BANGI– Bahasa Melayu mungkin tidak lagi menjadi bahasa kebanggaan bangsa jika penggunaannya semakin dikurangkan sama ada aspek pertuturan, ilmiah atau nama tempat.
Lebih malang lagi sekiranya sebahagian orang Melayu di negara ini tidak memahami apa yang telah dicapai oleh bahasa Melayu sehingga menjadikannya kembali semula ke belakang.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, kesan itu juga akan menyebabkan fungsi dan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta fakulti-fakulti bahasa Melayu di universiti semakin mengecil.
“Kerana tidak faham itulah akhirnya kita melihat bahasa Inggeris terus mendapat tempat dalam hati sebahagian orang Melayu, sama ada dalam pertuturan harian, nama-nama tempat, istilah-istilah ilmiah dan sebagainya.
“Sedangkan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu adalah lambang jati diri seseorang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata, bahasa Melayu sudah melalui proses yang panjang sehingga mampu mengungkap dan memberi penerangan kepada istilah teknologi moden.
“Tetapi, pendekatan yang dilakukan oleh sebahagian orang Melayu menjadikan bahasa Melayu ini kembali semula ke belakang.
“Bila bahasa Melayu tidak lagi digunakan sebagai nama tempat, dalam pertuturan harian secara sempurna dan dalam perbahasan ilmiah, maknanya orang Melayu sudah tidak lagi berbangga dengan bahasa Melayu,” katanya.
Atas sebab itu, Ustaz Muhammad Fauzi menggesa kerajaan bersikap tegas dalam isu kedaulatan bahasa Melayu, khususnya terhadap polisi penggunaan nama tempat yang masih dalam bahasa asing.
Katanya, polisi dan pelaksanaan yang lebih ketat sepatutnya dilakukan terhadap tempat-tempat yang memberikan imej negara di mata luar.
“Kita sepatutnya mempromosikan Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP) berbanding Putra World Trade Center (PWTC) sebagai contoh.
“Tetapi kelonggaran itu yang berlaku sejak sekian lama, akhirnya membawa kepada lebih banyak nama tempat dan bangunan yang menggunakan bahasa asing,” katanya.
Terdahulu, Prof Dr Ridhuan Tee meluahkan rasa kesal
kerana Malaysia – negara yang berasal-usulkan Melayu, tidak ada identiti dan jati diri yang kelihatan, bahkan hidup bernegara juga tidak didaulatkan.
Walhal katanya, bermula daripada pemimpin tertinggi daripada monarki, Perdana Menteri dan Kabinet, Ketua GLC, Ketua Setiausaha Negara, KSU setiap Kementerian, Ketua Universiti Awam, DBP, PBT (Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah) dan banyak lagi, boleh dikatakan semua terdiri daripada orang Melayu.
“Teramat malang lagi, boleh dikatakan semua pejabat GLC, mesyuaratnya menggunakan bahasa Inggeris, bermula daripada papan tanda, sehingga semua arahan dan tanda-tanda dalam bangunan dan pejabat.
“…Kenapa nama-nama bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan. Jika kita semua benar-benar sayangkan negara ini, kenapa tidak cadangkan nama-nama yang mempunyai jati diri,” katanya. -Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM