GEORGETOWN – Tindakan menjenamakan arak dengan nama Timah adalah tidak wajar serta penghinaan kepada umat Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, amat mengecewakan apabila pihak pengeluar arak berkenaan menamakan produk mereka dengan nama tersebut.
Beliau berkata, bagi masyarakat Melayu, Timah adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dihormati oleh umat Islam sama ada golongan Sunni atau Syiah.
“Saya amat terkejut apabila membaca sebuah iklan yang tular di media sosial beberapa hari lalu.
“Amat mengecewakan apabila sejenis arak buatan Malaysia diberi nama Timah dengan paparan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Wan Salim berkata, pengeluar arak berkenaan perlu peka terhadap sensitiviti umat Islam berkaitan dengan isu tersebut.
“Lebih memburukkan lagi keadaan apabila gambar yang dipaparkan pada botol minuman tersebut seolah-olah imej seorang yang beragama Islam. Perlembagaan negara sudah menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi Malaysia dan tidak sepatutnya menjadi negara pengeluar arak.
“Bagaimanapun, saya tahu mesti ada yang tidak setuju dengan kenyataan saya dengan menyatakan Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang mana penduduknya berbilang bangsa dan penganut agama, sedangkan arak tidak dilarang untuk orang bukan Islam,” ujarnya.
Sehubungan itu, Wan Salim menggesa kerajaan mengarahkan syarikat pengeluar arak berkenaan supaya segera menukar jenama dan gambar pada botol minuman keras tersebut.
“Kita tidak membantah arak diminum oleh orang bukan Islam, tetapi kita memohon kerajaan menukar kepada nama dan gambar yang tidak menyentuh sensitiviti umat Islam demi memelihara suasana harmoni dalam hubungan antara pelbagai kaum di negara ini.
“Kita harap pemimpin politik tanah air terutama yang beragama Islam akan turut menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak sensitif oleh syarikat pengeluar minuman beralkohol ini,” katanya.
Tambah beliau, arak haram diminum oleh umat Islam, malah dituntut menghindari arak kerana kesannya terhadap fizikal, sosial dan spiritual.- Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)