1. Ada yang bertanya tentang hukum memlafazkan azan pada bayi yang baru dilahirkan. Pada hakikatnya, amalan ini disandarkan kepada hadis Nabi yang menyebutkan:
عن أبي رافع قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم أذن في أذن الحسن بن علي حين ولدته فاطمة
“Daripada Abi Rafi’ beliau berkata bahawa aku menyaksikan Rasulullah SAW lafazkan azan pada telinga al-Hasan (cucu Nabi) ketika beliau dilahirkan oleh Saidatina Fatimah. (HR Abu Daud, al-Tirmizi) (Hadis ini dinilai Hasan oleh al-Tirmizi dan dinilai Sahih oleh al-Hakim. Walaubagaimanapun ulama terkemudian menghukumkan hadis ini sebagai Daif kerana terdapat perawi bernama Asim ibn Ubaidillah)
2. Manakala amalan melafazkan azan pada telinga kanan bayi dan iqamah pada telinga kirinya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bayhaqi yang menyebutkan:
عن ابن عباس رضي الله عنهما أن النبي صلى الله عليه وسلم أَذَّن في أُذن الحسن بن علي يوم ولد، وأقام في أذنه اليسرى
“Daripada Ibn Abbas sesungguhnya Rasulullah SAW melafazkan azan pada al-Hasan ketika beliau dilahirkan dan Rasulullah mengucapkan iqamah pada telinga kiri beliau. (HR al-Bayhaqi) (Hadis ini dinilai Daif kerana terdapat perawi bernama al-Hasan bin Amru yang dikatakan Daif)
3. Kedua-dua hadis diatas telah dijadikan sandaran dalam pensyariatan Azan dan Iqamah pada telinga bayi. Namun, kedua-dua hadis ini dinilai sebagai daif. Walaubagaimanapun, kebanyakan ulama mengharuskan amalan ini atas beberapa pertimbangan.
4. al-Imam al-Nawawi daripada Mazhab Syafie mengharuskan amalan ini. Ini direkodkan di dalam kitab al-Majmu’ yang menyebutkan:
السنة أن يؤذن في أذن المولود عند ولادته ذكرا كان أو أنثى
“Adalah satu sunnah mengazankan ditelinga bayi yang baru dilahirkan samada lelaki maupun perempuan.
5. al-Imam al-Bahuti daripada Mazhab Hanbali turut memberikan pandangan yang sama di dalam kitabnya Kasyf al-Qina’. Begitu juga dengan al-Imam Ibn Abidin daripada Mazhab Hanafi yang menghuraikan perkara ini di dalam Hasyiahnya.
6. Al-Imam Malik walaubagaimanapun melihat perkara ini sebagai sesuatu yang makruh. Perkara ini dihuraikan oleh al-Hattab al-Maliki di dalam karyanya Mawahib al-Jalil yang menyebutkan:
وأنكر مالك أن يؤذن في أذنه حين يولد
“Dan al-Imam Malik mempertikai amalan azan ketika bayi dilahirkan.”
7. Jelas di antara empat Mazhab di atas, al-Imam Malik diantara yang melihatnya sebagai makruh. Manakala yang lain melihatnya sebagai amalan yang harus bahkan sunat. Menurut Sheikh Abdul Aziz bin Baz, Khalifah Umar Abdul Aziz dikatakan turut melakukan perkara ini.
8. Dengan itu bolehlah disimpulkan bahawa sebahagain besar ulama melihat amalan ini sebagai amalan yang diharuskan. Dan meninggalkan amalan ini juga tidak mendatangkan dosa. Al-Imam Ibn al-Qayyim pula menjelaskan bahawa hikmah dibisikkan azan pada telinga bayi adalah supaya lafaz pertama yang dia dengar setelah hadir ke dunia ini adalah kalimah-kalimah tauhid yang mudah-mudahan akan membimbingnya kepada kebaikan. (Tuhfat al-Maulud)
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik