SHAH ALAM – Umat Islam diseru untuk membaca Qunut Nazilah selama seminggu dalam solat mereka bagi mendoakan keamanan dan keselamatan Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin.
Timbalan Pengerusi II, Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar Pas, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, perkembangan terbaharu menunjukkan keadaan di Palestin makin mencengkam hinggakan Masjid Al-Aqsa, ditutup oleh Israel, justeru diharap dengan doa umat Islam ini, keadaan di sana bertambah baik.
“Penutupan dan sekatan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh Israel sejak minggu lalu yang berlanjutan sehingga sekarang adalah suatu tindakan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
“Bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat dan mencabuli hak kebebasan yang sepatutnya dinikmati oleh setiap orang,” katanya.
Menurut laporan berita, polis Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan tidak membenarkan solat Jumaat diadakan selepas tiga penduduk Palestin dan dua polis Israel terbunuh dalam pertempuran bersenjata di perkarangan masjid itu.
Al Jazeera, saluran berita bebas negara Arab, melaporkan susulan insiden itu, polis Israel mengarahkan orang ramai beredar dari Masjid Al-Aqsa dan menutupnya kepada awam.
Jelasnya lagi, adalah menjadi hak umat Islam untuk memakmurkan Masjid Al-Aqsa sebagaimana penganut Yahudi dan penganut Kristian beribadat dengan aman.
“Tambah-tambah lagi, Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya adalah tapak suci milik umat Islam. Zionis-Negara Haram Yahudi sebenarnya adalah penjajah tanah Palestin yang patut keluar darinya,” tegasnya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my