Bagaimana menyemai cinta kedua kita selepas cinta kepada Allah SWT?

 

1. Baca dan Fahami Al-Quran, Hadith & Kitab Sirah: Perjalanan hidup, perincian susuk tubuh, akhlak dan wawasan perjuangan Baginda diceritakan secara terpisah-pisah dalam banyak surah Al-Quran, kitab-kitab hadith dan sirah.

Bacalah dan cantumkan ‘jigsaw puzzle’ tersebut untuk memahami secara menyeluruh mengenai individu agung ini dan risalah mulia yang dibawa Baginda. Anda hanya perlukan sedikit kesungguhan kerana hari ini telah banyak tulisan ulamak dan sarjana yang merumuskan keseluruhan aspek kehidupan Baginda dalam sebuah buku.

2. Banyakkan Berselawat: Jadikan rutin harian untuk berselawat sekurang-kurangnya 11 kali (selain dalam solat dan doa) sehari. Mudah bukan? Ingat, sekali anda berselawat kepada Baginda, 10 kali Allah berselawat kepada anda!

Amalkan tips ini sehingga apabila anda terkejut atau melatah, yang keluar daripada mulut anda ialah selawat ke atas Nabi. Rasulullah SAW mengingati anda ketika saat getir bertarung dengan sakaratul maut, sanggupkah anda melupakan Baginda ketika saat bersenang-lenang?

3. Hayati Maksud Bacaan Solat & Doa: Sama ada anda sedar atau tidak, banyak kali anda menyebut nama Baginda di dalam solat dan doa setiap hari. Masalahnya ialah anda tidak faham apa yang anda anda ungkapkan.

Pelajarilah asas bahasa syurga (Bahasa Arab) atau sekurang-kurangnya hafal maksud bacaan asas dalam solat dan doa-doa yang ringkas untuk penjiwaan yang lebih mendalam. Apa yang anda ulang selalu pasti akan masuk ke dalam hati dan sanubari.

4. Bersenam dan Jaga Kesihatan: Contohi baginda dalam aspek ini, bukan sunnah pakaian semata-mata. Baginda adalah yang paling kuat, sihat dan berani. Ketika sebahagian datuk zaman ini telah terlantar di katil hospital atau kerusi malas di rumah, Nabi Muhammad SAW mengepalai tentera Islam ke medan Tabuk pada usia 63 tahun. Rahsia kesihatan Baginda ialah minda, pemakanan, tidur dan cara hidup. Dalami aspek-aspek ini dan contohilah!

5. Bina Kemahiran Berdakwah: Setelah anda mengamalkan 4 tips di atas, secara semulajadinya anda pasti tidak akan tertinggal yang terakhir ini. Berdakwah menyebarkan risalah Islam adalah tujuan utama perutusan Baginda. Mengingati dan mencintai Baginda pasti tidak lengkap tanpa usaha meneruskan usaha dakwah ini, apatah lagi dalam keadaan agama Islam ditindas teruk dan semakin dilupakan oleh penganutnya sendiri pada hari ini.

Kuasailah asas kefahaman Islam, teknik mempengaruhi dan menambat hati, strategi licik musuh dan asas beramal dalam organisasi Islam. Inilah sunnah terbesar yang perlu anda ikuti!

Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts