1. SETELAH sakit melahirkan anak, Allah perintahkan Saidatina Maryam supaya menggoncangkan pokok tamar agar gugur kepadanya buah tamar. Bayangkan bagaimana seorang wanita yang baru bersalin diperintahkan untuk menggoncangkan pokok tamar?
2. Timbul pula persoalan kedua, apakah akan gugur buah tamar hanya dengan goncangan ibu yang baru bersalin? Sudah tentu amat sukar. Tetapi perintah ini menunjukkan bagaimana Allah ingin mendidik kita agar berusaha mencari rezeki. Firman Allah:
وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا
“Dan gegarlah (goncangkanlah) batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.”
3. Kalau ikutkan boleh sahaja Allah kurniakan rezeki kepada Saidatina Maryam seperti kisah sebelum itu iaitu Allah kurniakan buat Maryam buah-buahan yang tiada pada musim tersebut sehingga menyebabkan Nabi Zakaria berasa hairan. Dialog ini direkodkan di dalam al-Quran yang menyebutkan:
قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ
(Nabi Zakaria bertanya kepada Maryam): “Wahai Maryam, dari mana kamu dapat buah-buahan ini? Maryam menjawab ia adalah dari sisi Allah.” (Surah Ali Imran: 37)
4. Andai sebelum ini Allah mendidik kita bahawa Dia mampu mengurniakan buat Maryam rezeki yang tidak disangka-sangka, kali ini Allah ingin mendidik kita juga bahawa rezeki mestilah diusahakan. Ketika menghuraikan ayat 25 Surah Maryam di atas, al-Imam al-Qurtubi menyebutkan:
فلما ولدت أمرت بهز الجذع
“Lalu bilamana dia (Maryam) telah melahirkan anak, dia diperintahkan agar menggoncangkan pohon tamar itu.
5. Pada hakikatnya Allah berupaya sahaja untuk menggugurkan buah tamar tersebut tanpa digoncang oleh Maryam. Namun, pengajarannya disini, Allah ingin menunjukkan kepada kita, dengan usaha yang ringan oleh seorang ibu yang baru sahaja bersalin, melalui kudrat yang terbatas, Allah berupaya menurunkan rezeki dan rahmatnya.
6. Hari ini ada dikalangan kita yang punya kudrat yang kuat, mempunyai tubuh yang sempurna, tetapi sukar berusaha. Pelajari dari kisah Maryam yang menggoncangkan pohon tamar yang sukar gugur buahnya, dengan kudrat yang lemah. InshAllah, atas usaha kita, Allah akan membantu memudahkan rezeki kita.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)