Arak mudaratkan agama, negara

1. ARAK diharamkan di dalam Islam melalui ayat al Quran menerusi firman Allah SWT : Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (QS al Maidah : 90)

2. Ini dikukuhkan lagi apabila Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (1295) dalam Sunan.

3. Dari sudut maqasid al Syariah , arak sangat berpotensi untuk merosakkan beberapa elemen yang menjadi objektif syarak untuk menjaganya. Bukan sahaja akal yang akan rosak bahkan ia juga akan membazirkan harta, merosakkan agama dan memporakperandakan keharmonian kekeluargaan. Bahkan ia adalah punca kepada segala kejahatan . Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.” Riwayat al-Hakim. “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.” riwayat al-Nasaie.

4. Oleh sebab kemudaratan-kemudaratan yang terhasil dari peminuman arak ini, pelaku-pelakunya dijanjikan hukuman di dunia apatah lagi di akhirat. Di akhirat, gambaran seksanya adalah seperti yang diingatkan oleh Nabi SAW : Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan . Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.” riwayat Muslim.

5. Di dalam Islam , hukuman peminum minuman yang memabukkan sama ada arak atau yang lainnya adalah dengan sebatan 40 kali dengan syarat-syarat tertentu. Pemerintah harus menjalankan hukuman tersebut hingga 80 kali sebatan sebagai tambahan dengan hukum ta’zir. Ini berdasarkan hadith Anas : Nabi SAW menyebat peminum arak dengan pelepah tamar dan selipar sebanyak 40 kali. Abu Bakar juga pernah menyebat 40 kali. Pada zaman Umar RA, ramai orang dari pedalaman dan kampung datang ke Madinah, lalu Umar bertanya kepada para sahabat, katanya: “Apakah pendapat kamu tentang hukuman sebat atas peminum arak?” Jawab Abdul Rahman bin ‘Auf: “Aku fikir, kamu menjalankan hukum hudud yang paling ringan.” Abdul Rahman berkata: “Selepas itu, Umar RA menghukum 80 kali sebatan.” (Riwayat Muslim).

6. Insiden kemalangan maut akibat pemandu mabuk semakin hari semakin meningkat , merupakan bukti-bukti kecil tapi nyata betapa benarnya Islam mengharamkan arak. Seorang pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) maut selepas dirempuh pemandu wanita warga China yang memandu dibawah pengaruh alkohol berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, Georgetow pada 25 Oktober 2019, Seorang pelancong warga Amerika Syarikat maut manakala isterinya cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk ketika pasangan itu melintas jalan di Jalan Padungan pada 22 September 2019 dan lain-lain lagi insiden.

7. Sudah sampai masanya pihak pemerintah lebih serius menguatkuasakan undang-undang pemanduan di dalam keadaan mabuk , bahkan membenarkan arak di minum di khalayak ramai hendaklah ditegah sama sekali kerana ia bertentangan dengan semangat Islam sebagai agama Persekutuan. Kilang-kilang pengeluar arak hendaklah difikirkan semula kewujudannya. Jika keizinan diberikan untuk tujuan minuman secara persendirian oleh orang-orang bukan Islam maka hendaklah dikawal dan hanya dalam premis-premis tertentu seperti yang telah dilakukan di sesetengah negeri bukan Islam bahkan ada negara yang meletakkan hukuman mati kepada pemandu mabuk.

8. Sesungguhnya Islam ketika mengharamkan sesuatu , sudah tentu ia mendatangkan mudarat yang lebih besar. -Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts