Azan bukan hanya ritual

 

Minggu lepas saya mengulas mengenai pandangan yang mengatakan perbuatan homoseksual itu satu “fitrah”. Kali ini saya ingin membuat penjelasan berkaitan satu lontaran cadangan agar masyarakat sekeliling masjid perlu diberi peluang dahulu untuk mengemukakan cadangan samada azan perlu dilaungkan secara kuat sehingga didengari oleh penduduk setempat atau pun tidak oleh seorang anak muda muslim seperti yang tertular dalam media.

Pandangan yang agak ganjil ini sepatutnya dilayan sebagai pandangan terpencil yang mungkin tercetus disebabkan tidak memahami hikmah azan di dalam Islam dan boleh diabaikan begitu sahaja namun ia telah diambil kesempatan oleh sesetengah pihak sebagai seolah-olah sebagai satu cetusan pemikiran baru kononnya “di luar kotak” dan percubaan untuk membebaskan diri dari “tradisi” yang dianggap sebagai sudah kuno.

Sebenarnya tiada isu besar mengenai laungan azan di negara kita kerana mengambil kira status negara kita yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan penduduk negara ini majoritinya adalah umat Islam bahkan penduduk bukan Islam yang sama-sama hidup rukun damai di negara ini pun telah lama memahaminya.

Bagi sebuah negara Islam, azan adalah syiar Islam yang sangat penting dan perlu dipertahankan. Di saat negara kita masih belum mampu melaksanakan semua syariat Allah, syiar-syiar Islam perlu dipertahankan bahkan diperkasakan.

Ia adalah jati diri dan pembuktian bahawa umat Islam wujud di tempat itu. Bahkan perlaksanannya adalah fardhu kifayah bagi penduduk sesebuah tempat dan ia adalah tanggungjawab yang perlu diberi perhatian oleh semua penduduk Islam di dalam sesebuah tempat.

Memuliakan syiar-syiar Allah ini merupakan terjemahan kepada ketaqwaan kita. Firman Allah SWT: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.(Al-Haj: 32)

Imam Nawawi di dalam kitab Syarah Muslim telah menyenaraikan empat hikmat azan: Para ulama telah menyebutkan empat hikmah azan iaitu menzahirkan syiar Islam dan kalimah tauhid, pemberitahuan tentang masuknya waktu solat, pemberitahuan tentang tempat untuk melakukan solat secara berjemaah dan mengajak orang untuk mengerjakan solat secara berjemaah.

Kalau kita meninjau dari sudut sejarah Islam, azan hanya disyariatkan selepas tertubuhnya sebuah negara Islam di Madinah al Munawwarah iaitu setahun selepas hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Ia adalah satu bentuk pengukuhan tentang “susuk tubuh” dan “jati diri” sebuah negara Islam. Bahkan Rasulullah SAW menolak beberapa cadangan dari para sahabat mengenai bagaimana cara untuk memberitahu waktu solat untuk umat Islam dan dapat mengumpulkan mereka.

Antara cadangan mereka ialah dengan memukul gendang, dengan meniupkan trompet dan menyalakan api namun Rasulullah SAW menjustifikasikan penolakan cadangan-cadangan ini dengan menyatakan cara-cara yang dicadangkan itu menyerupai cara-cara orang kristian, yahudi dan majusi.

Akhirnya Rasulullah SAW menerima dan memakai mimpi Abdullah bin Zaid yang diajar bagaimana azan dan iqamah oleh Malaikat. Daripada Abdullah bin Zaid r.a katanya: tatkala pagi, kami pun pergi menemui Rasulullah s.a.w, maka kami ceritakan kepada baginda mengenai mimpi (tentang azan itu) maka sabdanya :itu adalah mimpi yang benar, maka pergilah kamu kepada Bilal r.a. kerana seruannya lebih merdu dan lebih panjang daripada mu, maka ajarkanlah apa yang diajarkan kepada mu (dalam mimpi itu) dengan yang demikian itu. Apabila di dengar oleh saidina Umar bin Al-Khatab r.a seruan (azan) Bilal r.a itu, (untuk memanggil kepada sembahyan) keluarlah beliau pergi kepada Rasulullah s.a.w dalam keadaan beliau menarik selindangnya (menunjukkan beliau bersegera) kepada Rasulullah s.a.w dan katanya: wahai Rasulullah s.a.w, demi (Allah) yang membangkitkan engkau dengan membawa kebenaran, sesungguhnya aku telah bermimpi sama sepertiazan Bilal r.a itu, maka sabda Rasulullah s.a.w: bagi Allah Taala sahaja segala kepujian. Maka yang demikian itu adalah lebih tetap. (HR Abu Daud)

Azan bukan sekadar ibadah ritual tetapi ia adalah satu pengisytiharan yang berulang-ulang setiap hari bahawa negara ini adalah sebuah negara yang Islam. Ia adalah peringatan agar penduduk negara ini wajib membesarkan Allah dalam setiap keadaan, mentauhidkan Allah sebagai pegangan, syariat Nabi SAW sebagai ikutan, ibadah solat sebagai sendi kehidupan dan umat Islam diseru berganding bahu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahyaislam.my

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts