Baghdad kota Ilmu dunia suatu masa dahulu

Suatu ketika lama dahulu, Baghdad merupakan sebuah kota buku dan syurga loka para peniaga buku. Menurut ahli geografi Islam Ahmad ibn Abi Ya’qub yang melawat kota itu dalam tahun 891, menyatakan terdapat lebih dari 100 buah kedai buku. Biasanya terletak di tingkat atas deretan rumah kedai di jalan-jalan yang sempit dan lorong-lorong bazar. Di tingkat itu juga tempat tinggal pemilik kedai buku berserta dengan keluarganya. Malah berkumpul juga para penyalin manuskrip dan jurutulis mahir yang membentuk sebuah skriptorium!

Dicelahan lorong bazar itu berdiri sebuah kedai buku yang ulung dan besar dengan limpahan khazanah manuskrip kertas kekulit yang bermutu, seringkali disinggahi oleh golongan elit yang kaya dan para ilmuan yang terbaik. Kedai buku mewah ini kepunyaan Abu Yaʻqūb ibn ʼIsḥāq al-Warrāq al-Baghdadi. Anaknya dengan nama Muḥammad b. Abī Yaʿqūb Isḥāq al-Warrāq yang lebih dikenali dengan gelaran Ibn al-Nadīm inilah yang memberikan buku bibliografi Islam yang pertama kali dengan senarai ribuan judul manuskrip di dalam kitabnya al-Fihrist.

Dikarang pada tahun 987 merupakan sebuah rujukan penting dalam peradaban Islam. Dalam kata pengantarnya, Ibn al-Nadim menulis:

“Inilah indeks buku-buku dari semua negara, baik Arab mahupun bukan Arab yang masih wujud dalam bahasa dan tulisan Arab untuk setiap cabang ilmu pengetahuan dengan keterangan mengenai penyusun dan kelas pengarangnya berserta dengan silsilah, tarikh lahir, jangka hayatnya, masa meninggalnya, tempat bermastautinnya, serta jasa-jasa dan kekurangan mereka sejak mula ilmu pengetahuan itu ditemui sehinggalah zaman kita sekarang ini.”

Betapa kaya buku-buku yang disenaraikan dapat disaksikan dalam Kitāb al- Fihrist ini. Ia merangkumi karya sebelum Islam, Syriac, Yunani, Sanskrit, Latin dan Parsi dalam merancakkan ketamadun Islam. Malah senarai karya di kalangan ilmuan Islam juga tidak kurang hebatnya dalam mengambarkan dunia keilmuan Islam ketika itu.

Tidak ada tamadun yang berkembang maju tanpa adanya peradaban tulisan dan bahasa. Tetapi ratusan tahun kemudian, dibelahan dunia Timur, seorang yang bernama Hang Nadim telah dibunuh disebabkan kebijaksanaanya. Ironinya nama mereka hampir sama!

Sumber : thepatriots

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts