihan raya wilayah Bavaria pada Oktober depan dengan AFD dijangka bertanding di wilayah itu.
Kata-kata Seehofer bercanggah sama sekali dengan bekas Presiden Jerman, Christian Wulff yang mencetuskan debat berhubung imigresen pada 2010 dengan berkata, Islam adalah sebahagian daripada Jerman. Seehofer dengan tegas berkata”
“Islam is not part of Germany. Christianity has shaped Germany including Sunday as a day of rest, church holidays, and rituals such as Easter, Pentecost, and Christmas.”
Pada hemat saya, beliau ada hak untuk berkata sedemikian, sebab Jerman bukanlah negara Islam atau majoriti berpenduduk Islam. Terimalah hakikat apabila kita menjadi minoriti. Sama seperti minoriti umat Islam seluruh dunia seperti China, Thailand, Filipina dan sebagainya.
Ironinya, apabila umat Islam menjadi majoriti dan agama lain menjadi minoriti, bagaimana pula keadaannya? Apakah kita akan menjadi sedemikian berani?
Bagaimana dengan kita Malaysia? Apakah kita tidak ada hak untuk melaksanakan hak-hak Islam dalam sebuah negara Islam, yang majoritinya beragama Islam? Bukankah Islam adalah sebahagian daripada Malaysia? Jika tidak, mana mungkin Islam itu adalah agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan
Kenapa kita tidak berani membuat penegasan, sedangkan orang lain begitu berani? Begitu juga Britain ketika di bawah Perdana Menteri, David Cameron, secara berani menegaskan bahawa Britain adalah sebuah negara Kristian.
Saya tidak boleh bayangkan jika ultra kiasu berjaya memerintah negara ini jika mereka menang dalam PRU akan datang. Dalam keadaan sekarang mereka sudah begitu berani mengeluarkan kenyataan mahu mengkristiankan negara ini, apatah lagi apabila sudah menang?
Begitu juga dalam isu arak yang mencetuskan rasa tidak puas hati sebahagian peguam Muslim kerana tidak puas hati arak dihidangkan dalam majlis meraikan mesyuarat agung mereka. Kenapa arak yang menjadi focus makan malam mereka, bukannya makanan lain yang lebih menyihatkan badan?
Saya tidak boleh bayangkan jika ultra kiasu memerintah. Usahkan mandi, malah selepas menang nanti, mereka mahu berendam pula. Saya berasa pelik, atas dasar apa mereka terlalu sukakan arak? Agama atau ajaran apakah yang membenarkan arak ini? Lebih pelik lagi ada juga peguam-peguam yang mengaku Islam turut bersuhabat bersama Majlis Peguam ini.
Apakah kita tidak pernah belajar daripada angkara arak ini. Peristiwa beberapa pesawat terpaksa berpatah balik, gara-gara penumpangnya mabuk sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua, sebagai rakyat dalam sebuah negara Islam Malaysia. Kenapa tidak belajar daripada peristiwa buruk yang berlaku?
Tidak dinafikan ada sedikit kebaikan arak, kerana ada proses penapaian. Tetapi keburukan arak mengatasi kebaikannya, sebab itu ia diharamkan. Dalam Islam, pengharaman arak begitu jelas.
“Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah (Muhammad) pada keduanya ada dosa yang cukup besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya… (Al-Baqarah 2;219). Lihat juga an-Nisaa’: 43, Al-Maidah: 90.
Dalam Islam, arak adalah ibu segala kejahatan, sama ada diambil secara sedikit atau pun banyak. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengingatkan lagi, Allah akan melaknat 10 kumpulan manusia termasuk yang menjual atau memudahkan transaksi membekalkan arak, penghasil, penjual, penghantar, penolong membeli, pelayannya, pengguna wang hasil jualan arak, orang yang membelinya dan juga orang yang membeli arak daripada seseorang.
Begitu juga dalam Injil, begitu tegas dalam larangan arak, minuman keras membuat orang mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk (Proverb 20:1). Lihat juga Proverb 31:6-7, Ephesians 5:18.
Pendek kata, arak punca segala kejahatan. Arak telah menyebabkan masalah sosial dan hubungan kejiranan, kadar jenayah dan perceraian meningkat.
Justeru, apakah justifikasi ultra kiasu mahu arak dihalalkan? Teringat kata-kata Jomo Kenyatta, Perdana Menteri dan Presiden pertama Kenya menjadikan saya tersentak. Angkara arak dan perancangan Kristian akhirnya Kenya menjadi negara Kristian. Dalam maksud, arak adalah sebahagian perancangan Kristian dalam rangka strategi untuk mengkristiankan negara yang menjadi sasarannya, seperti yang berlaku di Kenya.
When the Missionaries arrived, the Africans had the Land and the Missionaries had the Bible. They taught us how to pray with our eyes closed. When we opened them, they had the land and we had the Bible.
Bila berjumpa doktor, selain daripada merokok, soalan lain yang ditanya adalah ‘minum’ atau tidak? Jika arak itu baik, berikanlah arak kepada isteri-isteri ultra kiasu ketika mengandung, meminumnya. Begitu juga mereka yang memandu, termasuk juruterbang.
Bukti-bukti begitu jelas menunjukkan bahawa manusia di bawah pengaruh arak, tidak lagi sedar diri, seperti dadah. Otaknya tidak lagi rasional. Tidak hairan mereka bertindak ganas dan mengeluarkan kata-kata kotor.
Kes pelacuran, rogol, sumbang mahram, dan Aids, salah satu puncanya adalah daripada arak. Mengikut kajian di Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, setiap hari kes rogol berlaku disebabkan perogol dalam keadaan mabuk.
Lapan peratus rakyat Amerika melakukan sumbang mahram, satu daripada 12 rakyat mereka terlibat. Begitu juga dengan penularan Aids. Pesakit utamanya adalah peminum arak.
Selain itu, pelbagai kajian telah dibuat mengenai mudarat arak. Antaranya, penyakit limpa dan hati, kanser kerongkong, kepala, leher, hati, usus dan sebagainya.
Begitu juga dengan tekanan darah tinggi, kerosakan hati, strok, sawan dan pelbagai jenis penyakit. Pendek kata, namakan sahaja apa penyakit, arak adalah antara penyumbang besar.
Kajian juga membuktikan, arak bermula dengan parti sosial (social drinker) atau majlis-majlis yang sewaktu dengannya seperti majlis anjuran Majlis Peguam. Tidak ada peminum arak berniat menjadi peminum arak sejati. Tidak ada hujah untuk mengatakan kita tidak akan mabuk walaupun biasa minum arak.
Lihatlah betapa jahatnya ultra kiasu, suatu ketika dahulu apabila kerajaan negeri Melaka mahu mengharamkan arak di premis kedai 24 jam ditentang dengan hebatnya sehingga kerajaan terpaksa tunduk. Begitu juga di Shah Alam. Nasib baiklah Terengganu dan Kelantan sudah lama melaksanakan. Itupun ultra kiasu masih melompat seperti cacing kepanasan. Kenapa mereka begitu ghairah dalam perkara yang tidak ada kaitan dengan mereka?
Jawapannya, mereka mahu mencairkan umat Islam daripada agamanya. Mudahlah untuk mereka menguasai. Hari ini mereka sudah pun menguasai ultra kiasu Melayu dalam Pakatan Harapan. PAS sudah lama dapat mencium baunya, sebab itu PAS mengambil langkah keluar. Yang tinggal adalah Melayu ultra kiasu. Mereka ini membisu sahaja dalam isu arak. Inilah orang yang ultra kiasu mahu dan suka.
Saya tidak larang hak asasi ultra kiasu untuk minum, mandi dan berendam arak, jika itu juga menjadi galakan agama atau ajaran anutannya. Tetapi, amat jelas semua agama mengharamkannya. Jadi, sebenarnya mereka berpegang kepada apa? Kalau bukan untuk menyesatkan orang lain?
Apabila diusik sedikit mengenai isu agama mereka, mereka begitu melenting, misalnya kalimah Allah. Mereka mendakwah bahawa mereka juga bertuhankan Allah. Kenapa dalam isu arak, yang mana agama mereka turut menentang, tidak pula nampak sensitivitinya?
Lebih menghairankan, mereka turut menentang larangan penjualan arak di kawasan majoriti Islam seperti Shah Alam. Jelas sekali perancangan mereka yang mahu menjadikan negara kita seperti Kenya. Apakah kita masih buta? Buta mata? Buta hati?
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber: Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)