Asuh masyarakat kemahiran analisis berita

 

KITA didedahkan dengan pelbagai bentuk berita dan maklumat sensasi melalui aplikasi media sosial tanpa henti.

Berita itu datang daripada pelbagai pihak dan tanpa tujuan spesifik dengan andaian bahawa berita itu kononnya terkini, maklumat hangat, perlu disebarkan segera, dan tidak kurang juga maklumat salah berkenaan promosi perniagaan.

Berita dan maklumat yang berunsur palsu sebegini boleh mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat kerana ada sebahagian mereka menjadi mangsa penipuan dan kerugian wang ringgit. Sudah pasti budaya buruk ini boleh menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

Apatah lagi sebahagian berita sensasi itu agak sensitif dan boleh menyebabkan salah faham dalam kalangan masyarakat. Penyebaran berita palsu ini juga turut dilaporkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan menyiasat 67 kes penyebaran berita palsu di media sosial dari Januari hingga September 2017. SKMM juga mendedahkan 1,861 laman sesawang, portal dan blog disekat kerana menyebarkan kandungan, maklumat serta berita berunsur palsu dan beberapa kes dibawa ke mahkamah dalam tempoh sama.

Sebenarnya, hanya segelintir individu dalam masyarakat yang sering kali memulakan penyebaran berita palsu ini. Namun, apabila masyarakat secara terus-menerus didedahkan dengan sebaran maklumat dan berita palsu ini, mereka akan lebih mudah terkesan dan percaya ke atas berita itu. Ada sebahagian individu juga berdepan dengan pengalaman buruk dan trauma dari sudut psikologi.

Ini boleh berlaku kerana setiap berita diterima jarang diselidik dan disebarkan tanpa usul periksa. Pendedahan maklumat negatif dan palsu yang berterusan akan mempengaruhi cara seseorang itu berfikir, tindakan harian dan kaedah penyelesaian sesuatu konflik. Ini juga disumbangkan oleh gaya olahan bahasa, penulisan yang menarik dan sensasi yang mudah untuk mempengaruhi jiwa individu dan mereka terpanggil untuk sebarkan.

Individu itu pula rasa bersalah sekiranya tidak berkongsi maklumat berkenaan walaupun belum pasti kesahihannya. Kecenderungan untuk menyebarkan maklumat itu sangat kuat bagaikan tarikan magnet. Kononnya, perkongsian itu sangat perlu supaya lebih ramai individu dalam masyarakat akan memperoleh manfaat. Ini satu reaksi spontan dan tanpa ada rasa tanggungjawab untuk menghentikan sebaran.

Sikap tidak bertanggungjawab dan tahap pemikiran oleh mereka yang membuat maklumat palsu dan menyebarkannya mungkin pada kelompok sama. Kedua-dua pihak ialah punca awal bermula rantaian maklumat palsu. Itu satu bentuk penyalahgunaan sistem komunikasi dan teknologi maklumat. Jika ditelusuri individu terbabit, ada tanda awal ciri-ciri ketidakseimbangan kesihatan mental yang perlu dilihat dengan lebih teliti.

Sekalipun mereka ini bukan mengalami masalah penyakit mental secara spesifik, ketagihan membuat dan menyebarkan maklumat palsu sangat wajar dihentikan. Pada sesetengah keadaan, individu itu perlu mendapat terapi kaunseling dari kaunselor atau pakar psikiatri untuk kes ketagihan siber. Kebimbangan ini ada asasnya, kerana boleh mempengaruhi jiwa dan pemikiran sesuatu masyarakat.

Teliti kesahihan berita

Latar belakang pendidikan, tahap pemikiran, pengalaman berkomunikasi dan interaksi serta cara berfikir antara beberapa faktor mempengaruhi sebaran sesuatu berita palsu. Sebagai contoh, inidividu yang mempunyai tahap pemikiran ‘analitik’ yang tinggi akan sering bertanya pada diri sendiri akan keaslian berita berkenaan. Dalam pemikiran mereka, isu yang berlegar di minda ialah siapa penulis berita itu, dari mana asalnya dan kenapa berita itu disebarkan? Ini antara soalan asas yang kita perlu sama-sama fikirkan untuk mengetahui berita itu sahih ataupun tidak.

Kajian dari sekumpulan pengkaji dari Universiti Yale pada 2017, mendapati individu yang mengamalkan cara berfikir analitik mudah untuk mengenal pasti sesuatu berita atau maklumat itu palsu ataupun tidak. Dalam kajian itu, pengkaji menggunakan tiga bentuk ujian, iaitu mereka menilai cara pemikiran peserta kajian.

Melalui ujian Cognitive Reflection Test ke atas peserta, pengkaji dapat menilai kecenderungan seseorang untuk mempercayai sesuatu berita palsu. Kesimpulan ringkas daripada kajian ini boleh diguna pakai oleh masyarakat supaya lebih bersedia menghadapi serangan berita dan mampu menapis maklumat palsu. Masyarakat umum wajar diasuh untuk kemahiran menganalisis sesuatu berita dengan lebih kritikal dan mengelakkan sikap seperti ‘pak turut’ atau ‘lurus bendul’.

Ada beberapa alasan sering dikaitkan dengan individu yang cenderung membuat dan menyebar berita palsu. Antaranya ialah individu itu ingin berasa dia sumber rujukan dan individu bijak pandai serta mampu menjuarai sesuatu isu. Mereka berasakan orang pertama berkongsi maklumat, walaupun maklumat itu palsu sebagai sesuatu yang ‘glamour’ dan sangat teruja. Individu berkenaan juga sering menjadi juara membuat provokasi atas sesuatu isu.

Ketidakstabilan emosi

Alasan lain seseorang indivdu cenderung menyebarkan berita palsu juga akibat ketidakstabilan emosi yang keterlaluan. Tanpa memeriksa sama ada berita itu benar atau tidak, ia dengan sengaja menyebarkannya dengan menggunakan pelbagai aplikasi media sosial. Sikap individu yang tidak pedulikan tanggungjawab sosial, tiada etika kehidupan bermasyarakat dan antisosial juga sering dikaitkan dengan gejala buruk ini.

Mereka meluangkan banyak masa dan tenaga hanya ‘berinteraksi’ dengan komputer, gajet komunikasi dan telefon pintar mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk terbabit sama. Kehidupan mereka dibazirkan dengan hanya bersama-sama dengan alat berkenaan.

Kita sedar terlalu banyak maklumat sensasi yang tidak tepat dan berlaku polarisasi maklumat dalam dunia hari ini. Namun, jika ‘barah’ ini tidak dibendung sebaik-baiknya, kita akan berakhir dengan turut sama menyebarkannya.

Kerajaan juga mengambil beberapa tindakan untuk membendung budaya buruk ini. Antaranya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan satu laman portal sebenarnya.my bagi membolehkan individu itu menyemak kesahihan berita atau maklumat.

Selain itu, kita juga difahamkan kerajaan menjalankan kajian bagi menggubal undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu dalam media sosial. Selain mengambil beberapa langkah pendedahan melalui pendidikan dan kesedaran awam. Suatu langkah punitif dalam bentuk undang-undang yang lebih berat perlu diketengahkan bagi membanteras gejala itu.

PROF DR AZIZI AYOB
Setiausaha Agung
Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Sumber: Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts