1. SA’AD bin Muaz memeluk Islam setahun sebelum hijrah iaitu pada usia 30/31 tahun. Pertempuran di medan perang menyebabkan beliau gugur syahid selepas perang Khandaq pada tahun ke 5 Hijrah. Ketika itu beliau berusia 36/37 tahun. Rasulullah menyifatkan kematian Sa’d sebagai kematian yang menggegarkan Arasy Allah.
Bayangkan Tuan-Puan, dengan hanya enam tahun bergelar Muslim, kematian beliau disifatkan oleh Rasulullah sebagai kematian yang menggegarkan Arasy Allah. Dengan hanya enam tahun bergelar Muslim, Ibn Hajr menyifatkan kedatangan ruh Sa’d menggembirakan penduduk langit sehingga bergegarnya Arasy.
Berapa tahun sudah kita bergelar Muslim? Apakah sudah kita memartabatkan Islam?
2. Menurut Ibn al-Attar, al-Imam al-Nawawi meninggal pada usia 45 tahun (Tuhfah al-Talibin, 43). Walaupun melalui usia yang singkat, beliau meninggalkan karya yang tidak terhitung. Dr. Khalid Abu Syadi menyebutkan bahawa sekiranya dibahagikan usia hidup al-Nawawi dengan jumlah karyanya, kita akan dapati seolah al-Nawawi mengarang setiap hari sebanyak empat helaian kertas. (Sibaq Nahw al-Jinan, 23).
Bayangkan betapa al-Imam al-Nawawi menggunakan setiap saat dari hidupnya dengan aktiviti yang bermanfaat. Bukan itu sahaja, usianya dihabiskan untuk memberikan manfaat kepada orang lain.
3. Sebahagian manusia menghabiskan masanya mengejar dunia. Sebahagian manusia hanya menumpukan akhirat sahaja. Jadilah manusia yang seimbang dan jadilah manusia yang paling bermanfaat kepada orang lain.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)